Skip to main content

Singapura

Pusat Kulit Nasional buka bangunan baharu, tangani keperluan kesihatan yang ‘berubah-ubah’

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Oct 2023 01:41PM Dikemas Kini : 25 Oct 2023 08:59PM
SINGAPURA: Pusat Kulit Nasional (NSC) membuka secara rasmi bangunan baharunya pada Rabu (25 Okt)yang lebih seganda besar daripada saiz bangunan lamanya.

Bangunan baharu itu dijangka dapat menampung kenaikan tahunan sebanyak 30 peratus pesakit menjelang 2030.

Dalam satu kenyataan media, NSC mengatakan pembangunan semula pusat itu bertujuan menangani keperluan jagaan kesihatan kulit di Singapura yang "pelbagai dan berubah-ubah".

Menurut kajian pada 2019, penyakit kulit dan bahagian bawah kulit merupakan punca utama kelapan di Singapura bagi penyakit tidak membawa maut melibatkan mereka yang hidup akibat hilang upaya.

"Insiden penyakit kulit kronik pasti akan meningkat seiring dengan penduduk kita yang semakin tua," kata pengarah NSC Profesor Tan Suat Hoon, sambil menambah bahawa pesakit warga emas juga lebih berkemungkinan mempunyai lebih daripada satu keadaan perubatan pada satu-satu masa dan memerlukan penjagaan yang kompleks.

"Kemudahan di bangunan baharu yang diperluaskan akan membolehkan NSC menjaga dengan lebih baik segmen penduduk kita yang lebih lemah ini," kata Prof Tan.

Bangunan setinggi 10 tingkat itu telah beroperasi sejak Jun lalu.

Ia mempunyai 69 bilik konsultasi berbanding 40 di bangunan lamanya.

Kemudahan-kemudahan lainnya termasuk sebuah klinik bagi merawat alahan.

Semasa merasmikannya, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata pusat baharu itu juga akan meningkatkan latihan dalam bidang dermatologi di semua peringkat, dari sarjana muda hingga possiswazah.

"Di bawah SG Lebih Sihat, doktor penjagaan asas juga memainkan peranan yang semakin meningkat dalam menguruskan keadaan kulit biasa," tambahnya.

“Seperti semua penyakit lain, banyak yang boleh kita lakukan untuk melindungi kulit kita bagi mencegah timbulnya penyakit kulit," kata Encik Ong.

RUANG, KLINIK BAHARU

Bangunan NSC yang dibangunkan semula menempatkan klinik alahan dan terapi baharu, di mana pesakit boleh menerima ubat melalui saluran darah (IV) tanpa perlu dirujuk ke khidmat rawatan di hospital.

Kemudahan itu juga membolehkan pesakit yang disyaki mempunyai alahan terhadap ubat IV dinilai dalam persekitaran yang selamat dan selesa, kata NSC.

Sebuah klinik penyelidikan baharu juga akan memudahkan ujian klinikal, manakala sumber fototerapi NSC telah diperluaskan sekitar 30 peratus.

Kabin fototerapi Ultraungu A1 yang baharu pula mengurangkan masa rawatan untuk pesakit yang mengalami keadaan seperti ekzema, skleroderma dan mycosis fungoides (keadaan barah malignan sel imun dalam darah yang mempengaruhi kulit).

Ruang tempat juga disediakan yang terletak bersebelahan bilik konsultasi untuk penduduk, jururawat dan ahli farmasi menguruskan bersama kes bersama doktor, untuk menyediakan penjagaan yang lebih bersepadu.

Pembangunan semula NSC itu adalah sebahagian daripada pelan induk HealthCity Novena yang bertujuan untuk menyepadukan perkhidmatan kesihatan, penyelidikan, pendidikan dan kawasan awam.

Bangunan baharu NSC itu adalah antara pembangunan yang dirancang untuk fasa pertama, termasuk Bangunan Sekolah Perubatan Lee Kong Chian bagi Sains Klinikal, Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit, Pusat Inovasi Penjagaan Kesihatan Ng Teng Fong dan Hab Penjagaan Bersepadu Hospital Tan Tock Seng.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita