Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat kuarantin haiwan serba baru dibangunkan di Chua Chu Kang

Sebuah pusat kuarantin baru, dengan kemudahan-kemudahan dipertingkat, untuk haiwan dibuka pada Jumaat (26 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat kuarantin haiwan serba baru dibangunkan di Chua Chu Kang

Kucing di pusat kuarantin baru dekat Old Chua Chu Kang Road. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 27 Nov 2021 09:28AM Dikemas Kini : 27 Nov 2021 09:34AM

SINGAPURA: Sebuah pusat kuarantin baru, dengan kemudahan-kemudahan dipertingkat, untuk haiwan dibuka pada Jumaat (26 Nov).

Kemudahan yang terletak di Jalan Lekar dekat Old Choa Chu Kang Road, akan menjadi lokasi untuk memantau dengan lebih baik kesihatan kucing dan anjing yang dibawa masuk ke negara ini.

Ia menggantikan kemudahan sebelumnya yang dulunya ditempatkan di Sembawang, yang sudah berhenti beroperasi hujung bulan lalu.

Pusat Kuarantin Haiwan yang baru itu, yang dikendalikan oleh Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) di bawah Lembaga Taman Negara (NParks), dilengkapi dengan teknologi-teknologi yang dipertingkat bagi membantu memantau kesihatan haiwan dan memastikan keselesaan haiwan-haiwan tersebut.

Ini termasuk lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam kandang serta analisis video untuk memastikan haiwan-haiwan dan pemilik mereka menjaga jarak semasa berjalan.

Bangunan baru pusat kuarantin haiwan dekat Old Chua Chu Kang Road. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Bangunan baru pusat kuarantin haiwan dekat Old Chua Chu Kang Road. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Berucap semasa pembukaan kemudahan itu, Menteri Negara Pembangunan Negara Tan Kiat How, berkata pusat itu memainkan peranan penting untuk mencegah penyakit berjangkit memasuki Singapura menerusi haiwan.

"Saya ada dua ekor anjing di rumah, (maka) saya boleh memahami betapa pengasingan antara pemilik dan haiwan peliharaan mereka semasa proses kuarantin boleh menjadi agak sukar bagi kedua-duanya.

"Lantaran itu, kami mereka pusat ini untuk mempertingkatkan keselesaan dan kebajikan haiwan-haiwan yang dikuarantin. Kami juga melaksanakan langkah-langkah dan teknologi baru untuk memperbaiki proses-proses kuarantin haiwan," kata Encik Tan.

CIRI BARU

Dengan 92 kandang anjing dan 48 kandang kucing, pusat baru itu boleh menampung kira-kira bilangan haiwan yang sama dengan jumlah haiwan yang ditempatkan di kemudahan sebelum ini.

Haiwan peliharaan yang baru tiba atau haiwan import bagi tujuan komersil dari negara-negara dengan risiko tinggi penyakit, dikuarantin di pusat tersebut.

Tidak seperti kemudahan di Sembawang, yang hanya dipasang satu CCTV, pusat baru itu memasang CCTV di setiap kandang anjing dan kucing.

Ini supaya kakitangan pusat tersebut boleh mengesan tanda-tanda penyakit dengan lebih pantas berdasarkan kelakuan haiwan atau bagi mengenal pasti kandang-kandang yang memerlukan lebih pembersihan , menurut AVS dalam kenyataan medianya pada Jumaat.

Kemudahan baru itu juga menggunakan CCTV dan analisis video untuk memastikan jarak sekurang-kurangnya satu meter antara haiwan dengan pemiliknya apabila mereka keluar berjalan atau bersenam di pekarangan kemudahan tersebut atau di tanah lapang.

Bercakap kepada media, Dr Chua Tze Hoong dari AVS menjelaskan bahawa penting untuk haiwan-haiwan dijarakkan demi mencegah jangkitan daripada menular.

Di pusat yang lama, kakitangan akan menyelia secara manual dan mengingatkan pemilik haiwan supaya mengasingkan haiwan-haiwan peliharaan mereka.

Dr Chua, yang merupakan pengarah kumpulan bagi pengurusan industri dan biokeselamatan AVS, berkata sekarang pusat di Jalan Lekar bergantung kepada analisis video untuk menjaga jarak antara haiwan-haiwan.

Jika ia kurang satu meter, satu mesej yang sudah dirakam akan dimainkan untuk mengingatkan mereka supaya menjaga jarak. Para pekerja juga akan ada di sana untuk memberi peringatan kepada para pelawat.

Pusat itu juga merancang untuk mengambil sampel udara sekeliling sehingga dua kali seminggu untuk mengenal pasti kewujudan penyakit-penyakit pernafasan yang menular dengan cepat menerusi udara, seperti influenza anjing dan kucing, menurut AVS dalam kenyatannya.

AVS menyatakan ia juga akan mengeluarkan tanda kolar bijak bagi haiwan-haiwan yang layak menjalani kuarantin di rumah. Haiwan-haiwan sedemikian lazimnya mengalami penyakit sedia ada yang memerlukan jagaan sepanjang masa oleh pemiliknya.

Buat masa ini, para pegawai menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah atau menerusi panggilan video untuk memastikan haiwan-haiwan dikuarantin di rumah. Namun dengan tanda kolar bijak itu, para pegawai akan dimaklumkan jika haiwan tersebut meninggalkan premis pemiliknya. 

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan