Skip to main content

Singapura

Pusat kejiranan kedua di Tengah akan dilengkapi dengan pasar raya, pusat rangkaian penduduk & poliklinik baharu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Dec 2025 07:40PM Dikemas Kini : 26 Dec 2025 12:19AM
SINGAPURA: Parc Point, pusat kejiranan kedua di Tengah, akan dibuka pada suku pertama 2026, menawarkan pilihan runcit, tempat makan dan jejak kesejahteraan baharu kepada para penduduk.

Sebuah pasar raya FairPrice dan pusat makanan Gourmet Paradise akan menjadi antara yang pertama memulakan operasi di Parc Point, dengan kemudahan-kemudahan lain dibuka secara berperingkat. Para penduduk juga akan mempunyai akses kepada jejak kesejahteraan, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Sabtu (6 Dis).

Pusat kejiranan seluas 16,000 meter persegi, yang kedua di Tengah selepas Plantation Plaza, terletak di sebelah projek Bina Ikut Tempahan (BTO) Parc Residences @ Tengah.

Parc Point akan menempatkan sebuah poliklinik baharu, serta lebih daripada 40 kedai, yang menawarkan campuran pilihan runcit dan tempat makan. Ia juga akan menampilkan laluan runcit berbumbung sepanjang 190m yang merangkumi sebuah pusat pendidikan dan Pusat Rangkaian Penduduk, dan menghubungkan pusat kejiranan tersebut dengan tiga blok kediaman dalam projek BTO yang terletak bersebelahan.

Mediacorp sebelum ini melaporkan aduan daripada penduduk Tengah mengenai kekurangan kemudahan di estet tersebut dan akses yang lemah di tengah-tengah pembangunan estet yang sedang berjalan.

Perdana Menteri Lawrence Wong bagaimanapun menarik perhatian pada Mac lalu bahawa pelan pembangunan untuk Tengah sedang berjalan lancar, dengan lebih banyak "projek menarik" sedang dirancangkan yang akan meningkatkan lagi ketersambungan dan kemudahan dalam masa beberapa tahun akan datang.

Pusat kejiranan yang akan datang akan mengintegrasikan ruang runcit dan masyarakat dengan "mutu aktif dan terapeutik" persekitaran taman, menurut HDB.

Rangkaian tangga akan melengkapi eskalator (tangga bergerak) utama, menggalakkan pengunjung untuk kekal aktif semasa mereka menuju ke tingkat atas dan taman atas bumbung.
<strong>Parc Point ialah pusat kejiranan kedua Tengah, dan akan mempunyai sebuah poliklinik dan lebih 40 kedai. (Gambar: HDB)</strong>
EJAK KESEJAHTERAAN

Parc Point dan Parc Residences @ Tengah telah direka sedemikian rupa untuk membentuk jejak kesejahteraan yang menghubungkan taman atas bumbung pusat kejiranan tersebut dengan rangkaian 'sky terrace' di tingkat lapan blok kediaman itu.

“Sky terrace ini berfungsi sebagai tempat pemerhatian dan ruang rekreasi yang menawarkan pemandangan panorama estet ini dan kehijauannya,” kata HDB, sambil menyatakan bahawa ia merangkumi kawasan tempat duduk dan juga sudut kecergasan.

Di samping itu, jejak ini mempunyai laluan sepanjang 1.5km yang dinamakan The Rainforest Walk, yang merentasi tingkat bawah projek perumahan Parc Residences @ Tengah dan Parc Clover @ Tengah. Ia akan mempunyai "zon habitat" seperti tempat perlindungan burung dan taman rama-rama, berserta taman permainan tematik.

Zon rekreasi ini juga menghubungkan lagi ke tempat letak kereta bertingkat Parc Residences @ Tengah, yang menempatkan taman atas bumbung, taman permainan tematik, sudut kecergasan dan trek larian sepanjang 225m.

"Memandangkan bandar Tengah dibangunkan secara progresif, lebih banyak kemudahan dan infrastruktur akan dilancarkan untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk," kata HDB, sambil menyatakan bahawa hampir separuh daripada kira-kira 30,000 flat yang dirancang untuk Tengah sudah siap setakat ini.

Setakat sehingga akhir November, lapan prasekolah sudah beroperasi, manakala enam lagi prasekolah dan Sekolah Rendah Pioneer - yang pertama seumpamanya di Tengah - dijangka akan memulakan operasi pada suku pertama 2026.

"Para penduduk boleh menjangkakan kemudahan-kemudahan lain seperti Pusat Bandar Tengah, Central Park dan Laluan Daerah Jurong pada tahun-tahun akan datang," tambah HDB.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita