Skip to main content

Singapura

Pusat kawalan di SG antara 3 hab pantau 300 pusat data dunia

Fikiran yang tenang amat penting apabila mengawasi ratusan pusat data di seluruh dunia - kemudahan yang menjadi nadi kepada khidmat perbankan online, mesej, dan kecerdasan buatan (AI) yang kita gunakan setiap hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat kawalan di SG antara 3 hab pantau 300 pusat data dunia

Para penganalisis memantau operasi di pusat arahan Digital Realty di Singapura. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 Sep 2026 03:54PM
SINGAPURA: Fikiran yang tenang amat penting apabila mengawasi ratusan pusat data di seluruh dunia - kemudahan yang menjadi nadi kepada khidmat perbankan online, mesej, dan kecerdasan buatan (AI) yang kita gunakan setiap hari.

Para penganalisis duduk dikelilingi peta digital dan skrin pemantauan di pusat kawalan Digital Realty, sebuah syarikat gergasi Amerika Syarikat yang berpangkalan di Singapura. Syarikat ini mengendalikan premis fizikal bersaiz gudang yang dipenuhi dengan server yang beroperasi tanpa henti.

Matlamat utama mereka bukan sekadar bertindak apabila berlaku kerosakan, tetapi mengesan tanda-tanda awal - seperti kenaikan suhu secara mendadak - supaya gangguan dapat dielakkan sebelum ia berlaku.

Daniel Naing, 37 tahun, bersama rakan sekerjanya mengendalikan ribuan amaran sistem setiap minggu bagi mengenal pasti sebarang tanda masalah.

"Jika saya cemas, anggota pasukan saya pun akan cemas. Jadi, walaupun di dalam hati saya rasa gemuruh, saya tidak boleh tunjukkannya," katanya kepada AFP.

Pusat kawalan ini, bersama dua lagi pusat serantau di Eropah dan Amerika Syarikat, menjalankan pemantauan 24 jam sehari ke atas lebih 300 pusat data di enam benua.

Digital Realty menyewakan ruang servernya kepada kira-kira 6,000 syarikat besar dan kecil, di mana gangguan bekalan elektrik dan kerosakan peralatan merupakan isu yang paling kerap berlaku.

Mereka juga mempunyai prosedur operasi khas yang teliti untuk berdepan gempa bumi dan taufan. Malah, taufan yang masih berada ribuan kilometer jauhnya sudah cukup untuk meletakkan pasukan ini dalam keadaan bersiap sedia.

Permintaan terhadap pusat data yang kini melonjak naik menjadi topik perbincangan politik yang sensitif di banyak tempat, terutamanya apabila syarikat teknologi berlumba-lumba membangunkan alatan AI yang memerlukan kuasa pemprosesan yang sangat besar.

Namun, tanpa pusat data ini, "tiada apa yang boleh berfungsi" dalam dunia berteknologi tinggi hari ini, kata Serene Nah, pengarah urusan merangkap ketua rantau Asia Pasifik di Digital Realty.

Pusat data ialah prasarana penting - satu perkara yang "hampir setaraf dengan keselamatan negara", katanya.

"Kami perlu memastikan operasi sentiasa berjalan tanpa henti."

Bagaimanapun, Cik Nah menjelaskan bahawa "perniagaan kami kerap disalah erti" dan kurang mendapat sokongan awam, disebabkan persepsi bahawa pusat data membebaskan "banyak karbon atau haba" serta "menggunakan air yang banyak".

"Sedangkan, semua orang menatal telefon mereka setiap hari," dan bagi setiap ketikan, "data tersebut perlu dihantar dan diproses di suatu tempat."

Syarikat kini memberi keutamaan kepada tenaga boleh baharu seperti panel solar dan sistem penyejukan server kitaran tertutup yang mengitar semula air secara berterusan, kata Cik Nah.

Kelemahan sektor ini jelas terbukti tahun ini apabila pusat data yang dikendalikan oleh unit cloud Amazon terjejas akibat serangan dalam peperangan di Timur Tengah.

Pusat data beroperasi 24 jam sehari, jadi Encik Naing dan rakan sekerjanya mengambil syif dari pukul 7.00 pagi hingga 7.00 malam di Singapura sebelum menyerahkan tugas kepada pasukan di Eropah.

Jurutera mesti mengendalikan setiap amaran dalam tempoh beberapa minit. Pasukan ini berhubung terus dengan kakitangan di tapak lokasi serta meminta bantuan daripada rangkaian pakar global, sambil memastikan pelanggan sentiasa mendapat maklumat terkini.

Digital Realty merupakan salah satu penyedia ruang server pusat data terbesar di dunia, bersaing dengan syarikat Amerika Syarikat yang lain seperti Equinix.

Pada masa yang sama, gergasi teknologi daripada Microsoft hingga Alibaba sedang berlumba-lumba membina pusat data mereka sendiri untuk melatih dan menjalankan model AI - sebahagian daripada pembangunan global yang menelan kos trilion dolar.

Pusat Kawalan Global Digital Realty di Singapura terletak di dalam salah satu daripada tiga pusat data yang dikendalikan oleh syarikat itu di Singapura.

Kebanyakan kawasan di dalam pusat data tersebut, yang bumbungnya dipasang dengan panel solar, adalah kawasan larangan atas sebab keselamatan.

Namun, AFP diberi peluang melihat sebuah bilik di mana barisan kabinet server berwarna hitam membentuk lorong yang panjang dan sempit, dengan ikatan kabel kuning merentasi bahagian atas, serta kipas server komputer berkuasa tinggi yang mengeluarkan bunyi deruman perlahan.

Walaupun AI mempercepatkan pertumbuhan dan menambah kerumitan pusat data, sentuhan manusia tetap tidak boleh digantikan dalam operasi di pusat kawalan, kata Terence Tang, ketua pusat kawalan global Asia Pasifik.

"Kami masih memerlukan campur tangan manusia untuk menilai sama ada sesuatu amaran atau gangguan itu betul-betul berlaku, kerana kadang-kadang AI atau sistem automasi boleh memberikan amaran palsu," kata Encik Tang kepada AFP.
Sumber : AFP/NU/nu
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita