Skip to main content

Singapura

Pusat Kapal Pesiaran Marina Bay akan jalani kerja naik taraf bernilai S$40 juta

Pusat Kapal Pesiaran Marina Bay akan menjalani kerja-kerja naik taraf yang paling menyeluruh sejak ia dibuka pada 2012, dengan renovasi bernilai S$40 juta bagi mempertingkat kapasiti dan pengalaman penumpang.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Apr 2025 05:04PM Dikemas Kini : 17 May 2025 02:17PM
  • Pusat Kapal Pesiaran Marina Bay akan menjalani kerja-kerja naik taraf yang paling menyeluruh sejak ia dibuka pada 2012, dengan renovasi bernilai S$40 juta bagi mempertingkat kapasiti dan pengalaman penumpang.
  • Kerja-kerja naik taraf yang akan dijalankan merangkumi penambahan kemudahan ruang istirahat, kawasan tempat duduk yang lebih luas bagi para penumpang yang baru tiba atau bakal berangkat, serta kaunter daftar masuk yang mampu menampung dua kapal pesiaran besar secara serentak.
  • Setelah siap, kapasiti penumpang Pusat Kapal Pesiaran Marina Bay dijangka meningkat daripada 6,800 kepada 11,700 penumpang.
  • “Penambahbaikan ini akan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab kapal pesiaran terkemuka, dengan menawarkan kemudahan bertaraf dunia yang memenuhi keperluan syarikat kapal pesiaran dan penumpang yang kian berubah-ubah,” tambah Cik Ong Huey Hong.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pusat Kapal Pesiaran Marina Bay akan menjalani kerja-kerja naik taraf yang paling menyeluruh sejak ia dibuka pada 2012, dengan renovasi bernilai S$40 juta bagi mempertingkat kapasiti dan pengalaman penumpang.

Diterajui SATS-Creuers Cruise Services – pengendali terminal semasa – projek yang akan mengambil masa selama sembilan bulan itu akan dimulakan pada suku pertama tahun ini, menurut syarikat tersebut dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat (11 Apr). Kerja-kerja naik taraf akan dijalankan secara berfasa bagi mengurangkan gangguan sebaik mungkin, dan pusat kapal pesiaran tersebut akan terus beroperasi.

Kerja-kerja naik taraf yang akan dijalankan merangkumi penambahan kemudahan ruang istirahat, kawasan tempat duduk yang lebih luas bagi para penumpang yang baru tiba atau bakal berangkat, serta kaunter daftar masuk yang mampu menampung dua kapal pesiaran besar secara serentak.
Related article image
Ilustrasi artis yang menunjukkan kawasan mendaftar masuk di Pusat Kapal Pesiaran Marina Bay yang dinaik taraf. (Gambar: SATS-Creuers dan STB)
Bagi meningkatkan akses pengangkutan, tanah lapang di hadapan pusat kapal pesiaran itu juga akan ditukar menjadi sebuah kemudahan bagi pengangkutan darat, dengan lebih banyak tempat meletak bas dan lebih dua kali ganda jumlah lot bagi perkhidmatan teksi.

SATS-Creuers merupakan usaha sama 60-40 antara SATS Singapura dengan Creuers del Port de Barcelona, anak syarikat Global Ports Holding.

Bagi menyokong pelaburan tersebut, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) sudah melanjutkan perjanjian pengendali SATS-Creuers selama lapan tahun, dengan pilihan untuk melanjutkannya selama dua tahun lagi. Perjanjian yang disemak semula itu dimuktamadkan pada 18 Disember tahun lalu dan berpotensi melanjutkan operasi SATS-Creuers dari Mei 2027 hingga Mac 2037.

Pusat kapal pesiaran yang dinaik taraf itu dijangka dapat mengendalikan jumlah penumpang yang lebih ramai sejajar dengan trend kapal pesiaran bersaiz lebih besar, menurut SATS-Creuers. Setelah siap, kapasiti penumpang Pusat Kapal Pesiaran Marina Bay dijangka meningkat daripada 6,800 kepada 11,700 penumpang.

Pengerusi SATS-Creuers, Bob Chi, berkata kerja naik taraf tersebut dilaksanakan tepat pada masanya memandangkan pusat kapal persiaran itu sedang bersiap sedia bagi operasi yang lebih intensif. “Kerja-kerja naik taraf ini akan menyediakan pengalaman pelawat yang lebih baik di samping meningkatkan kecekapan pengendali kapal pesiaran,” katanya.

Cik Ong Huey Hong, penolong ketua eksekutif Kumpulan Pembangunan Industri STB, pula mengatakan bahawa industri kapal pesiaran Singapura dijangka berkembang secara berterusan.

“Penambahbaikan ini akan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab kapal pesiaran terkemuka, dengan menawarkan kemudahan bertaraf dunia yang memenuhi keperluan syarikat kapal pesiaran dan penumpang yang kian berubah-ubah,” tambahnya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita