Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat hiburan yang tukar jadi premis F&B mesti lulus pemeriksaan sebelum dibuka semula

Pusat hiburan malam yang sebelum ini diberi kelulusan untuk menjadi kedai makanan dan minuman (F&B) sementara mesti lulus pemeriksaan dan mendapat permit bersyarat daripada Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sebelum menyambung operasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat hiburan yang tukar jadi premis F&B mesti lulus pemeriksaan sebelum dibuka semula

Gambar fail: TODAY

Diterbitkan : 31 Jul 2021 01:59PM Dikemas Kini : 31 Jul 2021 02:05PM

SINGAPURA: Pusat hiburan malam yang sebelum ini diberi kelulusan untuk menjadi kedai makanan dan minuman (F&B) sementara mesti lulus pemeriksaan dan mendapat permit bersyarat daripada Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sebelum menyambung operasi.

Pengendali tempat-tempat itu juga perlu melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat tambahan selain yang sedia ada bagi sektor F&B, menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan MTI hari ini (31 Jul).

Semua tempat hiburan malam yang berubah sementara menjadi kedai F&B di tengah-tengah pandemik COVID-19 digantung operasi selama dua minggu sejak 16 Julai setelah tercetusnya kelompok jangkitan yang berhubung kait dengan pusat KTV dan kelab malam.

Sehingga tengah hari Jumaat (30 Jul), 250 kes berhubung kait dengan kelompok KTV.

Sekitar 50 tempat sedemikian melanggar langkah-langkah pengurusan selamat sejak Oktober 2020 dan tidak akan dibenarkan untuk menyambung operasi,tambah pihak kementerian.

"Tempat-tempat itu mesti terus ditutup, termasuk bagi operasi bungkus dan bawa pulang, hingga lulus pemeriksaan dan mendapat kelulusan bertulis untuk kembali beroperasi," tambah kenyataan media ketiga-tiga kementerian itu.

LANGKAH-LANGKAH TAMBAHAN

Langkah-langkah tambahan pengurusan selamat akan "mengurangkan lagi risiko kesihatan awam dan memudahkan pemeriksaan penguatkuasaan", jelas pihak kementerian.

Semua pekerja di tempat-tempat tersebut perlu menjalani ujian reaksi berantai polimerase sekali saja dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa sebelum mereka dapat beroperasi semula.

Hanya ruang utama tempat-tempat itu boleh digunakan untuk operasi F&B. Semua bilik privet mesti dikunci dan tidak boleh digunakan bagi "tujuan apa sekalipun", tegas pihak kementerian.

Pemantauan CCTV mesti meliputi semua kawasan operasi, termasuk pintu-pintu masuk ke bilik-bilik privet yang terkunci.

"Cahaya lampu di cawangan-cawangan perlu cukup terang agar kegiatan-kegiatan yang dijalankan dapat dilihat menerusi CCTV," tambah pihak berkuasa.

Bahagian dalam cawangan mestilah "jelas kelihatan" kepada orang-orang di luar dan tidak boleh ada tingkap atau pintu gelap di keliling kawasan cawangan.

Peralatan hiburan awam, seperti meja pool, papan damak dan mesin karaoke mesti disembunyikan daripada pandangan pelanggan.

Setelah operasi disambung semula, semua kakitangan juga mesti menjalani ujian cepat dan mudah (FET) di Pusat Ujian Pantas Lembaga Penggalakan Kesihatan setiap tujuh hari. Ini lebih ketat daripada ujian FET setiap 14 hari yang diawasi majikan bagi kedai-kedai F&B biasa.

SafeEntry Gateway juga harus dilaksanakan di pintu masuk dan keluar premis, sementara syarat-syarat pelesenan sedia ada juga wajib dipatuhi.

"Kakitangan yang ditugaskan di pintu masuk kedai tidak boleh menangguhkan kemasukan pegawai penguat kuasa atau mencegah orang daripada menjenguk ke dalam," tambah pihak berkuasa.

"Semua pusat hiburan malam yang ditukar menjadi kedai F&B mesti mematuhi syarat-syarat untuk dibuka semula," tegas kementerian-kementerian itu.

"Mana-mana cawangan yang didapati beroperasi semula (termasuk bagi tujuan membawa makanan pulang ke rumah) tanpa mendapat permit bersyarat daripada MTI akan dikenakan tindakan penguatkuasaan yang tegas, termasuk pendakwaan dan pembatalan lesen makanan, hiburan awam dan minuman keras."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan