Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Harmoni pilih pendekatan baru; pelopori dialog silang agama menerusi filem

"Menyampaikan isu-isu sukar dalam filem komedi romantik menjadikannya lebih mudah diterima, yang juga titik permulaan yang baik bagi dialog dan perbualan," kata penerbit eksekutif filem 'Not My Mother's Baking'.

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat Harmoni pilih pendekatan baru; pelopori dialog silang agama menerusi filem

Perbincangan panel anjuran Pusat Harmoni. (Gambar: Pusat Harmoni)

SINGAPURA: Pusat Harmoni (HA) mempelopori dialog silang agama menerusi filem, iaitu inisiatif pertama seumpamanya di negara ini.

Sebagai sebahagian daripada 'HA Tick Talks' 2022, Pusat Harmoni akan menayangkan filem yang memenangi anugerah, 'Not My Mother's Baking', sebelum mengadakan perbincangan panel berhubung isu-isu kaum, agama dan hubungan.

Perbincangan panel itu akan diadakan di bawah tema "Are We Crossing the Line? Finding your voice on the issues of race, faith, and relationships in Singapore” atau "Adakah Kita Melanggar Batasan? Mencari suara anda bagi isu-isu kaum, agama dan hubungan di Singapura".

Pada Sabtu (13 Ogos), Pusat Harmoni mengadakan edisi pertama 'HA Tick Talks' 2022 di Filmgarde @ Leisure Park Kallang.
(Gambar: Pusat Harmoni)
Sekitar 120 tetamu hadir bagi tayangan filem termasuk, termasuk para pengarah filem, barisan pelakon, wakil-wakil agama serta para pemimpin masyarakat dan belia.

Pendekatan baru dalam menggalak dialog silang agama itu menerima respons memberangsangkan daripada penonton.

Ketua Pusat Harmoni, Ustazah Liyana Rosli Asmara berkata: "Berbanding dialog-dialog kami sebelum ini, pertanyaan yang kami terima daripada hadirin, bertambah. Mereka juga menyampaikan bahawa mereka berharap dialog itu dapat dijalankan dalam tempoh lebih panjang."

Yang pasti, itulah juga tujuan Pusat Harmoni, iaitu supaya masyarakat menjadi lebih yakin untuk mendapatkan huraian kepada persoalan mereka bagi mengelak salah tanggapan mengenai budaya lain.

Menyentuh tentang peranan filem dalam membincangkan isu-isu sosioagama, pengarah 'Not My Mother's Baking' Encik Remi M Sali berkata: "Filem bukan sahaja wadah untuk meraikan keunikan Singapura, tetapi ia juga boleh memberi lebih banyak nilai berbanding hiburan semata-mata."

Penerbit eksekutif filem itu, Encik Ho Pak Kin juga berpendapat: "Menyampaikan isu-isu sukar dalam filem komedi romantik menjadikannya lebih mudah diterima, yang juga titik permulaan yang baik bagi dialog dan perbualan."

Encik Remi dan Encik Ho juga berkongsi rasa terima kasih atas kolaborasi dengan Pusat Harmoni kerana ia menyediakan peluang untuk membincangkan kisah-kisah dan makna di sebalik watak-watak tersebut dan bagaimana filem itu ditulis.

'HA Tick Talks' 2022 akan dibangunkan menjadi program pendampingan pendidikan awam, yang akan ditawarkan kepada isntitusi-institusi dan pertubuhan-pertubuhan yang berminat mengadakan perbincangan berhubung kaum dan agama dalam kalangan masyarakat mereka.

Ustazah Liyana menambah: "Kami mahu mengadakan lebih banyak perbincangan berpandu sebegini dengan masyarakat berhubung topik-topik yang mungkin agak sukar dibincang.

"Kami mengalu-alukan semua pertanyaan untuk berkolaborasi dengan Pusat Harmoni supaya kami dapat membuka lebih banyak ruang bagi mengadakan lebih banyak perbincangan dan cerminan diri seumpama ini."

Salah seorang yang menghadiri acara tersebut, Darren Mak, berkata: "Filem-filem adalah cara yang baik untuk meneroka sisi peribadi topik-topik sensitif ini - ia bukan idea-idea yang hanya dibincangkan sahaja, tetapi kehidupan dan cabaran sebenar yang benar-benar dialami."
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan