Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Guaman Masyarakat pertama dibuka, bawa akses khidmat guaman lebih dekat dengan masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para penduduk di bahagian timur laut Singapura seperti di daerah Hougang dan Serangoon kini boleh dapatkan bantuan serta khidmat guaman lebih dekat dengan rumah mereka.

Ini dengan adanya Pusat Guaman Masyarakat (CLC) oleh Perkhidmatan Guaman Pro Bono Singapura (Pro Bono SG) yang baru dibuka secara rasmi pada Selasa (31 Jan).

Ia merupakan pejabat cawangan Pro Bono SG yang pertama dan dibuka di Kuil Tian De untuk memberi tumpuan kepada keperluan masyarakat di Timur Laut tidak kira kewarganegaraan, kaum dan agama mereka.


(Gambar: Pro Bono SG) 

Pro Bono SG menyediakan khidmat guaman secara percuma atau pada kadar bayaran yang rendah bergantung kepada kedudukan kewangan para klien dan juga ditentukan mengikut khidmat yang diperlukan.

Di bawah projek sulung ini, Pro Bono SG juga mahu membawa khidmat guaman lebih dekat lagi kepada mereka yang mempunyai cabaran dari segi pergerakan dan teknologi untuk membantu anggota masyarakat memerlukan yang sedang hadapi masalah undang-undang.

Ini akan dilakukan dengan kerjasama rakan masyarakat seperti Pusat Perkhidmatan Keluarga, Pejabat Perkhidmatan Sosial dan Agensi Perkhidmatan Sosial.

Ia juga hasil sebuah Memorandum Persefahaman oleh Pro Bono SG, R. Yayasan S. Solomon, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Kuil Tian De tahun lalu.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Majlis pembukaan rasminya turut dihadiri Menteri Kedua Undang-undang, Edwin Tong bagi acara memotong reben di Kuil Tian De.

"Keutamaan inisiatif baru Pro Bono SG ialah untuk mempertingkatkan akses kepada keadilan. Akses kepada keadilan ini ialah tiang penting asas bagi sistem kehakiman kita. Pendeknya, ia bermakna orang ramai yang memerlukan ubat menerusi sistem undang-undang bagi kesusahan mereka, untuk dapatkan tuntutan boleh mendapatkan khidmat itu apabila mereka perlukannya," kata Encik Tong dalam ucapannya.

"Pusat Guaman Masyarakat ini akan mempertingkatkan lagi akses kepada keadilan dengan memastikan akses itu mudah dengan ditempatkan di kawasan perumahan awam di mana orang ramai rasa selesa untuk pergi," tambahnya.

Menurut Encik Tong lagi, buat pertama kalinya para peguam sepenuh masa akan menyediakan khidmat untuk masyarakat menerusi Pusat Guaman Masyarakat untuk "memberi nasihat guaman dan bantuan untuk pelbagai isu-isu guaman".

"Ini akan akhirnya diterapkan di kesemua lima daerah CDC. Para peguam ini boleh memberi nasihat guaman dan bantuan untuk pelbagai isu guaman. Sebagai contoh, para individu yang tinggal di Hougang dan kawasan kejiranan berdekatan boleh mendapatkan sokongan guaman di Kuil Tian De tanpa perlu pergi ke pejabat peguam mereka yang mungkin terletak berjauhan," kongsi Encik Tong.

APAKAH KHIDMAT YANG DITAWARKAN PUSAT GUAMAN MASYARAKAT?

Kesemua khidmat Pro Bono SG termasuk inisiatif kesedaran undang-undang, konsultasi klinik dan perwakilan guaman tersedia untuk pendaftaran di pusat itu.



"Pusat ini (juga) mempunyai 'e-kiosk' untuk individu yang tidak mempunyai akses kepada teknologi atau internet di rumah. Kami akan membantu individu yang memerlukan bimbingan dan sokongan mengenai perkhidmatan tersebut. Para peguam akan hadir untuk memberikan bimbingan undang-undang dan pendaftaran untuk sebelum rundingan diperlukan," kongsi Pengurus Pusat Guaman Masyarakat itu, Siti Natasha Abdul Rahman Baobed.

Khidmat-khidmat juga disediakan dalam empat bahasa rasmi Singapura termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Selain itu, Pusat Guaman Masyarakat itu menampilkan kerjasama rapat dengan rakan masyarakat yang lain termasuk Pusat Khidmat Keluarga, Pejabat Khidmat Sosial dan para Agensi Khidmat Sosial bagi membawa bantuan guaman lebih dekat lagi kepada mereka yang mempunyai cabaran pergerakan dan teknologi.

Ditanya pula mengapa Pusat Guaman Masyarakat itu beroperasi di sebuah kuil, Cik Natasha berkongsi bahawa ia "berdekatan secara fizikal dengan masyarakat yang memerlukan".

Ia termasuk flat-flat sewa, serta sekurang-kurangnya 40 rakan masyarakat.

"Kuil ini juga mempunyai rekod kedermawanan yang mantap dan memberikan bantuan dalam komuniti tanpa mengira kewarganegaraan, bangsa atau agama. Mereka juga menganjurkan acara untuk meraikan perayaan utama yang mempromosikan pembinaan komuniti seperti perayaan pertengahan musim luruh dengan kuih bulan Halal. Kuil Tian De dengan murah hati menempatkan pusat guaman masyarakat kami di premis mereka secara percuma yang memastikan kos operasi pusat ini rendah," jelas Cik Natasha.

PANEL SUMBER PRO BONO SG SEDIAKAN SOKONGAN

Untuk menambahkan lagi sokongan kepada Pusat Guaman Masyarakat, terdapat juga sebuah panel sumber Pro Bono SG yang akan membantu dan menyokong kakitangan sepenuh masa.

Salah seorang anggota panel itu ialah peguam sukarela Pro Bono SG, Cik Halijah Mohamad, yang mempunyai lebih 35 tahun pengalaman sebagai seorang peguam.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri) 

"Sumber panel ini terdiri daripada peguam-peguam yang berpengalaman yang dapat membantu beri sokongan kepada kakitangan sepenuh masa di pusat ini. Input yang diberikan ini akan merumuskan kes yang rumit dan kita dapat menyediakan perancangan tindakan untuk cara yang lebih baik untuk mengendalikan kes-kes di pusat ini," kongsi Cik Halijah, 60 tahun.

Menurutnya, antara kes-kes yang biasa diterima termasuk berkaitan dengan undang-undang keluarga, perceraian serta pembahagian harta selepas ahli keluarga meninggal dunia. Selain itu, ada juga kes jenayah dan berkenaan pekerjaan termasuk mereka yang diberhentikan kerja.

Cik Halijah juga sempat berkongsi antara cabaran yang dihadapi para peguam dalam menangani kes-kes sebegini.

"Cabaran utama ialah tidak cukup masa untuk mengendalikan kes-kes tertentu yang rumit dan mereka memerlukan perwakilan peguam untuk bertindak untuk mereka dalam kes di mahkamah. Jadi kerana kesuntukan masa dan kerumitan kes, lebih banyak usaha yang harus dimasukkan dalam mengendalikan kes ini," ujarnya.

LATIHAN DAN SOKONGAN TURUT DISEDIAKAN KEPADA PEGUAM SUKARELA



Selain membantu individu memerlukan, terdapat juga latihan dan sokongan untuk para peguam sukarela yang berkhidmat di rangkaian klinik guaman masyarakat dan skim perwakilan pro bono di bawah Pro Bono SG.

SUSS juga akan menyokong keperluan kakitangan pusat guaman masyarakat tu dengan memberi senarai calon dalam kalangan para graduan yang sesuai untuk dilantik sebagai peguam sepenuh masa dan para pelajar untuk peluang program latihan.

Untuk menyokong operasi Pusat Guaman Masyarakat itu, Yayasan Teochew Singapura akan menderma S$200,000.

Mereka yang berminat untuk mendaftar bagi khidmat Pusat Guaman Masyarakat atau Pro Bono SG boleh hubungi 1800 776 2666 (1800 PRO BONO), mengirimkan emel kepada help [at] probono.sg atau melungsuri laman www.probono.sg

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan