Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat forensik baru bagi hidupan liar bantu tangani perdagangan haram

Lembaga Taman Negara (NParks) hari ini (27 Ogos) secara rasmi membuka pusat forensik pertama hidupan liar di Singapura untuk mengenal pasti dan mengesan asal usul hidupan liar dan produk hidupan liar yang dirampas.

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat forensik baru bagi hidupan liar bantu tangani perdagangan haram

Anjing unit K9 NParks dilatih kesan hidupan liar yang cuba diseludup (Gambar: Lembaga Taman Negara)

Diterbitkan : 27 Aug 2021 06:19PM Dikemas Kini : 27 Aug 2021 06:26PM

SINGAPURA: Lembaga Taman Negara (NParks) hari ini (27 Ogos) secara rasmi membuka pusat forensik pertama hidupan liar di Singapura untuk mengenal pasti dan mengesan asal usul hidupan liar dan produk hidupan liar yang dirampas.

"Perdagangan hidupan liar mengancam kelangsungan hidup spesis terancam dan membahayakan habitat serta ekosistem di seluruh dunia," kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee semasa acara pembukaan.

Pembukaan rasmi Pusat Forensik Hidupan Liar itu dilakukan setahun selepas pelancaran awalnya. "Sepanjang setahun lalu, kami sudah mempertingkat sistem dan peralatan kami dan memperbaiki kaedah pensampelan dan pengujian kami," kata Encik Lee.

Pusat tersebut akan menggunakan kaedah pengekodan palang atau 'barcoding' DNA, dan kaedah analisis genetik dan kimia untuk mengenal pasti spesis haiwan liar dan produk hidupan liar yang disita.

Ujian-ujian itu juga dapat mengesan asal-usul produk tersebut, yang akan membantu rakan-rakan serantau dan antarabangsa Singapura mempertingkat penguatkuasaan ke atas pemburuan dan penyeludupan hidupan liar di kawasan sumbernya, kata menteri itu.

Ini akan membantu menangani masalah global perdagangan hidupan liar, menurut NParks dalam kenyataan medianya.

Pusat tersebut dapat menguji kedua-dua produk haiwan seperti sisik tenggiling dan produk tanaman seperti kayu balak. Sebahagian daripada tugas pusat itu melibatkan usaha "mengenal pasti dengan tepat" spesis kayu balak yang disenaraikan dalam CITES, menurut NParks.

CITES adalah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesis Fauna dan Flora yang Terancam. Ia adalah perjanjian antarabangsa bagi melindungi tumbuhan dan haiwan yang terancam dan akan pupus. Terdapat jumlah rekod rampasan sisik tenggiling dan gading gajah di Singapura dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan 8.8 juta tan gading gajah dan 37.4 tan sisik tenggiling disita pada tahun 2019.

KAJIAN MENGENAI RAMPASAN GADING DAN SISIK TENGGILING

Dua kajian mengenai sampel gading gajah dan tenggiling bertujuan untuk mengenal pasti kaitan kekeluargaan di dalam dan antara rampasan yang dijalankan secara berasingan. Kedua-duanya dilakukan dengan kerjasama pakar biologi pemuliharaan Profesor Samuel K Wasser dari Universiti Washington.

Kajian mengenai gading gajah menganalisis hubungan genetik antara produk gading yang dirampas antara 1995 dengan 2019, sementara kajian mengenai sampel tenggiling diharap dapat melakar peta rujukan genetik tenggiling.

"Dapatan kajian ini akan membantu kita menentukan kemungkinan asal-usul geografi haiwan dan sejauh mana ia hubungannya antara rampasan-rampasan berasingan, untuk membongkar rangkaian perdagangan pertubuhan jenayah yang memperdagangkan gading dan sisik tenggiling secara haram," kata Encik Lee.

Dapatan kajian tersebut akan dikongsi dengan masyarakat antarabangsa.

UNIT BARU K9

Encik Lee turut mengumumkan bahawa Singapura akan mula menggunakan anjing penghidu untuk mengesan produk liar dan hidupan liar sebagai sebahagian daripada langkah penguatkuasaan diperketat di sempadan Singapura.

Unit tersebut sudah dilatih khas untuk menghidu produk yang sering diseludup seperti gading gajah dan sisik tenggiling.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan