Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat data semakin mampan namun terbatas oleh pergantungan SG kepada gas, dedah pakar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pusat-pusat data di Singapura sudah menjadi lebih mampan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun untuk mengurangkan lagi kesan karbon yang dikeluarkan, ia perlu mengatasi beberapa cabaran besar.

Cabaran terbesar mungkin sesuatu yang di luar kawalan pusat-pusat data, iaitu hakikat bahawa Singapura bergantung kepada bahan api fosil, kata pakar.

Pusat-pusat data yang menggunakan banyak tenaga dan dipenuhi deretan pelayan komputer untuk menyimpan, proses dan menyampaikan maklumat, digunakan oleh organisasi-organisasi untuk segalanya dari e-dagang hingga keselamatan siber.

Menurut angka terkini pada 2021, Singapura mempunyai lebih 70 pusat data, yang menyumbang kepada tujuh peratus penggunaan elektrik negara secara keseluruhan.

Negara ini mengeluarkan arahan "berhenti sementara" bagi pembinaan pusat data baru pada 2019.

Menyusuli satu semakan, pemerintah menyatakan ia berhasrat untuk lebih memilih terhadap projek sedemikian, dan kemudian mengeluarkan kriteria yang perlu dipenuhi pusat-pusat baru, seperti menggunakan teknologi jimat tenaga dan mendapatkan pensijilan hijau.

Namun ketersediaan terbatas tenaga boleh diperbaharui di Singapura merupakan kekangan terbesar bagi pusat-pusat data dari segi usaha kemampanan, para pakar memberitahu Mediacorp.

Kira-kira 95 peratus tenaga elektrik Singapura dijana dari gas asli, yang disalurkan dari Malaysia dan Indonesia.

Tenaga suria adalah pilihan paling berdaya maju, namun tenaga elektrik yang dijana digunakan dengan cepat, kata Dr Lee Poh Seng, seorang profesor di Universiti Nasional Singapura (NUS) dari jabatan kejuruteraan mekanikal.

Satu lagi cara untuk mengatasi pergantungan Singapura terhadap bahan api fosil adalah dengan mengimport tenaga elektrik hijau dari negara-negara jiran, kata Dr Wen Yonggan dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Awal bulan ini, Singapura memberi kelulusan bersyarat kepada Keppel Energy bagi projek skala besar untuk mengimport satu gigawat tenaga elektrik, termasuk tenaga suria, kuasa hidro dan kemungkinan tenaga angin, dari Kemboja.
MENGIMBANGI PERTUMBUHAN DENGAN USAHA HIJAU

Sementara pusat-pusat data adalah "pengupaya penting" bagi ekonomi digital, Singapura sedar bahawa ia menggunakan jumlah air dan elektrik yang banyak, menurut pihak berkuasa.

Singapura harus menguruskan pertumbuhan kapasiti pusat-pusat data dengan cara yang konsisten selaras komitmen perubahan iklimnya, menurut Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI).

Di bawah kriteria bagi pusat-pusat data baru, projek sedemikian harus merangka rancangan bagi sasaran kemampanan dan mencapai keberkesanan penggunaan kuasa (PUE) 1.3 atau lebih.

PUE purata bagi pusat-pusat data baru di Singapura adalah sekitar 1.35 tahun lalu, iaitu peningkatan daripada 2.01 pada 2017, kata Dr Wen, seorang dekan bersekutu dari Kolej Kejuruteraan NTU.

APA LAGI YANG BOLEH DIBUAT

Dr Lee dari NUS berkata kemampanan pusat-pusat data di Singapura berlainan berdasarkan amalan-amalan tertentu dan teknologi yang digunakan, namun kemudahan di sini menunjukkan prestasi yang baik dari segi kemampanan tenaga dibandingkan rakan global.

Selain penambahbaikan kepada kemampanan tenaga, mengimport tenaga bersih, membeli tenaga boleh diperbaharui dan kerjasama dengan pemerintah atau pihak berkepentingan lain, beliau berkata pelaksanaan prinsip ekonomi kitaran adalah "huraian yang mempunyai harapan".

Seperti contoh, Dr Lee menyarankan bahawa perniagaan boleh menggunakan haba gred rendah yang dihasilkan pusat-pusat data jika ia terletak bersebelahan satu sama lain.

"Pusat-pusat data boleh kurangkan penggunaan air dengan melaksanakan langkah-langkah penjimatan air seperti lekapan jimat air dan mengitar semula sisa air bagi penggunaan selain untuk meminum," kata Dr Wen.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan