Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Borong Pasir Panjang ditutup 3 hari selepas kes COVID-19 dikesan

Pusat Borong Pasir Panjang akan ditutup selama tiga hari mulai petang Isnin (27 Sep) bagi kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan pembasmian kuman selepas kes COVID-19 dikesan dalam beberapa pekerja dan pengunjung ke tempat itu, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Sep 2021 02:47PM Dikemas Kini : 26 Sep 2021 10:50PM

SINGAPURA: Pusat Borong Pasir Panjang akan ditutup selama tiga hari mulai petang Isnin (27 Sep) bagi kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan pembasmian kuman selepas kes COVID-19 dikesan dalam beberapa pekerja dan pengunjung ke tempat itu, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA).

Penutupan sementara itu dijangka mengganggu "sedikit" bekalan buah-buahan dan sayur Singapura, menurut SFA dalam satu kenyataan media pada Ahad (26 Sep).

Pusat itu akan mula ditutup pukul 3.00 petang pada Isnin dan dibuka semula pada 30 September, pukul 3.00 petang, menurut SFA.

"SEDIKIT" GANGGUAN PADA BEKALAN SAYUR DAN BUAH-BUAHAN

Sekitar 30 peratus bekalan buah-buahan dan 50 peratus bekalan sayur yang diimport ke Singapura dikendalikan di pasar borong Pasir Panjang itu.

"Walaupun penutupan itu akan menganggu bekalan buah-buahan dan sayur disini, ia hanya untuk tempoh singkat kerana gerai buah-buahan dan sayur di pasar basah lazimnya ditutup pada hari Isnin," menurut SFA.

Agensi itu menyatakan ia sedang bekerja rapat dengan pihak-pihak berkepentingan seperti persatuan buah-buahan dan sayur, peniaga terjejas serta pengimport dan peruncit untuk mengurangkan kesan terhadap bekalan makanan Singapura akibat penutupan sementara itu.

"Pasar-pasar raya utama juga sedang berusaha untuk menambah bekalan buah-buahan dan sayur mereka," menurut SFA.

Singapura kini mengimport makanan dari lebih 170 rantau, katanya.

"Bagi memastikan daya tahan bekalan makanan Singapura, kami mengamalkan pendekatan berbilang strategi termasuk mempelbagaikan sumber import, menambah pengeluaran tempatan dan luar negara," menurut SFA.

Tambahnya, meskipun bekalan makanan terganggu semasa pandemik, bekalan makanan Singapura tetap stabil.

JANGAN BERGEGAS KELUAR BELI BUAH-BUAHAN DAN SAYUR: GRACE FU

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Ahad menggesa orang ramai agar jangan bergegas keluar untuk membeli buah-buahan dan sayur semasa tempoh ini.

"Hanya beli apa yang diperlukan supaya ada cukup bekalan untuk semua orang," katanya dalam satu catatan Facebook.

SFA juga mengingatkan orang ramai supaya mematuhi langkah pengurusan selamat dan mengekalkan kebersihan diri semasa mengunjungi tempat-tempat seperti pasar basah, pusat penjaja dan kedai kopi.

Agensi itu akan mempertingkatkan langkah pengurusan selamat di pusat itu sebelum ia dibuka semula pada 30 September.

"Kami juga meningkatkan kekerapan ujian bagi semua pekerja di Pusat Borong Pasir Panjang, dari rejim 14 hari kepada tujuh hari," menurtu SFA.

Ujian pada ketibaan bagi semua pelawat dagangan akan diteruskan. Semua penyewa dan pekerja akan menjalani ujian COVID-19 sebelum mereka dibenarkan kembali ke Pusat Borong Pasir Panjang. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan