Skip to main content

Singapura

Pusat beli-belah SG teroka konsep baharu demi pikat pengunjung

Mencipta gaya baharu berdasarkan analisis warna rambut seperti yang tular di Korea, khidmat merapikan kuku khas bagi pelanggan Muslim, dan kedai-kedai yang menjual cemil-cemilan popular dalam kalangan masyarakat Cina.

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat beli-belah SG teroka konsep baharu demi pikat pengunjung

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 31 Oct 2024 06:13PM Dikemas Kini : 31 Oct 2024 07:04PM
SINGAPURA: Mencipta gaya baharu berdasarkan analisis warna rambut seperti yang tular di Korea, khidmat merapikan kuku khas bagi pelanggan Muslim, dan kedai-kedai yang menjual cemil-cemilan popular dalam kalangan masyarakat Cina.

Inilah antara jenis konsep baharu serta kedai-kedai hiburan dan kesejahteraan diri yang memikat para pengunjung ke pusat beli-belah, menurut pihak pengendali pusat beli-belah.

Frasers Property Singapore, yang mengendalikan 12 pusat beli-belah, di mana sebahagian besarnya di kawasan perumahan, mengalu-alukan lebih 100 penyewa baharu sepanjang tahun lalu - di mana separuh daripadanya merupakan peruncit khusus.

Sebagai contoh, di Tampines 1, kedai kaca mata LensKart mengendalikan cawangan studionya yang pertama, yang menggunakan realiti tambahan (AR), bagi membantu para pembeli menentukan kaca mata yang sesuai dengan wajah mereka, kata timbalan ketua pegawai operasi runcit di Frasers Property, Adrian Tan.

Syarikat itu juga sentiasa bekerjasama dengan pengendali medan selera untuk menghasilkan tawaran baharu.

Dengan cara yang serupa, CapitaLand juga menyaksikan kenaikan dalam jenama-jenama baharu di pusat beli-belahnya.

Sekitar 130 jenama baharu menyertai portfolionya pada tahun lalu.

Ini termasuk perniagaan online yang telah membuka kedai fizikal dan lebih banyak kedai konsep bagi masyarakat Cina, kata Cik Tan Mui Neo, yang merupakan pengarah pengurus CapitaLand bagi pengurusan runcit dan ruang kerja.

Antara tawaran baharunya adalah The Inn Live House di Bugis+, di mana para pengunjung boleh menikmati hidangan sambil menonton persembahan 'live' atau secara langsung di hadapan mereka.

MENJADIKAN PUSAT BELI-BELAH LEBIH MENARIK

Dengan mempunyai lebih banyak kedai-kedai hiburan, ia dapat menambah kepada kemeriahan sesebuah pusat beli-belah, terutama sekali pusat beli-belah yang juga menawarkan konsep makanan dan minuman (F&B), kata Cik Sulian Tan-Wijaya, pengarah eksekutif bagi runcit dan gaya hidup di firma hartanah Savills Singapore.

Sehubungan itu, Cik Sulian turut menggesa pusat beli-belah supaya mencipta kelainan sendiri dengan mengikuti perkembangan konsep-konsep baharu bagi memikat pengunjung muda.

Ini lebih-lebih lagi apabila para pengunjung tidak mahu ke pusat beli-belah kerana berasa jemu melihat kedai yang sama di merata tempat.

"Daripada bergantung pada jenama tradisional yang selamat dan muncul di mana-mana, mereka harus secara proaktif mencari dan memikat jenama atau konsep baharu yang relevan dan menepati trend masa kini," katanya.

Ketua runcit di firma hartanah Knight Frank, Ethan Hsu berkata contoh kedai-kedai yang memikat pengunjung termasuk gedung serbaneka, kedai konsep perdana (flagship) dan taman permainan dalam pusat beli-belah.

"Kesejahteraan, senaman, hiburan - ini merupakan trend yang diikuti oleh rakyat Singapura dan pelancong ke Singapura," katanya.

Pusat beli-belah kini juga telah menganjurkan acara untuk menghimpunkan keluarga, yang mana menurut Encik Hsu, adalah hala tuju yang betul.

USAHA UNTUK PENAMBAHBAIKAN

Cik Tan dari CapitaLand berkata pusat beli-belah boleh menimbangkan untuk mengembangkan bidang-bidang seperti sukan, kecantikan dan makanan.

"Makanan sentiasa menjadi satu-satunya (bidang), yang mana saya rasa orang ramai mahu datang dan (memasuki pasaran), terutama sekali dari China," katanya.

"Kami menerima banyak pertanyaan dari China, bukan sekadar (menjual) hidangan Cina, tetapi jenis hidangan yang lain... tetapi juga dikendalikan oleh pemilik dari China."

Encik Tan dari Frasers berkata syarikatnya cuba membezakan dirinya dengan tampil lebih inklusif.

10 daripada pusat beli-belahnya kini menyediakan Dementia Go-To-Points (GTP) atau pusat sumber yang menyediakan maklumat mengenai demensia, manakala kakitangan barisan hadapan dilatih untuk mengesan individu yang dalam keadaan cemas.

Syarikat itu kini mencari lebih ramai penyewa untuk menyertai dan berkhidmat kepada masyarakat yang rencam.

Walaupun pusat beli-belah di kawasan kejiranan perlu menawarkan pilihan bagi keperluan harian asas seperti barangan dapur dan makanan, lebih banyak yang ia boleh tawarkan, kata Encik Tan.

"Kita juga ingin pastikan bahawa setiap pusat beli-belah menawarkan pengalaman... bermakna terdapat aktiviti untuk dilakukan, perkara untuk dilihat, lebih banyak lagi yang boleh dilakukan," katanya.

"Jadi ia menjadi harapan kami untuk cuba melihat dan menjadikan pusat beli-belah kita satu ruang yang lebih inklusif."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita