Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat baru tangani permintaan meningkat bagi khidmat pergigian

Pusat Kesihatan Oral Universiti Nasional (NUCOHS) dibuka secara rasmi hari ini (5 Jul), sekaligus menjadikannya pusat kedua di Singapura untuk menawarkan khidmat kesihatan pergigian yang khusus.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Jul 2019 02:21PM Dikemas Kini : 05 Jul 2019 09:48PM

SINGAPURA: Pusat Kesihatan Oral Universiti Nasional (NUCOHS) dibuka secara rasmi hari ini (5 Jul), sekaligus menjadikannya pusat kedua di Singapura untuk menawarkan khidmat kesihatan pergigian yang khusus.

Pusat baru itu, yang ditubuhkan untuk menangani permintaan meningkat rakyat tempatan bagi khidmat pergigian, akan menawarkan khidmat serupa dengan Pusat Pergigian Nasional. Pengarah NUCOHS, Patrick Finbarr Allen, berkata demikian semasa satu taklimat media pada Selasa (2 Jul).

Encik Allen berkata sedang ramai rakyat Singapura menyedari tentang pentingnya memastikan kesihatan oral yang baik, lebih ramai juga mencari khidmat pergigian khusus.

NUCOHS, yang terletak di kampus Kent Ridge National University Health System (NUHS), sudah beroperasi sejak Januari lalu.

Pusat itu menyepadukan khidmat pergigian daripada Hospital Universiti Nasional, Hospital Besar Ng Teng Fong, Hospital Alexandra, Pusat Perubatan Jurong dan Poliklinik-Poliklinik Universiti Nasional dengan Fakulti Pergigian Universiti Nasional Singapura (NUS).

Semasa berucap di acara perasmian NUCOHS, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong menarik perhatian mengenai pentingnya untuk meningkatkan keupayaan rawatan yang betul bagi para pesakit yang mengalami masalah kesihatan oral.

"Kebanyakan masalah kesihatan oral boleh dicegah dengan mengamalkan tabiat menjaga kebersihan oral... Namun bagi mereka yang mempunyai masalah pergigian lebih rumit, mereka boleh mendapatkan khidmat daripada dua pusat pergigian khas nasional kami.

"Bersama-sama dengan Pusat Pergigian Nasional Singapura sedia ada di Kampus Outram, NUCOHS akan meningkatkan keupayaan untuk menawarkan rawatan pergigian khusus bersubsidi bagi mereka yang mengalami masalah pergigian lebih serius ataupun rumit."

Sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat, NUCOHS meningkatkan keupayaan menampung iaitu dari 300 pesakit sehari di Universiti Kelompok Pergigian NUH kepada 500 pesakit sehari apabila ia beroperasi sepenuhnya. Jumlah itu adalah peningkatan 40 peratus berbanding jumlah pesakit yang dirawat oleh NUH pada masa ini.

NUCOHS juga dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan bagi golongan berkeperluan khas.

Misalnya, kerusi dengan had berat badan sebanyak 325 kilogram akan disediakan bagi para pesakit yang mengalami masalah berat badan berlebihan, serta alat bantuan pengangkat untuk memindahkan para pesakit yang tidak boleh berjalan ke kerusi.

Sebuah alat untuk menjongketkan kerusi roda juga memudahkan doktor gigi untuk merawat para pesakit kurang upaya.

NUCOHS juga akan menawarkan rawatan bersubsidi dan merancang untuk bekerjasama dengan poliklinik untuk menyediakan jagaan pergigian untuk para pesakit di seluruh negara.

Selain khidmat jagaan pesakit, bangunan setinggi 11 tingkat itu juga dilengkapi dengan keupayaan latihan dan penyelidikan, sebagai sebahagian daripada hasil kerjasamanya dengan Fakulti Pergigian NUS. Dua aras bangunan itu dikhususkan bagi makmal-makmal penyelidikan.

Buat julung-julung kalinya juga, para mahasiswa pergigian di NUCOHS berpeluang menggunakan teknologi realiti maya (VR) untuk membantu mereka dalam pembelajaran.

Dengan menggunakan simulasi VR, mereka boleh melatih menggerudi dan memberi suntikan dalam sekitaran yang dikawal sebelum merawat para pesakit.

NUCOHS berharap untuk memperluaskan pusatnya dan melanjutkan kerja-kerja penyelidikan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan keupayaan robotik bagi menyokong latihan dan khidmat pergigiannya. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan