Skip to main content

Singapura

Pusat bandaran dipertingkat, keterhubungan lebih baik & ruang hijau lebih meluas antara usaha naik taraf Bukit Merah

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat bandaran dipertingkat, keterhubungan lebih baik & ruang hijau lebih meluas antara usaha naik taraf Bukit Merah

Gambar: HDB

Diterbitkan : 17 Sep 2023 10:55PM Dikemas Kini : 17 Sep 2023 10:56PM
SINGAPURA: Hampir 130,500 penduduk di Bukit Merah boleh menjangkakan transformasi pusat bandaran serta ruang masyarakat mereka, serta keterhubungan yang dipertingkat ke ruang hijau seperti Koridor Kereta Api dan Southern Ridges dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang.

Kerja-kerja naik taraf ini merupakan sebahagian daripada program Membentuk Semula Estet (ROH) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan rancangan lain untuk memberi nafas baharu kepada Bukit Merah.

Demikian diumumkan Menteri Kedua Pembangunan Negara Indranee Rajah pada Ahad (17 Sep).

Bukit Merah, di samping Ang Mo Kio, Queenstown dan Choa Chu Kang, dipilih untuk menjalani usaha menghidupkan semula kawasan kejiranan pada 2020 sebagai kumpulan keempat bandar untuk tergolong di bawah program ROH.

Program tersebut, yang pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2007, bermatlamat untuk menyuntik nafas baharu kepada estet-estet yang lebih matang bagi memenuhi keperluan masyarakat yang kian berubah, sementara memastikan kawasan kejiranan HDB kekal menarik.

HDB menyatakan dalam kenyataan medianya pada Ahad bahawa ia telah mengendalikan satu siri tinjauan dan perbincangan kumpulan fokus bersama penduduk dan pihak berkepentingan dari 2020 hingga 2022 bagi mendapatkan pandangan mereka dalam melakarkan rancangan naik taraf itu bagi kumpulan keempat bandar ROH.

Sekitar 1,700 penduduk dan anggota masyarakat dari empat bandar mengambil bahagian dalam perbincangan itu dan HDB menggunakan maklum balas tersebut untuk memperhalusi rancangannya.

Rancangan pembaharuan terkini bagi Bukit Merah, yang terdiri daripada estet Redhill, Tiong Bahru, Telok Blangah dan Mount Faber, serta sebahagian daripada kawasan Tanjong Pagar, akan "menyuntik lagi nafas baharu" kepada bandar itu, kata HDB.

Pusat bandaran Bukit Merah akan menjalani pengubahsuaian untuk meningkatkan daya tarikannya, sekali gus meningkatkan pengalaman membeli-belah bagi para penduduk.

Sebuah ruang acara yang baharu dan lebih besar dengan tempat teduh, berserta tempat duduk, akan menggantikan pentas berteduh sedia ada yang terletak bersebelahan dengan bangunan Rubikon.

Ia sekali gus akan menyediakan ruang lebih selesa bagi acara masyarakat lebih besar-besaran untuk diadakan, seperti persembahan dan bazar perayaan.

Pusat membeli-belah pejalan kaki di pusat bandaran akan dinaik taraf untuk menyediakan lebih banyak ruang tempat duduk bagi penduduk dan jika boleh, kawasan permainan baharu akan dibina untuk memeriahkan kawasan tersebut. Penduduk juga akan dipelawa untuk mewujudkan bersama beberapa ruang masyarakat itu.

Laluan pejalan kaki dan berbasikal baharu, serta laluan penghubung berteduh, akan ditambah di sepanjang Redhill Close untuk menjadikannya lebih selamat dan mudah bagi pengguna untuk melakukan perjalanan antara Pusat Bandaran Bukit Merah dengan stesen MRT Redhill.

Dua stesen MRT - Stesen Keppel dan Cantonment - akan dibuka menjelang 2026, melengkapkan rangkaian ke stesen Marina Bay dan meningkatkan keterhubungan rangkaian kereta api untuk penduduk dan penumpang di Bukit Merah.
 
Related article image
Gambar: HDB
NAIK TARAF PUSAT KEJIRANAN

Kawasan umum enam Pusat Kejiranan (NC) yang sedia ada di Bukit Merah, termasuk Beo Crescent dan Brickworks, juga akan dilengkapi dengan lebih banyak kemudahan seperti tempat duduk luaran, kemudahan permainan, ruang hijau dan ruang untuk acara masyarakat.
Related article image
Gambar: HDB
LEBIH BANYAK RUANG MESRA WARGA EMAS

Memandangkan lebih daripada sepertiga penduduk Bukit Merah adalah daripada golongan yang berusia 60 tahun dan ke atas, satu tumpuan utama bagi rancangan naik taraf itu adalah untuk menjadikan kejiranan tersebut lebih mesra warga emas.

Ruang bersama di pusat bandaran, NC dan estet perumahan akan dinaik taraf dengan laluan pejalan kaki berteduh, tanjakan dan lantai tidak licin, serta lebih banyak kawasan tempat duduk, sekali gus meningkatkan keselamatan penduduk.

Prasarana penuaan aktif seperti taman terapeutik, laluan kecergasan atau sudut serta peralatan senaman akan ditambah ke pelbagai taman di Bukit Merah untuk menggalak kehidupan sihat.
 
Related article image
Gambar: HDB


Pelan ROH akan dipamerkan di Pusat Bandaran Bukit Merah dari 17 sehingga 24 September, sebelum beralih ke Kelab Masyarakat Telok Blangah, Kelab Masyarakat Radin Mas dan Tiong Bahru Plaza.


Para penduduk dipelawa untuk mengunjungi pameran tersebut. Mereka boleh berkongsi pandangan dan maklum balas mereka berhubung pelan ROH secara online di HDB InfoWEB.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita