Pusat Bahasa Tamil Umar Pulavar akan berpindah ke Jalan Besar pada 2027
Pusat Bahasa Tamil Umar Pulavar akan berpindah ke Jalan Besar mulai Januari 2027 selepas tempoh sewanya di 2 Beatty Road, Bendemeer, tamat.
Gambaran artis yang menunjukkan kampus baharu Pusat Bahasa Tamil Umar Pulavar di 1 Victoria Lane. (Gambar: MOE)
Kediaman baharu pusat itu akan terletak di 1 Victoria Lane, tapak bekas Sekolah Rendah Stamford, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Sabtu (23 Ogos).
Pusat bahasa MOE itu menawarkan mata pelajaran Tamil pada peringkat G1, G2 dan G3, Tamil Tinggi serta sastera kepada para pelajar sekolah menengah, selain berfungsi sebagai Pusat Sumber Bahasa Tamil Nasional.
MOE menambah bahawa ia akan berkongsi tapak di Victoria Lane dengan “pengguna yang sesuai, yang akan dikenal pasti kemudian hari.”
Mengenai kampus baharu itu, kementerian menyatakan bahawa ia akan menyediakan ruang pembelajaran yang lebih luas dan kemudahan yang dinaik taraf, termasuk gelanggang berbumbung yang boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti seperti Kabaddi, serta bilik darjah yang lebih besar. Kabaddi merupakan sejenis sukan lasak popular di benua kecil India.
Pusat itu menawarkan seni persembahan India sebagai kegiatan kokurikulum (CCA) dan mengendalikan Program Elektif Bahasa Tamil Kebangsaan - sebuah program dua tahun di peringkat prauniversiti. Ia juga menganjurkan kelas pengayaan dan aktiviti kebudayaan untuk pelajar dari prasekolah MOE hingga ke maktab rendah, serta menempatkan guru utama dan guru pakar bahasa Tamil.
MOE menyatakan bahawa lokasi baharu pusat itu akan menawarkan pelajar dan guru akses pengangkutan awam yang lebih baik kerana ia terletak dalam jarak berjalan kaki dari stesen MRT Bugis dan Jalan Besar, serta mempunyai perkhidmatan bas yang meluas.
Perpindahan itu juga meletakkan pusat berkenaan lebih dekat dengan rakan kerjasamanya, seperti Pusat Warisan India dan Persatuan Peniaga dan Warisan Little India, selain kawasan seni dan budaya India di Singapura.
Menurut MOE, ia juga boleh mewujudkan lebih banyak peluang kerjasama kerana pusat itu berhampiran institusi pendidikan seperti Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) yang bakal dibina, Sekolah Northlight dan Sekolah Hong Wen. SUSS akan mempunyai kampus baharu di bekas tapak dan di sekitar Rochor Centre menjelang pertengahan 2030-an.
Beberapa ciri utama kampus Beatty Road, seperti patung Thiruvalluvar, akan dikekalkan di kampus baharunya di Victoria Lane.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.