Pusat Anti-Penipuan SPF peroleh kembali S$6.6 juta daripada penipuan emel
Pusat Anti-Penipuan Pasukan Polis Singapura (SPF) berjaya mendapatkan semula S$6.6 juta daripada satu penipuan emel iaitu pemerolehan kembali yang terbesar sejak pusat itu ditubuhkan Jun tahun lalu.
Pusat Anti-Penipuan SPF ditubuhkan pada 18 Jun 2019. (Gambar: SPF)
SINGAPURA: Pusat Anti-Penipuan Pasukan Polis Singapura (SPF) berjaya mendapatkan semula S$6.6 juta daripada satu penipuan emel iaitu pemerolehan kembali yang terbesar sejak pusat itu ditubuhkan Jun tahun lalu.
Polis menyatakan pada Khamis (8 Okt) ia dimaklumkan oleh United Overseas Bank (UOB) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat pada Sabtu lalu tentang kes yang disyaki pengubahan wang haram.
Sebuah bank luar negara menghubungi UOB untuk segera mengembalikan AS$5 juta (S$6.79 juta) yang dipindahkan ke dalam sebuah akaun UOB berpangkalan di Singapura yang dimiliki sebuah syarikat tempatan.
Siasatan awal mendapati pemindahan wang itu terkait dengan satu penipuan e-mel perniagaan, kata polis. Akaun itu dibekukan dan sebahagian wang diperolehi kembali.
Bersama-sama UOB, Pusat Anti-Penipuan berjaya mengesan pecahan lain daripada jumlah keseluruhan itu dan mendapatkan semula sejumlah wang yang dipindahkan dari akaun UOB berpangkalan di Singapura ke akaun UOB di Malaysia.
Secara keseluruhannya, S$6.6 juta atau sekitar AS$4.91 juta diperolehi kembali dan polis menyatakan ia masih mengesan baki jumlah wang yang dipindahkan itu.
Jabatan Ehwal Komersil juga sedang menyiasat syarikat tempatan berkenaan yang disyaki terlibat dalam penipuan tersebut.
Polis memuji UOB atas bantuan yang dihulurkannya sambil menyatakan kerjasama itu membuktikan peri pentingnya bekerjasama untuk melawan penipuan dan penipuan rentas sempadan. Polis juga menasihatkan orang awam dan perniagaan supaya berwaspada serta berjaga-jaga terhadap penipuan emel perniagaan yang terjejas.
"Penipuan seumpama itu melibatkan perniagaan diperdaya dengan menggunakan alamat emel syarikat atau pelanggan yang telah terjejas dan membuat mereka memindahkan sejumlah besar wang ke tangan yang salah," jelas polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.