The Purple Symphony perluaskan jangkauan, buka peluang untuk anggota pikul peranan kepimpinan
Cik Siti Sakinah Zainal (bertudung ungu), semasa Konsert Tahunan The Purple Symphony.
This audio is generated by an AI tool.
Ini selain daripada konsert tahunannya yang sudah diadakan buat kali ke-12, untuk terus meraikan kebolehan golongan kurang upaya.
Ditubuhkan pada 2015, TPS juga merancang untuk membuka lebih banyak peluang kepada para anggotanya untuk memikul peranan kepimpinan.
Ia berharap dapat memperkukuhkan keyakinan diri anggotanya, semangat kerja berpasukan serta kemahiran kepimpinan yang memberi manfaat bukan sahaja di atas pentas, malah dalam kehidupan seharian.
KURANG DAYA PENGLIHATAN TIDAK HAMBAT PEROLEH GRED 8 PIANO
Muzik bukan sekadar hobi, malah menjadi wadah untuk mengatasi cabaran dan menyerlahkan bakat.
Itulah semangat yang dipegang Siti Sakinah Zainal, seorang anggota The Purple Symphony, orkestra inklusif terbesar Singapura.
Walaupun mengalami masalah penglihatan, Cik Sakinah akhirnya mengikuti latihan formal sebelum berjaya memperoleh Gred 8 piano dengan kepujian.
Bakatnya turut mendapat pengiktirafan apabila dijemput membuat persembahan di peringkat akhir Pertandingan Piano & Violin Antarabangsa Singapura 2021, selepas menyertai pertandingan tersebut dalam kategori terbuka.
"Antara cabaran saya adalah saya tidak boleh membaca nota muzik. Jadi saya perlu menghafal semua nota-nota dan memerlukan banyak latihan," kongsi Cik Sakinah.
"Saya memang dari kecil mempunyai impian untuk mendapatkan Gred 8. Jadi untuk saya, saya cuma memerlukan masa yang lebih sikit untuk mencapai cita-cita saya," katanya lagi.
Bagi Cik Sakinah, setiap konsert bukan sahaja memberi peluang untuk mengasah kemahirannya, malah membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk terus mencabar dirinya.
"Konsert ini amat bermakna sebab setiap konsert mempunyai tema yang berbeza, jadi persiapannya juga berbeza," jelas Cik Sakinah.
Meskipun memerlukan lebih banyak masa untuk menguasai setiap karya, Cik Sakinah tetap menantikan setiap persembahan sebagai peluang untuk terus mengembangkan bakat serta berkongsi kecintaannya terhadap muzik bersama para penonton.
Cik Sakinah merupakan antara pemuzik yang membuat persembahan di konsert tahunan kumpulan orkestra itu yang ke-12 pada Khamis (18 Jun).
Bertemakan "Around the World: A Dance Edition", konsert tahun ini mempersembahkan pelbagai lagu dan karya muzik berinspirasikan tarian dari serata dunia, sekali gus membawa penonton mengembara merentasi pelbagai budaya melalui muzik.
Orkestra tersebut bertujuan untuk menyokong inklusiviti dan meraikan kebolehan golongan kurang upaya.
"Kami mahu menggunakan muzik sebagai wadah untuk menghubungkan orang ramai, menyatukan mereka, serta mempamerkan kebolehan para pemuzik kami,"kata Datuk Bandar Daerah Tengah dan Penasihat The Purple Symphony, Denise Phua.
Sejak penubuhannya, The Purple Symphony telah membuat sejumlah persembahan, termasuk di Kebun Bunga Singapura, kawasan kejiranan serta kolaborasi bersama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.