Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Purata masa menunggu masuk wad hospital naik hingga 7.2 jam, dedah MOH

Anggaran Waktu Membaca:
Purata masa menunggu masuk wad hospital naik hingga 7.2 jam, dedah MOH

(Gambar: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 25 Apr 2023 07:17PM Dikemas Kini : 25 Apr 2023 07:19PM
SINGAPURA: Dengan jabatan kecemasan hospital menyaksikan jumlah pesakit lebih tinggi sejak dua minggu lalu, purata masa menunggu untuk dimasukkan ke dalam wad meningkat dari kira-kira lima jam kepada 7.2 jam, dedah Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (25 Apr).

Jumlah pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 kedua-duanya melonjak, menurut MOH, sambil menambah bahawa sebilangan hospital mempunyai masa menunggu yang lebih panjang berbanding hospital-hospital lain.

"Punca utamanya, seperti yang dijelaskan baru-baru ini oleh Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di Parlimen pada 21 Mac 2023 adalah kita mempunyai lebih ramai pesakit yang mempunyai keperluan kesihatan yang rumit, biasanya mereka yang lebih lanjut usia, yang perlu berada di hospital buat jangka lebih lama," menurut kementerian itu.

"Ini menyebabkan lebih banyak katil hospital digunakan, yang memperlahankan aliran pesakit dari jabatan kecemasan ke wad hospital."

MOH menyatakan bahawa pesakit akan dirawat sementara menunggu giliran untuk dimasukkan ke dalam wad.

"Hospital awam akan mengerahkan pasukan pesakit di hospital untuk memulakan pemeriksaan dan rawatan untuk pesakit di jabatan kecemasan sementara menunggu untuk dimasukkan ke hospital," menurut kementerian itu.

"Jika jagaan segera diperlukan, pesakit-pesakit ini boleh menjalani pembedahan di bilik pembedahan atau menjalani rawatan segera di tempat lain di hospital itu, meskipun katil wad belum disediakan."


"FAKTOR UNIK DAN LUARAN"

Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) menyaksikan purata masa menunggu paling lama sepanjang minggu itu - hampir 30 jam pada 10 April - dan juga mempunyai kadar penggunaan katil harian sebanyak 100 peratus bagi enam daripada tujuh hari itu.

Hospital itu memberitahu Mediacorp bahawa ia "mengalami jumlah pesakit yang ramai sejak beberapa bulan lalu" dan ia terus memberi keutamaan kepada mereka yang dalam keadaan tenat.

"Terdapat faktor unik dan luaran yang menyumbang kepada masa menunggu yang lebih lama untuk mendapatkan katil di KTPH," kata jurucakap hospital itu.

LEBIH BANYAK KATIL DIPERLUKAN

Bagi jangka panjang, huraian bagi masa menunggu yang panjang di hospital-hospital Singapura ialah penambahan katil, menurut MOH.

"Hakikatnya, keadaan itu perlu dihuraikan dengan meningkatkan kapasiti hospital, yang pembangunannya ditangguh akibat COVID-19," menurut kementerian itu.

"Hab Jagaan Bersepadu Hospital Tan Tock Seng, yang akan mula beroperasi pada lewat 2023 mampu memuatkan 600 katil.

"Dalam pada itu, apabila perlu, hospital akan menangguhkan pembedahan yang tidak mendesak. Ia juga mungkin akan memindahkan kakitangan ke bahagian dengan permintaan yang tinggi. Orang ramai juga dinasihatkan supaya menziarahi doktor keluarga, poliklinik dan pusat jagaan segera dan bukannya hospital bagi penyakit yang tidak mengancam nyawa."

MOH juga semakin memperluaskan bilangan kemudahan jagaan peralihan untuk memudahkan proses bagi membolehkan pesakit yang stabil untuk pulang ke rumah.

"Program seperti MIC@Home, GPFirst, telekonsultasi dan teleperubatan akan dipertingkatkan untuk mengurangkan permintaan di hospital," menurut kementerian itu.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan