Pupuk generasi fasih utarakan idea dan pendapat dalam bahasa Ibunda - Dr Maliki Osman
SINGAPURA: Penting untuk memupuk generasi yang fasih dalam mengutarakan idea dan pendapat dalam bahasa Ibunda.
Dengan cara itu, golongan pemikir yang peduli terhadap bahasa dan budaya Melayu dapat dilahirkan dalam kalangan pelajar kita.
Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohamad Maliki Osman menekankan demikian di Fiesta Bahasa 2023 di One Punggol pada Sabtu (8 Jul).
Dr Maliki berkata untuk memastikan bahasa Melayu terus hidup dan kekal relevan, usaha untuk menggunakannya dalam pertuturan harian perlu dipertingkatkan.
Ini menurut beliau akan memastikan bahasa Melayu terus hidup dalam jiwa masyarakat.
"Sejajar dengan visi pendidikan Bahasa Melayu di Singapura untuk membina insan yang Arif Budiman, amatlah penting bagi kita untuk memupuk generasi yang fasih dalam mengutarakan idea dan pendapat dalam bahasa Ibunda. Dengan cara ini kita dapat melahirkan pemikir dalam kalangan pelajar kita yang peduli terhadap Bahasa dan budaya Melayu," kata beliau.
BAHASA GEMILANG, MINDA CEMERLANG
Fiesta Bahasa di One Punggol itu dianjurkan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).
Tema tahun ini adalah 'Bahasa Gemilang, Minda Cemerlang'.
Sebanyak dua pertandingan diadakan tahun ini, iaitu pertandingan bicara berirama untuk peringkat sekolah rendah dan skit 123 aksi untuk para pelajar peringkat menengah.
Pertandingan tersebut memberikan para pelajar peluang untuk memikirkan cara-cara yang kreatif dan lebih yakin dalam penggunaan bahasa Melayu.

Pihak penganjur turut berjaya mencatatkan rekod baru, ‘Pantun Ciptaan Asli Terbanyak Singapura’ dalam Buku Rekod Singapura.

Pantun-pantun tersebut disumbangkan lebih 60 sekolah dan rakan kongsi masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.