Skip to main content

Singapura

Puntung rokok mungkin punca kebakaran di Bedok North, dedah mahkamah koroner

Anggaran Waktu Membaca:
Puntung rokok mungkin punca kebakaran di Bedok North, dedah mahkamah koroner

(Gambar: Facebook/SCDF)

Diterbitkan : 30 Jun 2023 03:57PM
SINGAPURA: Kebakaran yang berlaku di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bedok North yang meragut nyawa seorang kanak-kanak, bapanya dan rakan serumah mereka mungkin bermula dari puntung rokok yang masih menyala dan ditinggalkan di atas kotak kadbod.

Demikian didedahkan pada Jumaat (30 Jun) semasa pembukaan siasatan koroner ke dalam kematian Tan Hui En, tiga tahun, bapanya Tan Soon Keong, 35 tahun dan rakan serumah mereka Chan Ai Lin Aileen, 56 tahun.

Rokok yang masih menyala itu didakwa ditinggalkan teman lelaki Cik Chan, yang hanya dinamakan sebagai Encik Ithnin di mahkamah terbuka, pada sekitar pukul 5.00 pagi, pada 13 Mei 2022.

Dia dikatakan meletak rokok itu di atas kotak kadbod bersebelahan kerusi malas yang didudukinya sebelum meninggalkan flat itu di Blok 409 Bedok North Avenue 2 untuk ke kerja.

Bagaimanapun, dia kemudian teringat tentang rokok tersebut dan menghantarkan kiriman mesej suara ke Cik Chan memintanya untuk membuang rokok itu.

Menurut kiriman-kiriman mesej yang diperolehi para penyiasat, Cik Chan membalas bahawa perbuatan itu mendatangkan bahaya dan "nasib baik" ia tidak mencetus kebakaran.

Cik Chan juga menjawab bahawa beliau sudah membuang rokok tersebut.

Wanita itu juga membalas kiriman mesej pada 5.47 pagi.

Ketua penyiasat kebakaran bagi kes itu memberi keterangan bahawa ada kemungkinan sudahpun berlakunya "pertukaran haba" apabila puntung rokok yang masih menyala itu terkena kadbod itu.

Dengan adanya komponen yang diperlukan seperti aliran udara dan bahan api, haba itu masih boleh terus dihasilkan.


Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan rumah tersebut dipenuhi kotak-kotak kadbod, kepingan kayu dan barangan lain yang mudah terbakar seperti perabot di ruang tamu.

Selepas mengesan kawasan punca kebakaran, para penyiasat menolak kemungkinan lain yang menyebabkan kebakaran, termasuk peralatan elektrik dan lampu siling, yang masih berfungsi dengan baik.

Satu-satunya mangsa kebakaran yang terselamat adalah isteri mendiang Encik Tan, yang juga ibu kepada kanak-kanak tersebut. Dia masih berada dalam keadaan tenat di sebuah hospital di Malaysia.

Wanita itu berada dalam keadaan tidak boleh bergerak dan tidak mungkin akan kembali seperti biasa, menurut pegawai utama siasatan Pasukan Polis Singapura (SPF) berhubung kes itu.


Koroner akan menyerahkan dapatan mengenai kes itu pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita