Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PUNCAK JAYA: Sidang Masyarakat Gemilang jana pemikiran baru untuk tingkatkan lagi masyarakat Melayu/Islam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penyelesaian dan pendekatan yang berbeza diperlukan untuk menangani cabaran-cabaran baru dan lebih rumit dalam usaha mengemudi dan memperkasakan masyarakat Melayu/Islam ke arah kejayaan.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata demikian di luar di Persidangan Masyarakat Gemilang pada Sabtu (8 Okt).

Persidangan sulung itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-40 MENDAKI serentak dengan bulan Raikan Ilmu.
Gambar: Rosli A Razak
Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Suntec City itu menghimpunkan lebih 200 pemimpin masyarakat, karyawan dan belia bagi membincangkan isu-isu yang dihadapi masyarakat

Turut hadir ialah Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman, Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan Zaqy Mohamad dan beberapa Anggota Parlimen Melayu/Islam.

Bercakap kepada BERITAmediacorp selepas satu sesi dialog tertutup, Encik Masagos berkata acara itu memberi peluang kepada para peserta untuk memahami perjalanan yang telah dilalui oleh MENDAKI sejak penubuhannya dan juga masyarakat dari segi pencapaian pendidikannya.
Gambar: Rosli A Razak
"Saya rasa bersyukur ramai sekali sukarelawan dan karyawan ke depan hari ini untuk mengimbas kembali perjalanan masyarakat kita menjadi Masyarakat Gemilang, sekaligus memberi sumbangan idea dan juga pendapat mereka apa yang harus kita lakukan ke depan dan bagaimana mereka dapat menyokong perjalanan masyarakat dalam kita mencapai peningkatan dalam pendidikan," kata beliau.

Menurut Encik Masagos, semakin ramai golongan karyawan yang tampil untuk menyumbang kepada masyarakat.

"Kalau awal-awal dulu, saya mengimbas kembali kepada foto-foto di mana Yayasan MENDAKI telah diusulkan, hampir semua yang terlibat adalah daripada golongan lelaki sahaja, pemimpin-pemimpin lelaki. Tetapi hari ini, kita lihat sama jumlahnya wanita dan lelaki yang bersama untuk memberi pendapat, sama-sama untuk bergotong-royong untuk memimpin masyarakat kita ke depan."
Gambar: Rosli A Razak
Tambahnya, profil karyawan yang melibatkan diri dalam usaha masyarakat juga lebih pelbagai.

"Semakin ramai daripada mereka adalah dari golongan karyawan, tidak semestinya daripada kepimpinan badan-badan Melayu/Islam. Mereka adalah yang masih merasakan tanggungjawab untuk membantu mereka yang masih tertinggal, yang perlu bantuan dan ingin menyumbang dalam badan seperti Yayasan MENDAKI," kata beliau.

"Ini adalah satu petanda baik bahawa masyarakat kita walaupun setelah lebih ramai menjadi masyarakat yang berjaya, individu yang berjaya, mereka tidak meninggalkan rasa untuk sama-sama bergotong-royong membantu dan ini adalah petanda kejayaan yang diberkati bukan hanya kejayaan yang memanfaatkan diri sahaja."

Beliau berharap sinergi institusi-institusi masyarakat -
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan MENDAKI dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) dapat terus dimanfaatkan dalam usaha menangani cabaran-cabaran baru.
Gambar: Rosli A Razak
"Ke depan kita mahu semua institusi-institusi ini menggembleng tenaga dan sinergi, mencapai sinergi untuk sekaligus mencapai semua matlamat ini bersama-sama dan ini memberikan satu wadah kepada masyarakat kita dan mereka yang mahu menyumbang terutama mereka yang muda yang mungkin melihat perspektif masalah masyarakat secara berbeza.

Wadah-wadah ini akan membolehkan mereka melibatkan diri dan mengemukakan pemikiran baru untuk meningkatkan lagi kehidupan masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan