Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PUNCAK JAYA: Perubahan Skim Tuisyen MENDAKI sepanjang 40 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dua guru pembimbing Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) bertekad untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan melihat anak-anak Melayu/Islam berjaya di Singapura.

Itulah yang mendorong mereka untuk menyumbang tenaga dan masa kepada pelajar.

Bagi salah seorang daripada mereka, perjalanannya sebagai seorang guru MTS bermula 14 tahun yang lalu.

Pada ketika itu, Cik Farah Suhaimi baru sahaja berusia 20 tahun dan diterima masuk ke Institut Pendidikan Nasional (NIE). 

Pernah mengajar tuisyen dari rumah ke rumah sebelum itu, beliau mempunyai hasrat untuk meningkatkan lagi pengalamannya dalam bidang pengajaran.

Dengan itu, bermulanya perjalanan beliau sebagai tenaga pengajar MTS pada 2008 di Sekolah Rendah Admiralty.

Namun, ini kemudian berputik menjadi minat yang mendalam untuk melihat anak Melayu/Islam berjaya.

"Saya terdorong untuk memberi kembali kepada masyarakat melihat kejayaan anak-anak Melayu/Islam di Singapura dan juga membantu meningkatkan kemampuan guru-guru supaya dapat memberikan pengajaran yang lebih baik dan dapat dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar MTS kita," kongsi Cik Farah kepada BERITAmediacorp. 

DIIKTIRAF KETUA GURU TUISYEN TERBAIK TIGA KALI 

(Gambar: Yayasan MENDAKI) 

Malah, selepas setahun mengajar, beliau dilantik sebagai ketua pembimbing dan pernah diiktiraf sebagai Ketua Guru Tuisyen Terbaik sebanyak tiga kali pada 2010, 2012 dan 2016. 

Atas sumbangannya itu, beliau turut diiktiraf dengan Anugerah Sumbangan Cemerlang pada 2017. 

Di samping mengimbangi masanya sebagai guru sepenuh masa, Cik Farah juga bertekad untuk terus berkhidmat dengan MTS bagi menyumbang kepada kejayaan para pelajar Melayu. 

Mengimbas kembali kisah lama sebagai tutor MTS, pelbagai kenangan diraih Cik Farah, yang kini berusia 34 tahun.

(Gambar: Yayasan MENDAKI) 

Misalnya, pada setiap Sabtu pagi, beliau akan menunggu kehadiran para pelajarnya sebelum membawa mereka masuk ke bilik darjah bersama-sama untuk memulakan sesi tuisyen.

"Cabaran utama adalah untuk mendapatkan kedatangan yang konsisten dalam kalangan para pelajar dalam seminggu. Lebih-lebih lagi untuk kelas yang diadakan pada hari Sabtu pagi," cerita Cik Farah. 

"Kadangkala memang kita faham juga, susah untuk bangun pagi pada hujung minggu untuk datang ke kelas tambahan," tambahnya lagi. 

Sepanjang 14 tahun berkhidmat dengan MTS, Cik Farah menyaksikan pelbagai perubahan. Ini termasuk pada cara mengajar dan bidang tumpuan. 

"Jika dahulu, fokus diberikan kepada penyelarasan topik yang diajar antara pelajar-pelajar daripada berlainan sekolah," dedah Cik Farah. 

"Bagi bahan-bahan pengajaran pula, dahulu mungkin bahan yang digunakan adalah dalam bentuk buku latihan yang mudah didapatkan di pasaran seperti di kedai buku Popular," tambahnya lagi. 

PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR

Selain itu, ada juga perubahan dalam latar belakang para pelajar yang beliau perhatikan sepanjang berkhidmat.

"Saya melihat golongan pelajar yang datang daripada latar belakang sosioekonomi yang sederhana atau rendah dan rata-rata mereka dalam kalangan pelajar yang kurang motivasi," ujar Cik Farah. 

"Kini, saya lihat pelajar-pelajar yang hadir untuk program MTS ini sebenarnya datang daripada kalangan mereka yang agak kuat dari segi bidang akademik mereka," tambah beliau. 

Demikian juga antara perubahan MTS sepanjang 40 tahun lalu. 

Sebelum tahun 1995, MTS sebernanya dikenali sebagai Skim Tuisyen Hujung Minggu (WTS).

(Gambar: Yayasan MENDAKI) 

"Dulu pedagoginya lebih menekankan hanya kepada subjek-subjek akademik sahaja," kongsi Penolong Pengarah Pendidikan Yayasan MENDAKI, Sabrena Abdullah. 

"Wadah pembelajarannya banyak sekali di dalam bahan buku-buku rujukan dan ilmu itu diturunkan dari guru itu kepada pelajar-pelajar," tambah Cik Sabrena.

Saban tahun, jumlah pelajar juga bertambah. 

Daripada 883 pelajar pada 1982, ia kini mempunyai sekitar 6,591 pelajar tahun ini. 

HAMPIR 253,000 PELAJAR RAIH MANFAAT

Sepanjang empat dekad pula, hampir 253,000 pelajar sudah meraih manfaat daripada MTS.

(Gambar: Yayasan MENDAKI) 

Lantaran itu, ia menjalani evolusi untuk memenuhi keperluan semasa demografi pelajar yang berubah.

Ia termasuk yuran MTS baru-baru ini yang dikurangkan kepada S$10 sahaja bagi pelajar Muslim, daripada S$210 setahun.

Dari segi aspek pentadbiran, Cik Sabrena maklum bahawa terdapat perbezaan juga iaitu sistem digital yang lebih berkesan untuk mendekati para pelajar dan keluarga mereka dengan "lebih terperinci" lagi, daripada dokumentasi dan kertas yang banyak sekali digunakan sebelum itu. 

Selain itu, bermula awal tahun ini, MTS juga menawarkan subjek Sains untuk pelajar Darjah Tiga hingga Darjah Enam, serta pelajar Menengah Tiga hingga Menengah Lima. 

"Pelajar-pelajar sekarang ini mempunyai kandungan pembelajaran yang lebih luas lagi. Sumber kandungan pembelajaran mereka itu di alam maya," ujar Cik Sabrena.

"Mereka lebih banyak bertanya dan oleh kerana mereka lebih banyak bertanya, teknik-teknik pengajaran tutor-tutor juga berbeza daripada zaman dahulu," tambah beliau. 

KAEDAH PENGAJARAN MENARIK

Lantas, dengan peredaran masa, guru masa kini seperti Muhammad Hamizan Djasman, perlu melakarkan kaedah pengajaran yang menarik untuk menarik minat para pelajarnya.

"Saya suka menarik perhatian mereka dengan suara saya yang kuat dan suara yang sedap di dalam kelas. Jadi apabila saya berada di dalam kelas, saya suka bermain dengan intonasi saya," kongsi Encik Hamizan, 26 tahun. 

"Bila saya ingin lebih serius, saya akan merendahkan tona saya. Kalau saya ingin berseronok, saya akan lebih ceria, berinteraksi dan bermain permainan dengan mereka," tambahnya lagi. 

JIKA DAHULU PELAJAR MTS, KINI JADI TUTOR MTS 

Jika dahulu, hampir 10 tahun yang lalu, Encik Hamizan seorang pelajar MTS, kini giliran beliau pula untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Selain tekad memberikan yang terbaik buat pelajarnya, Encik Hamizan, yang juga mahasiswa daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU), kini lebih peka terhadap latar belakang mereka. 

(Gambar: Yayasan MENDAKI) 

"Latar belakang murid-murid yang saya melihat amat berbeza kerana mereka dibesarkan secara berlainan. Jadi, ada yang kuat suara dan ada yang pendiam," kongsi Encik Hamizan kepada BERITAmediacorp. 

Sebaik mungkin, beliau cuba mengimbangi kedua-dua "tenaga ini", sambil memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada mereka. 

Namun, ini tidak datang tanpa cabaran terutama sekali semasa COVID-19.  

Pada ketika itu, ia merupakan kali pertama Encik Hamizan menjalankan kelas menerusi talian.

"Saya seorang yang suka berinteraksi dengan murid-murid. Apabila mereka berada dalam talian, mereka tidak memberi perhatian kepada saya sepenuhnya," ujarnya. 

Namun, untuk mengatasi cabaran itu, Encik Hamizan akan berhubung dengan ibu bapa pelajarnya bagi memastikan anak mereka itu memberi tumpuan yang sewajarnya.

Tahun ini, program MTS disokong oleh sekitar 1,152 tutor bagi menawarkan khidmat di 87 pusat merata negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan