Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PUNCAK JAYA: Pendidikan teras utama MENDAKI dan usaha perlu terus dipergiatkan, kata mantan AP Rohan Kamis

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Dalam wawancara eksklusif ini, mantan Anggota Parlimen Rohan Kamis yang juga adalah anggota pengasas MENDAKI berkongsi dengan BERITAmediacorp tentang perjuangan MENDAKI dan mengapa ia perlu kekal relevan untuk terus memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat.
Pendapat anda tentang pencapaian pendidikan anak dan kedudukan sosial masyarakat Melayu sejak 40 tahun lalu dengan tertubuhnya MENDAKI?

Mendaki telah mencapai agaknya cemerlang. Tetapi pada pendapat saya banyak lagi yang harus, perlu dan boleh dicapai untuk kebaikan masyarakat melayu.

Bila saya menjadi Anggota Parlimen pada tahun 1979, tahun selepas itu iaitu pada tahun 1980, kita ada banci. Dan daripada banci yang diberi kepada para Anggota Parlimen sebelum disebarkan, kita mendapati bahawa pencapaian masyarakat Melayu agak kebelakang. Dan pada masa itu juga kita tahu bahawa 'standard of living' orang Melayu dari segi kewangan agak lebih rendah daripada masyarakat-masyarakat lain. Jadi, di Malay Affairs Bureau PAP, pada masa itu Dr Ahmad Mattar, pengurusi dan saya dilantik sebagai setiausaha kita berbincang masalah ini. Dan kita mendapati bahawa kalau tidak ada sesuatu yang dilakukan untuk memperbaiki masalah ini, kita akan rugi.

Dan bukan saja masyarakat Melayu, tapi juga negara kita. Kerana kalau 'wealth distribution' jatuh pada sesuatu kaum atau masyarakat dan masyarakat seluruhnya akan jadi tidak stabil. Dengan itu, kita bincangkan dan sesuatu harus dilakukan.
Apa yang menjadi pendorong kepada penubuhan Mendaki? Apakah peranan yang anda mainkan dalam penubuhan MENDAKI?

Pertama kali ialah kalau 'distribution of wealth' jatuh selaras dengan masyarakat-masyarakat, negara itu akan jadi tidak stabil. Dan faktor kedua ialah kita mendapati bahawa pencapaian pendidikan ada berkaitan dengan pencapaian kewangan. Dengan itu kita mesti membuat sesuatu dan bila saya mengumpul statistik daripada banci ini, kita semua terperanjat bahawa bila kita tengok pencapaian lulusan universiti bagi kaum Melayu, Cina dan India, kita dapati kaum Melayu yang paling rendah sekali. Dengan itu kita mesti membuat sesuatu untuk meningkatkan pencapaian lulusan universiti sebagai permulaan. Daripada itu, MENDAKI ditubuhkan.
 
(Gambar: MENDAKI)
Adakah dapatan banci penduduk yang dikeluarkan pada 1981 menjadi antara pendorong kepada penubuhan MENDAKI? Apakah reaksi pihak pemerintah dan masyarakat Melayu/Islam terhadap dapatan banci penduduk 1981 dikeluarkan, terutama berkaitan taraf pendidikan dan sosioekonomi masyarakat Singapura?

Sebelum kita merujuk kepada Perdana Menteri Lee Kuan Yew (LKY), kita cuba berbincang dengan para pemimpin generasi kedua. Pada masa itu, kita berbincang dengan Encik Goh Chok Tong, Dr Tony Tan dan Encik Ong Teng Cheong. Mereka bersependapat dengan kita. Selepas itu, kita utarakan kepada LKY dan nampaknya LKY tahu pasal kesusahan masyarakat Melayu dan dia bersependapat dengan pemikiran kita semua. Beliau pun mengatakan supaya teruskan usaha itu. Jadi selepas itu kita adakan perjumpaan dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam dan pada 1980, kita melancarkan MENDAKI secara rasmi dan LKY menjadi tetamu terhormat.

LKY adalah orang yang suka berterus terang. Jadi apa yang dipandangkan pada kita mungkin 90% diutarakan kepada orang ramai. Cuma beliau mengatakan kepada kita semua adalah MENDAKI adalah satu projek yang mesti berterusan.

Idea yang diutarakan kepada masyarakat Melayu, sambutannya sangat menggalakkan, jadi itu pasal bila MENDAKI dilancarkan semua orang agak berharap pencapaian akan lebih baik. 40 tahun sudah berlalu dan yang saya katakan pencapaian agak bagus tapi lebih banyak lagi yang boleh dilakukan dan mesti dilakukan kalau tidak mahu ketinggalan. Kerana walaupun dengan MENDAKI, kita telah mencapai sesuatu tahap yang lebih baik berbanding 40 tahun dulu. Tapi kita mesti ingat bahawa masyarakat-masyarakat lain pun telah mencapai lebih baik.

Anda juga mengeluarkan statistik tentang graduan Melayu yang anda kumpulkan. Mengapa anda mengumpulkan data-data tersebut?

Yang susahnya ialah bukan keluarga-keluarga ini tidak tahu bahawa pendidikan itu penting tapi kadangkala disebabkan oleh kedudukan kewangan, mereka tidak boleh membuat apa-apa pun. Cuba kita lihat kalau masyarakat yang lain kalau penuntut itu, kalau dia terpaksa membuat lain-lain kerja, bukan sahaja untuk mempelajari pelajaran di sekolah tapi terpaksa jual kuih, atau buat kerja untuk menampung kehidupan keluarga yang lain. Jadi bila dia pergi ke sekolah dia penat, jadi dia pun susah. Tapi pada masa dulu kadang-kadang sebelum mereka ke sekolah, kaum lain pun ada tuisyen sendiri. Jadi bila dia pergi darjah satu dia sudah tahu dia punya ABC. Kita pergi kita tak tahu dia punya ABC. Itu pun susah. Dan kita cuba tengok pencapaian masyarakat Melayu agak sama untuk sekolah rendah. Dia tercicir selepas PSLE selalunya. Menengah 1, 2, 3 dan 4 itu yang susah. Jadi kita mesti nak tolong mereka pada masa itu. Dan ketika itulah skim tuisyen ditubuhkan. Jadi kalau pokok nak tinggi, daripada benih mesti dijaga. Tapi kalau orang Melayu atau masyarakat Melayu tidak ada latihan, "surely you will fail". Itu kita tak nak.

Apakah matlamat di sebalik Amanah MENDAKI?

Banyak cabarannya termasuk kewangan dan LKY bersetuju apabila disarankan oleh Dr Ahmad Mattar, beliau benarkan kumpulkan duit MENDAKI melalui CPF. Itu cabaran yang besar sekali. Dengan duit itu kita boleh menampung projek-projek MENDAKI.

Sebagai seorang akauntan terlatih, pendapat saya ialah selepas pencapaian pendidikan, kita mesti gunakan apa yang dibelanjakan. Dan kewangan ialah satu-satu bidang yang sangat penting untuk masyarakat Melayu.Kalau masyarakat Melayu tidak masuk dalam bidang kewangan, kita akan ketinggalan. Untuk memperkenalkan mereka kepada kewangan, kita tubuhkan Amanah MENDAKI.

Dan peluang itu terbit kerana teman saya dalam pilihan raya kecil pada tahun 1979 menjadi pengerusi DBS dan DBS bersetuju dengan amanah saham MENDAKI dan ciri-ciri yang kita minta diadakan. Jadi duit tidak akan hilang dan pendapat saya ialah selepas 10 tahun nanti insya-Allah orang Melayu akan lebih mengetahui macam mana nak melabur. Itulah harapan saya.

Sambutannya sangat hangat. Kita berjaya kumpul S$30-40 juta. Sekarang saya rasa mungkin ada harapan kerana MENDAKI ada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) yang baru. Dan pupuk kepemimpinan yang baru, jadi saya berharap supaya mereka akan melanjutkan objektif yang murni untuk MENDAKI. Untuk kebaikan masyarakat Melayu dalam konteks masyarakat majmuk di Singapura.

Mengapa MENDAKI Travels diusulkan?

Saya mulakan dengan MENDAKI Travels untuk dua sebab. Satu ialah pada masa itu, saya ternampak dan ketahui bahawa orang-orang yang pergi ke haji sebenarnya tidak dijaga dengan baik. Tidak dijaga dengan baik dan agensi-agensi pada masa itu kerja cuma tiga bulan dan tiap-tiap orang yang pergi haji dia akan dapat untung bersih seribu ringgit. Jadi kalau anda hantar 100 orang, anda dapat 100,000 ringgit, 3 bulan punya kerja. Dan nombor dua, kalau duit ini dikumpulkan betul-betul dan "give them competition, you could do something else". Jadi, MENDAKI Travels ditubuhkan.

Saya nampak mungkin bertunas baru pucuk kepemimpinan MENDAKI yang baru nampak mungkin segar dan ada prospek lebih baik tapi kita tak tahulah. Insya-Allah ia akan lebih baik. Kalau tidak, masyarakat Melayu akan hilang sokongan untuk MENDAKI. Saya rasa banyak ahli masyarakat Melayu rasa hampa kerana MENDAKI harus membuat sesuatu yang lebih baik.

Mengapa anda bertanggapan MENDAKI perlu terus dipertingkatkan?

Bila MENDAKI masuk ke dekad kedua, mungkin tidak ramai orang yang tahu. Kami menulis surat kepada Perdana Menteri untuk menyarankan agar MENDAKI terus dipertingkatkan. Surat itu ditulis dan dipersetujui oleh dua lagi. Mansor Haji Sukaimi. Dia yang menulis surat itu. Lagi dua orang, Dr Ahmad Mattar dan saya.

Titik permulaannya adalah pada masyarakat Melayu. MENDAKI ditubuhkan untuk masyarakat Melayu. Pucuk kepimpinan MENDAKI sekarang ini mesti cekap untuk menangani masalah-masalah pada masa akan datang.

"There is another area we should look at". Ada lagi satu sudut yang harus kita kaji. "This is something which is very sensitive tapi harus ditangani dan dihadapi. "That is a concept of glass ceiling in a glass door". Dalam Bahasa Melayu pintu kaca dan siling kaca. Ini penting kerana selepas pelajar-pelajar kita dapat mencapai pendidikan dan lulus di universiti, kita mesti hadapi bahawa di mana-mana pertubuhan, ada pintu kaca dan siling kaca. Ini harus ditangani dan mesti dihadapi.
 
Mengapa anda rasa MENDAKI perlu lebih fokus kepada matlamat-matlamatnya?

Jika jurang dalam masyarakat semakin melebar, kita perlu melakukan sesuatu. Ada banyak yang patut dilakukan. Jangan buat kerja separuh jalan. Itu sangat menyedihkan tapi kita tidak terlambat. Ini kerana MENDAKI sudah ada prasarana dan kewangan dan pucuk kepimpinan MENDAKI mesti bersikap lebih fokus. Kalau dia fokus insya-Allah dalam masa 5-10 tahun kita akan berubah.

Ada baiknya kalau kita bekerjasama dengan pemerintah kerana sumber-sumber yang diperlukan senang diperolehi. Macam sekarang ini, kedudukan kewangan MENDAKI mantap. Cuma kita perlu lebih fokus.

Jangan putus harapan. Ini negara kita dan kita harus memperbaiki kalau ada benda yang tidak baik. Bak pepatah Melayu mengatakan di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Inilah tanah air kita, jadi kita mesti menyokong MENDAKI. Kalau MENDAKI menyeleweng ke apa, kita mesti betulkannya, jangan putus harapan. Insya-Allah, kita akan mencapai matlamat kita.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan