Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PUNCAK JAYA: Kesihatan mental; penjagaan warga emas antara keprihatinan masyarakat Melayu/Islam

Isu-isu kesihatan mental serta kadar kemampuan khidmat-khidmat penjagaan warga tua menjadi antara keprihatinan masyarakat Melayu/Islam sepanjang lebih sedekad yang lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Isu-isu kesihatan mental serta kadar kemampuan khidmat-khidmat penjagaan warga tua menjadi antara keprihatinan masyarakat Melayu/Islam sepanjang lebih sedekad yang lalu.

Demikian hasil kajian yang dijalankan AMP Singapura antara 2010 hingga 2020 yang dibentangkan semasa Konvensyen Nasional AMP yang keempat pada Sabtu (15 Okt).



Dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), AMP membuat kajian daripada sekitar 85,399 bahan yang didapatkan menerusi media arus perdana, media sosial, perbincangan kumpulan fokus dan di WhatsApp.

Daripada kajian itu, mereka mendapati sebanyak 85 peratus prihatin akan kesihatan mental yang dialami masyarakat Melayu/Islam.

Sekitar 87 peratus pula berpendapat kadar kemampuan bagi perkhidmatan jagaan warga tua adalah sesuatu yang mempunyai permintaan paling tinggi untuk diperbaiki.



Dalam pembentangan ucaptamanya, Pengerusi Jawatankuasa Pandu Konvensyen, Encik Hazni Aris berkata dua hasil kajian tersebut hanya boleh didapati menerusi wadah online, namun konsisten dengan kajian konvensional.

"Ia merupakan topik-topik yang berunsurkan tabu atau yang tidak penting seperti isu-isu penuaan dan juga isu-isu kesihatan mental. Ini kami rasa hanya dapat diketahui dalam wadah dalam talian kerana lebih banyak orang lebih selesa bincangkannya secara terbuka berbanding dengan bersemuka," kata Encik Hazni.

Hasil kajian itu juga mendapati tiga topik iaitu 'Pendidikan', 'Pekerjaan' dan 'Islamophobia' paling kerap dibincangkan sepanjang 10 tahun lalu.

Selain penggunaan AI, AMP juga menjalankan kajian secara bersemuka dengan para peserta.

Menerusi kajian yang dilakukan secara bersemuka bersama hampir 1,000 peserta tersebut, beberapa perkara yang menjadi keprihatinan utama termasuklah peranan wanita dalam keluarga serta pencapaian masyarakat Islam dalam kerjaya.

Misalnya, 70 peratus responden bersetuju bahawa wanita Melayu/Islam lazimnya memikul kesejahteraan dan kesihatan keluarga manakala 74 peratus pula merasakan lebih banyak perhatian atau bantuan diperlukan untuk masyarakat Islam bagi memastikan masyarakat Islam mencapai kejayaan dalam kerjaya.

Justeru dengan dapatan-dapatan ini, AMP mahu mendapatkan huraian-huraian untuk tangani isu-isu tersebut.

FORMAT KONVENSYEN BERBEZA DARI EDISI-EDISI SEBELUMNYA

Jika dalam edisi konvensyen sebelum ini, para anggota panel sudah fikirkan huraian-huraian dan cadangan-cadangan terlebih dahulu, pengerusi AMP Singapura Dr Md Badrun Nafis Saion berkata kali ini para peserta juga dijemput untuk memikirkan huraian-huraian secara bersama.



"Kami mahu dengarkan apakah pengalaman nyata anda. Kami mahukan kepakaran anda dan kami minta anda mendalaminya dan berkongsi ilmu dengan kami semua, sedang kami melakarkan strategi untuk masyarakat bersatu, secara bersama," kata Dr Badrun.

Lantaran itu, seramai 500 peserta menyertai acara yang diadakan di MAX Atria, Singapore EXPO pada Sabtu (15 Okt).

Mereka dibahagikan kepada empat panel berbeza untuk perbincangan lebih mendalam dengan 'memainkan peranan' empat persona iaitu belia, keluarga, warga emas dan pejuang masyarakat.

MANFAAT BAGI PARA PESERTA

Selepas lebih dua jam bertukar-tukar pandangan dan berkongsi idea, para peserta yang ditemui masing-masing meraih pengalaman baru yang boleh dimanfaatkan.



"Sebagai ibu, saya harus tahu apa yang anak remaja saya sedang lakukan jadi kita harus berada di sama tahap dengan mereka. Kita tidak harus ketinggalan. Dengan sekarang zaman TikTok, Instagram macam-macam teknologi itu," kata Cik Juhartini Mohatee, yang menyertai panel 'Keluarga'.

Beliau yang mempunyai anak remaja berusia 18 tahun menyertai konvensyen kali ini untuk pelajari cara untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan anaknya.

Bagi Cik Norashikin Aliman, seorang petugas zakat yang banyak berinteraksi dengan warga emas berasa perbincangan bagi perihal warga emas bertepatan pada masanya.

"Bagaimana kita dapat bergabung tenaga bukan buat kerja bersendirian tapi organisasi-organisasi pihak berkepentingan, yang relevan bergabung tenaga dan mengongsi pengalaman dan kepakaran dalam membantu golongan inilah," katanya yang menyertai panel perbincangan 'Warga Emas'.

Dalam panel perbincangan bagi 'Pejuang Masyarakat' pula, kerjasama antara berbilang pertubuhan turut disuarakan peserta.

"Kita tidak boleh hanya mengharapkan AMP sahaja yang memacu pembangunan sosial untuk masyarakat. Kita perlu institusi-institusi setempat menggembleng tenaga dan memberikan buah fikiran yang jitu untuk kami angkat status masyarakat kita," ujar Encik Md Haikal Md Harun, seorang relawan masjid.



Dalam perbincangan panel 'Belia' pula, lebih banyak peluang kepimpinan diharapkan para peserta.

Menurut penuntut Raiyan Syazani, 17 tahun, "Ini adalah peluang untuk saya mempelajari perspektif-perspektif dan pandangan-pandangan yang belia-belia dan orang-orang yang lebih tua tentang kepimpinan pemimpin-pemimpin belia kini dan apakah makna dan tujuan sebagai seorang pemimpin di dalam perspektif seseorang yang lebih tua dan seseorang yang lebih muda."

Kesemua idea yang dibentangkan akan disemak semula sebelum ianya boleh dilaksanakan secara bertahap-tahap.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan