Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PUNCAK JAYA: Evolusi MENDAKI seterusnya mesti berani mendepani era digital & terus kekal relevan

Anggaran Waktu Membaca:
PUNCAK JAYA: Evolusi MENDAKI seterusnya mesti berani mendepani era digital & terus kekal relevan
Diterbitkan : 23 Oct 2022 05:32PM Dikemas Kini : 23 Oct 2022 06:29PM
BERITAmediacorp: Dalam wawancara eksklusif ini, mantan Menteri Negara Kanan Sidek Saniff yang juga adalah anggota pengasas MENDAKI berkongsi dengan BERITAmediacorp tentang perjuangan MENDAKI dan mengapa ia perlu kekal relevan untuk terus memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat.

Apakah pendapat Encik Sidek tentang pencapaian pendidikan anak Melayu dan juga kedudukan sosial masyarakat Melayu sejak 40 tahun lalu?

Kita nak kena buat satu langkah yang begitu sistematik, jadi bukan belajar bahasa Melayu sahaja. Tapi hal-hal bersangkut paut dengan kemajuan anak Melayu. Dan dengan sendirinya termasuklah bahasa kemajuan itu bahasa Inggeris. Lantas tiga fungsi yang saya nyatakan iaitu bahasa Melayu, sastera Melayu dan Inggeris, hendaklah kita terapkan dan kita tingkatkan dari semasa ke semasa.
Bagaimana pula dari segi pencapaian masyarakat kita, khususnya tentang pendidikan dan sosial?

Saya berpendapat kalau mat saleh kata “by leaps and bounds”, kemajuan yang anak-anak kita buat. Kalau dulu kita belajar, saya fikir pencapaiannya pada saya memuaskan hati. Kalau dulu anak-anak kita purata kelulusan bawah 50%. Untuk tiga mata pelajaran yang terpenting iaitu bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Semasa Encik Lee Kuan Yew membuka Kongres MENDAKI, dia suruh kita bersabar iaitu kemajuan dalam bidang bahasa memerlukan 12 tahun.

Baru kita nampak sejauh mana perangkaan itu dapat kita kira. Alhamdulillah, saya rasa kita dapat pendekkan masa 12 tahun kepada 8 tahun. Kerana dalam 8 tahun sahaja, anak anak kita pada tahun 1992, mereka telah mencapai 50% ke atas, dengannya ‘barrier’ yang kononnya orang Melayu itu bahasa Inggerisnya bagus. Dan semakin bagus. Melayu ok, sastera ok. Tapi bahasa ilmu hisabnya, masih belum sampai ke tahap separuh pun.
Para murid di kelas Skim Tuition Mendaki (Gambar: Yayasan MENDAKI)
Tapi selepas 8 tahun, ia telah melebihi 50%. Lebih tepat lagi, 52%. Jadi itu suatu kesyukuran atau kita gunakan bahasa Melayu biasa, kebanggaan sewaktu berada di kementerian bahawa anak kita sudah melangkaui suatu halangan mental. Yang paling baik sekali. Dan insya-Allah tahun-tahun akan datang, angka ini akan bertambah. Alhamdulillah, sampai sekarang angka itu bertambah. Mungkin tahun ini boleh bagi angka yang terakhir. Nanti sejauh mana yang telah dilakukan oleh anak-anak kita, yang saya kira agak konsisten.

Semasa bertugas di MOE, Encik Sidek telah menyaksikan pencapaian anak Melayu. Dan apakah kebimbangan anda semasa di MOE khususnya pencapaian ataupun kedudukan anak-anak Melayu kita?

Satu perkara saya perhatikan, di samping kita, masyarakat sudah terdedah kepada kemajuan secara keseluruhannya. Singapura terdedah kepada segala kemajuan. Lebih pantas berbanding negara-negara yang bukan ‘city-state’ seperti Singapura. Itu menyebabkan kita tak boleh berjalan, kita kena berlari. Di depan kita, anak-anak orang India, Cina, sudah berlari. Kita tak boleh, orang kata, bertatih-tatih ataupun jalan seperti Mak Inang Pulau Kampai.

Kita pun kena berlari sama kalau boleh lebih cepat daripada itu. Jadi kita susun kelas kelas bimbingan itu sebegitu rupa, sehingga bukan sahaja kita jaga anak-anak kita dalam mata pelajaran yang penting tadi itu. Dan kita ambil anak-anak kita yang ‘crème de la crème’ iaitu yang terbaik daripada yang paling terbaik, untuk dia jadi lebih baik lagi. Dan saya berpendapat pada waktu itu, mungkin kita tak dapat satu kohort sekali, anak Melayu dapat menandingi dengan kohort budak bukan Melayu. Tapi saya rasa di antara kohort yang terbaik itu, akan wujud satu dua orang anak yang dapat bersaing dengan anak-anak orang Cina dan anak-anak orang India. Pada waktu itu saya khuatir semua kata cikgu buat perbandingan antara kita dengan anak-anak Cina dan anak-anak India.

Saya kata semangat itu bagus. Tapi saya rasa kita kena praktikal. Belajar ini bukan macam orang kata wayang gambar, dalam masa tiga jam boleh jadi profesor. Dia kena berdikit-dikit, kena konsisten. Mak bapak harus terbuka dan kita kena tengok macam mana hal-hal anak-anak kita dan ibu bapanya. Dan pada waktu itu, orang Melayu dari segi ekonominya, masih terbawah. Jadi kalau nak suruh saya bersaing dengan anak Cina, jangan dulu. Bersaing sesama anak-anak melayu dulu yang bijak.

Kebimbangan saya bahawa ekonomi kita masih lemah. Jadi kita buat keputusan itu sebaik-baiknya MENDAKI itu agar anak-anak kita ini ditolong ibu bapanya. Sebab itu kelas tuisyen percuma, ada yang ‘budget bayar token’, ada yang kita tolong mereka agar mencukupkan gaji mak bapak dia yang belum sampai, orang kata, menampung, anaknya sendiri. Dan itu kita dapat lakukan. Itu di antara perkara yang saya rasa penting di samping kerajinan keterbukaan fikiran, mata ibu bapa celik dengan kemajuan pelajaran. Maka di arah ini kita akan tolong lebih kuat lagi. Dan Alhamdulillah, akhirnya 10, 20 tahun kemudian, anak-anak Melayu kita mencapai pelajaran yang baik. Dia dapat kerja dengan baik. Dan kita terapkan semangat apabila mereka telah jadi ibu bapa, sekarang tugas anda tolong waktu seperti anda dahulu. Dan saya dapati, yang sangat saya syukuri ialah bagaimana, bukan itu sahaja mereka (MENDAKI) buat.

Saya pernah macam berlawak, saya kata kalau awak dapat pertolongan daripada kami ini, boleh tak menabung 10 ringgit ke, 20 ringgit, agar tabung itu dapat kami simpan dan tolong. Mungkin ada orang yang memerlukan bantuan seperti itu, yang lebih susah daripada awak. Dan seruan itu, disambut dengan penuh keinsafan, yang kita sebagai penerima, kita rasa insaf betul. Orang Melayu di samping kesedaran mereka insaf tentang perlunya anak-anak ini ditolong. Dan mereka selepas itu menjadi di antara penolong yang baik. Sebab itu apabila MENDAKI mula suruh menyumbang dari seringgit kepada 3 ringgit, percaya tak, ada orang kita yang beri 50 ringgit sebulan. Ada yang beri 100 ringgit sebulan. Apakah yang lebih besar daripada kesyukuran kita? Yang Allah S.W.T telah berikan semacam kesedaran pada masyarakat kita.
Adakah masyarakat kita kurang setuju apabila jumlahnya dinaikkan?

Saya tidak berdepan dengan soalan ini pada waktu itu. Kalau dulu kita bagi dia katalah 100, sekarang kita naikkan 150. Dia hanya antara satu kategori sahaja. Awak menyumbang seringgit, orang lain menyumbang 2 ringgit. Ada yang beri 3 ringgit. Macam saya cakapkan tadi, ada yang menyumbang lebih daripada 3 ringgit. Ada yang menyumbang 50 ringgit. Ada yang 100 ringgit. Saya tidak mengikuti sampai berapa tahun dia menyumbang begitu. Tapi ada yang menyumbang sehingga 100 ringgit. Itulah kecelikan pelajaran yang ada dan keinsafan, saya gunakan bahasa itu sekali lagi, orang Melayu pada waktu itu sangat saya syukuri. Sangat saya banggakan agar orang Melayu biasa dia bangga tengok orang Melayu yang macam itu. Tangan yang terbuka akan dapat rezeki yang lebih terbuka.

Sewaktu Encik Sidek di MOE, anda juga merupakan antara orang yang dipercayai oleh Encik Lee Kuan Yew. Terutama apabila beliau mempunyai kebimbangan atau perlu membincangkan hal-hal serius tentang masyarakat Melayu. Jadi sebagai seseorang yang juga mendekati masyarakata apabila ada keputusan-keputusan sebegitu, boleh anda kongsi pengalaman tersebut dan apakah kebimbangan yang ada pada waktu itu dan apakah antara keputusan-keputusan berat yang harus diambil ketika itu?

Encik Lee Kuan Yew seorang yang sangat prihatin. Dia garang. Tetapi saya pernah nyatakan pada kawan-kawan AP baru apabila anda berbicara dengannya waktu makan tengah hari atau kadang-kadang semasa makan malam, tapi biasanya semasa makan tengah hari, tolong cakap yang benar. Jangan cakap nak gula-gulakan sesuatu. Dia bukan budak kecil. Dia tahu kalau kita nak, maaf cakap, kita nak ‘mengangkat’ dia. Tolong jangan cakap sebagaimana biasa. Pernah suatu ketika, apabila saya bagi tahu dia ada 2 atau 3 tahun, anak-anak kita tidak dipanggil untuk Perkhidmatan Negara (NS). Jadi oleh sebab tak ada NS, mereka tergantung-gantung. Nak bagi pekerjaan, pihak majikan khuatir, takut nanti esok lusa dipanggil untuk NS. Ini banyak orang mengadu pada saya. Jadi saya kata padanya, nombor satu saya tak tahu kenapa mesti dia lambat-lambatkan panggilan untuk NS itu. Panggil, suruh berlatih. Habiskan dua tahun setengah. Encik Lee Kuan Yew macam tak percaya, dia kata, “we never did that”. Saya kata, “Sir, we did that”. Sebab itu, ada orang Melayu buat alasan itulah sebabnya anaknya mengambil dadah. Saya belasah mereka. Saya gunakan belasah depan Encik Lee Kuan Yew. Saya kata saya marah pada Encik Lee Kuan Yew. Adakah kerana pemerintah tak panggil awak NS, selepas itu awak belum dapat NS, lantas awak pun pergi ambil dadah. Saya marah bangsa saya sebagai mana saya marah kenapa keputusan ini dibuat andai kata anda tak tahu mungkin orang bawah buat dia tak bagi tahu. Saya pun tak tahu. Cuma saya tak percaya, yang saya tahu, anak saya tidak dipanggil NS dalam 2 ke 3 tahun. Dan itu rungutan orang Melayu, saya marah mereka. Apa pasal pulak awak ini bila anak tak bekerja tiba-tiba tak ada kerja, tak ada duit ke apa-apa. Baham dadah. Itu saya fikir satu penghinaan pada orang Melayu dan agama Islam yang kita anuti. Sebagaimana saya marah dengan orang Melayu, sekarang ini saya marah kalau ada ‘officer’ yang telah buat itu dengan sengaja ataupun dengan tidak sengaja. Juga selepas itu Encik Lee Kuan Yew guarantee (memberi jaminan) tak ada dan Alhamdulillah, saya tak dengar cerita selepas tu tentang anak kita tak dipanggil untuk NS. Jadi kita cakap itu betul dengan dia, nyatakan yang ini, Encik Lee Kuan Yew akan terima kita dan dia akan menghormati kita. Dan kita tak olah-olah dia.
Ada tidak kebimbangan tentang pendidikan anak kita dikongsi dengan Encik Lee Kuan Yew atau sebaliknya?

Dia berkongsi tentang kelemahan tadi, lantas kita bercakap insya-Allah kita akan perkasakan kita punya kelas bimbingan. ‘Tuition Scheme’. Tiap-tiap minggu. Lantas kita lecturer (pensyarah) Melayu semua berfikir, saya suruh dijadikan pengerusi. Saya fikir sama-sama kalau kita berfikir, memang tak boleh kelas tuisyen lagi. Itulah masanya untuk kita pergi ke rumah mereka. Ada yang masih duduk dekat flat 2 bilik, segan silu kalau kita pergi rumah dia. Kita pergi juga, bahkan saya tekankan pergi ke 20%-25% orang Melayu yang berada di rumah 2 bilik. Penting itu. Jadi kalau mereka tak dapat pendidikan dengan baik, yang 3 bilik, 4 bilik, 5 bilik, 6 bilik, yang sudah senang, kita cuma cakap kepada mak bapak dia orang boleh, kita boleh bagi semacam semangat untuk mereka dapat buat apa yang kita kehendaki.

Ada tidak keputusan-keputusan berat yang harus diambil sewaktu anda di MOE yang akan menjejas masyarakat Melayu? Mungkin ada yang kurang senang dengan apa yang diinginkan oleh pemerintah?

Orang Melayu sendiri, bila saya tekankan kena ambil ini tiga mata pelajaran. Kita tak boleh macam dulu ada kelas Melayu. Oh Cikgu Sidek, nama saja orang Melayu. Nama saja konon-konon daripada Melayu, tapi dia nak merosakkan sekolah Melayu. Kita kena kerja as a ‘team, teamwork’. Jadi kita mesti buat sama-sama barulah kita boleh berjaya. Jadi bila kita bagi tahu pada mak bapak kali ini, mak bapak faham. Dan Alhamdulillah, mak bapak terima pandangan-pandangan kita itu. Termasuklah memaksa, secara memaksa, anak-anak mereka dihantar ke kelas-kelas tuisyen yang kita lakukan dan lain-lain tindakan yang MENDAKI lakukan pada waktu itu.

Encik Sidek merupakan salah seorang anggota pengasas MENDAKI dan ketika itu anda bersama KGMS dan semasa banci penduduk pada tahun 1980-an dikeluarkan dan menjadi antara asas kepada penubuhan MENDAKI. Jadi bila anda mendapat tahu tentang statistik yang dikeluarkan oleh banci itu, bagaimanakah reaksi anda? Dan juga teman-teman pendidik anda? Dan apabila MENDAKI ditubuhkan, bagaimana anda boleh terlibat sama?

Kita dalam MENDAKI, apabila kita dapat banci penduduk, banci kemajuan mereka semua, kita nampak dengan nyata. Di depan mata kita. Tentang di mana kedudukan kita. Atas sekali orang Cina, nombor dua orang India, nombor tiga orang Serani, kemudian baru kita. Jadi kita sedar. Jadi kita tidak boleh sedar sahaja, kita harus bertindak. Dan tindakan kita itulah yang telah dibuat oleh MENDAKI pada waktu itu. Dan Alhamdulillah, kita boleh katakan tadi, 8 tahun, tiba-tiba kita dapat anak-anak kita melepasi jurang dengan “by leaps and bounds”, itu satu, tapi kita menghadapi jurang psikologi. Yang kita ini tidak boleh, yang kita ini lemah. Jadi apabila sampai 50-an, kepada 1992, semua dah sedar bahawa anak kita tak ada salahnya. Dia dah ok. Kita dah didik sama-sama kita tengokkan pelajaran dia. Ini dapatan dia. Insya-Allah, tahun-tahun akan datang, dia akan naik terus lagi. Sampai lah sekarang. Sekarang ini, kalau dulu kita nak tanya berapa budak ada masuk universiti, ada satu, ada dua, ada tiga. Sekarang ada satu, ada dua, ada tiga peratus. Lepas itu 11, 12 peratus. Sekarang, tak silap saya, dalam 20 ke 50, 25 peratus. Anak-anak kita yang sampai ke university dan yang ada itu, mak bapak dia mampu, Alhamdulillah. Hantar anak dia ke luar negeri. Dan percayalah saya dapat lihat sendiri, ada rakan saya jual rumah dia, jual rumah di Singapura, rumah punya keuntungan (buat) beli rumah di Johor dan hantar anak ke luar negeri untuk (sambung) pelajaran. Itulah di antara pendedahan dan sambutan masyarakat pada waktu itu. Saya ‘angkat topi’ kepada mereka. Sebab itu sekarang ini tak ada, tak patut, kalau orang Melayu tak terus maju.

Bagaimana Encik Sidek terlibat dengan MENDAKI, khususnya pada awal penubuhannya?

Pada waktu saya, yang hero, adalah guru Melayu. Yang kedua, wartawan. Jadi bila orang tengok, siapa yang jadi MP mula-mula, orang Melayu. Wartawan. Barulah sekarang ini doktor itu, doktor ini. Setelah orang-orang biasa macam kita ini jadi MP sama-sama mendorong membuat tindak- tanduk yang sesuai, barulah sekarang ini nak doktor. Doktor apa awak mahu? Bukan doktor sahaja, peguam. Berapa peguam awak nak. Peguam yang bagaimana? Undang-undang perlembagaan? Saya sendiri sampai terdorong hantar anak saya ambil Law (Degree). Saya suka sangat undang-undang pada waktu itu. Akan beli buku buku undang-undang. Tak silap saya, 500 ringgit, dolar, pada waktu itu. Kawan saya yang ambil London University, saya beli dia punya buku-buku. 500 ringgit pada waktu itu. Berapa banyak tin susu untuk anak saya. Kita korbankan. Kakak tengok mata terbeliak. Tapi dia tahu saya dahulukan anak-anak saya, baru saya fokus kepada perbaikan diri saya sendiri. Sampai saya dapat SC. Guru Melayu nak sampai Senior Cambridge. Dulu hanya satu sahaja. Cikgu Ahmad Taib. Wah kita semua bangga, kita ada satu cikgu Melayu, dapat Senior Cambridge.

Isteri saya tengok, buku apa ni semua. Oh saya ambil ‘external studies’. Masih nak belajar lagi. Waktu itu kita asyik suruh orang belajar. Sebelum orang cakap, pandai suruh kaulah buat. Saya buat. Alhamdulillah saya punya hati nak dapatkan ijazah bahasa Inggeris pula ketika itu. Masa itu, Allah kabulkan. Saya dekat sekolah maju. Kawan saya tak sempat nak beri tahu yang saya sudah lulus. Dia kata eh! Kau dapat honours degree (ijazah kepujian). Saya terus menangis. Sembahyang berapa rakaat. Orang kata zaman sekarang ada belajar seumur hidup kan? Kita dulu dah buat. Dengan inisiatif sendiri.

Apakah antara cabaran-cabaran yang dihadapi masyarakat terutama apabila terdapat keputusan-keputusan yang tidak begitu popular dan harus disampaikan kepada mereka?

Yang pertama, saya terus bagi diri saya. Maknanya waktu saya di Parlimen, saya masih terus mengulang kaji buku-buku undang-undang saya. Kerana saya berasa buku-buku itu yang saya baca, berguna waktu saya masuk ke Parlimen. Jadi jika orang nak cakap pasal undang-undang, saya tahu walaupun saya tak ada ijazah dalam bidang itu. Tapi saya dah baca dan saya tahu hal ehwal yang tertentu Kedua tentang perkara-perkara yang saya tak suka berlaku, saya dah terangkan tadi, tentang kemajuan anak-anak kita sendiri dan orang kita. Apa juga yang tersangkut dengan orang Melayu, saya punya diri rasa tersangkut sama. Kalau tak baik, tak baiklah. Dan kita perlu memperbaikinya. Dan itu saya rasa, saya dan rakan-rakan saya telah lakukan.

Antara yang mendapat perhatian dan mencetuskan kontroversi dalam masyarakat Melayu adalah perubahan pada TTFS. Apakah cabaran anda semasa memperjuangkan format baru TTFS? Adakah ia sesuatu yang wajar?

Wajar. Sebab benchmark (tanda aras) yang kita letak, tak silap saya, 3,000. Keluarga Melayu yang pendapatannya lebih dari 3,000 yang lebih itu saja yang kita cukaikan dia. Dia itu yang kena bayar. Yang bawah tak payah. Itupun kawan-kawan saya yang lebih hebat daripada saya, dia kata patut (letak) 2,000 sahaja. 2,000 anak beranak lebih daripada cukup. Kita ambil daripada dia, bukan banyak sangat. 1,000 baru berapa? 250. Tahun ni kasi. Jadi hal-hal yang macam begitu adalah di antara orang kita yang agaknya bukan pelokek. Dia terasa dia terpaksa keluarkan sedangkan dia tak merasa. Kecuali kalau anak dia itu termasuk anak-anak yang ditolong pada waktu itu ke universiti.

Penerima Anugerah MENDAKI (Gambar: Yayasan MENDAKI)

Jadi saya berasa patut sangatlah dan tak payah dipertikaikan. Dan kalau itu awak katakan saya ‘bulldoze’ saja rakan-rakan saya, saya ‘bulldoze’ juga. Sebab ada masanya. Bila sampai duitnya untuk tolong orang, ia memang ada unsur-unsur cendekel (lokek). Kalau sikit ok lah, ini barangkali kita sudah macam naikkan sikit. Kita hendakkan korban dia lebih. Kalau bagi pada kita dulu, saya terima zakat. Sekarang saya Alhamdulillah ada rezeki, saya bayar zakat. Awak bayar zakat untuk 1,000. Dia itu bayar zakat untuk 2,000. Sebab pendapatannya berbeza. Boleh ke dia cuba nak larikan daripada keluarkan zakat? Kerana pendapatannya 2,000. Oh saya dapat begini saya masih tak cukup tau. Bolehkah? Tak ada. Sebab 2 ½% bukan unsur memaksa. Unsur untuk anda berihsan. Apabila anda ada ikhsan untuk tolong orang susah, tak ada timbul masalah. Jadi kadang-kadang saya kena terangkan masalah ini.

Tapi kalau saya terangkan seorang diri, tak boleh lah. Jadi saya kena panggil geng, ustaz-ustaz juga. Bila masuk bab-bab yang ada hubungan dengan macam sekarang, bila ada itu hari, ada forum. Yang ada hubungan dengan (pembayaran) GST ke apa-apa kan. Susah nak suruh orang bayar itu. Tapi bila kita buat begitu, macam kita kata 3,000 awak sudah patut bayar. Sebab saya yakin sangat-sangat ia tak akan menyusahkan awak, kecuali awak seorang pengurus. Itu barangkali bagi tanda untuk awak ‘stop’ sedikit. Tolonglah 3,000 kan, tak kan tak nak bagi sedikit bagi anak anak yang susah.

Mengapa ustaz & tokoh agama digembleng untuk membantu menyampaikan mesej ini?

Apabila ada sesuatu tindakan macam begini, dia ada unsur yang pasal agama. Macam tadilah, yang baru-baru ini di TV. Dia panggil AP-AP Melayu secara tertutup, cakap itu, cakap ini. Saya kata bila ada hal yang berhubung dengan agama, panggil ustaz. Oh kita akan panggil ustaz. Panggil ustaz dulu. Panggil MUIS dulu, bagi dia keluarkan fatwa. Baru kita masa yang ‘rally’ (rapat), cakap. Yang kita cakap ini pun bukan yang fakta yang kita mesti punya tu. Itu tugas MUIS. MUIS yang keluarkan fatwa, keluarkan sekian-sekian. Yang ‘gray area’ ini, panggil lah kita. Nanti kita patutnya ini kita masih boleh bagi tahu, pasal begini berdasarkan hubungan kita dengan masyarakat, atau kita sendiri atau kita nampak sendiri, atau pun kita berfikir sendiri. Ini masyarakat tertanggung. Bukan terbeban.

Mengapa TTFS ditukar kepada berdasarkan pendapatan per kapita keluarga?

Macam saya cakap tadi, untuk menggambarkan kemajuan, yang dah terlibat orang Melayu. Kalau orang Melayu tak maju, tak timbul ini semua. Kita balik asal macam dulu. Kita buat setakat yang kita boleh. Tapi mekanisme baru ini biasanya untuk disesuaikan dengan kehendak baru. Dan kehendak baru, biasanya ada hubungan dengan ‘material’, ada hubungan dengan kewangan. Sebab itulah saya rasa pemimpin-pemimpin kita membuat perkara yang sama.

Apakah reaksi Encik Sidek terhadap TTFS?

Cuma perincian dia itu berbelah bagi. Dan perincian itu berdasarkan kemampuan. Dan orang-orang yang katalah pada waktu ini gaji dia 3,000, macam saya cakap, tiba-tiba esoknya dia kena lepas kerja. Kena buang kerja ke apa. Dia tinggal 2,000. Dia lekas-lekas bagi tahu MENDAKI, MENDAKI akan secara automatik tukar daripada dia memberi kepada dia menerima. Jangan khuatir. Jadi mekanisme kita intact (kekal).

Adakah pendapatan per kapita harus diubah mengikut keadaan ekonomi?

Pada saya, ‘fundamental’ (asasnya), dia berubah-ubah. Macam orang kata, cukai pendapatan. Cukai kita sekian-sekian. Tiba-tiba pemerintah tengok, oh yang lebih daripada X,000 dia bayar 20% tak boleh lah. Mereka kena bayar 30%. Terserahlah. Apa Malaysia cuma 20%, kita 30%. Yang ada kata pergi Malaysia lah duduk sana. Dia takkan sebab nilai-nilai yang lain itu semua ‘peripheral’ itu lain. Kita ini lain. Jadi kita tak ada bahan apa, tak da itu, tak ada ini. Tiba-tiba kena bayar lagi tinggi daripada cukai pendapatan orang Malaysia. Tak adil kan? Mereka ada itu, ada ini. Awak? Ada itu saja Macam mana? Kita kena bayar lagi banyak daripada dia orang. Sebab Singapura ‘as a whole’ (secara keseluruhannya) telah dinaikkan perindustrian kita, perusahaan kita, mula-mula kita industry pengilangan sahaja. Daripada pengilangan, kalau kita tak tukar kepada teknologi, pengsan. Sebab itu kita kata kita sekarang ini dengan anak-anak kita semua, orang Singapura semua tak boleh dengan 3R sahaja. 3M sahaja. Reading, Writing and Arithmetic (Membaca, Menulis dan Matematik) sahaja. Mesti campur lagi satu. Apa? D! Digital. Ataupun teknologi dan digital. Jadi tak boleh dengan 3R, kita sekarang mesti ada teknologi, pendigitalan, mesti ada. Dan teknologi dan pendigitalan ini, untung anak-anak kita. Dulu, kalau 3M, oh dulu kita cuma bahasa Melayu, tak ada bahasa Inggeris. Sekarang bahasa Inggeris, bahasa Melayu semua sudah ada. Ini semua orang tak ada, pergi ke teknologi itu semua belajar sama-sama. Semua serupa, same starting point (titik permulaan yang sama). Sama budak, tapi pelajaran yang lain. Terserah sama ada awak pemalas, ataupun rajin. Saya selalu cakap pada orang Melayu, saya tak ada ubat malas. Saya malas nak kasi ubat orang yang malas. Sebab orang malas tak ada ubat. Yang kawan-kawan saya ini boleh bagi ialah orang yang rajin. Dia rajin kita tambah duit lagi. Itu kita buat. Jadi dia punya fundamental (asas) mesti nak betul. Jadi apa saja masanya, pengukurannya itu serupa sahaja.
 

Pada 1989, anda telah mengetuai Jawatankuasa Bersama MENDAKI-MOE untuk meninjau isu yang ditimbulkan oleh masyarakat Melayu/Islam Singapura. Tentang pembayaran yuran pendidikan tinggi. Apa yang menjadi keprihatinan masyarakat ketika itu dan apakah antara cabaran terbesar yang Encik Sidek dengar daripada masyarakat?

Cabarannya datang serupa, iaitu kita kena arahkan anak kita ke arah pelajaran tinggi. Tak cukup dengan ‘O’ Level. Dia mesti ada JC (A Level), dia mesti ada Universiti (ijazah). Sekarang kita cuba tengok sandiwara sekarang, saya suka. Masa cakap saja anak dia itu ada dekat negeri teknikal, ataupun dia pergi sebelum universiti, politeknik. Politeknik sana, politeknik sini.

Itu yang kita cakap pada waktu itu. Jadi kita kena galakkan anak-anak kita, ini yang susah sangat anak Melayu, nak ambil O Level ke, technical atau O A Level, Arts. Kebanyakan macam saya ni pergi Arts sahaja. Sekarang nak suruh orang-orang Melayu daripada Arts, makcik-makcik, pakcik-pakcik, abang-abang, tolonglah tukarkan dia kepada (arah) teknikal. Jadi dari sekolah Menengah 1 lagi kita sudah suruh dia galak anak-anak dia bila sampai Menengah 3, dia mudah untuk pergi bidang teknikal atau dia pergi Arts. Terlampau banyak Arts, jadi esok kita keluarkan graduan Arts, selepas itu tak ada kerja. “The most dangerous people in the world are jobless graduates”.

(Gambar: Mendaki)
Jadi saya mahu ubah pemikiran orang Melayu, daripada Arts ke teknikal, bukan senang. Dah jadi memang rasa senang. Sebab sekarang ini sudah macam biasa kan? Dulu nak suruh pergi bahagian politeknik, ramai tak berminat. Kalau tak nak pergi ke politeknik, awak ingat eh, bila awak ambil A Level, awak mesti sampai ke universiti. Kalau awak tak sampai universiti, awak ada A Level, bukan O Level. Awak jadi kerani.

Awak tak boleh dapat lagi tinggi daripada kerani, ataupun pentadbir lah. Tapi kalau pentadbir pun dia bukan banyak. Hanya segelintir. Tentulah dia ambil graduaan yang ‘first grade’ atau ‘second grade’. Tak ada lain gred yang boleh ambil. Jadi tak seimbang. Dan bila awak ‘jobless’ (menganggur) tak ada kerja, merana awak. Sampai sekarang kerja pemerintah selalu kita si pemerintah tengokkan berapa anak-anak kita yang terpaksa bukan memaksa tapi terpaksa suruh dia pergi ke aliran teknikal ataupun pergi ke politeknik.

Sekarang politeknik pun dah bagus ada aliran pendidikan politeknik. Jadi dia boleh (sambung) Arts dekat politeknik dia adalah sikit tahap teknik yang dia boleh ada. Teknologi tapi pengkhususannya bahagian Arts. Itu saya rasa adalah evolusi dalam pelajaran. Dan kadang-kadang merupakan revolusi yang kita kena ubah. Mentaliti (Minda) kita.

Apakah pandangan anda tentang sistem pendidikan alternatif? Mengapa dan apakah fungsinya? Mengapa ia tidak diteruskan?

Saya berpendapat ia harus diteruskan. Tapi kalau kawan-kawan saya fikir dia tak perlu meneruskan, ada dua jawapannya, yang dia fikir hal itu telah berlaku. Dan yang akan datang. Soalannya bukan itu lagi. Mungkin ada soal lain. Itu yang saya katakan bukan teknikal lagi, barangkali pendigitalan. Mengambil peranan yang penting. Jadi bercakap teknikal saja, atau Arts sahaja, sudah basi.

Apakah perbezaan sistem pendidikan tersebut berbanding sistem dulu? Apakah yang Encik Sidek dan rakan-rakan lakukan ketika itu?

Saya rasa kita beruntung. Banyak tempat yang kita belum buat. Jadi kita punya fikiran macam-macam. Apa benda kita boleh buat? Sekarang ini semua sudah ada. Jadi kita nak buatkan sekarang ini, kalau dalam bahasa orang-orang dekat universiti, pencernaannya. Maksudnya kita kena cerna, kena pilih yang paling terbaik sekali yang menjadi petugas kita sekarang ini. Itulah yang macam saya katakan tadi, kalau secara keseluruhannya, it is ia bukan lagi 3R tetapi 3R+T&D. Dan itu berlaku di setiap peringkat kehidupan manusia sekarang ini. Esok lusa, kalau ada dia orang terima bahagian pendigitalan yang baru, satu dunia kena cari benda yang sama.

Dan sekarang ini pun, saya fikir dah bermula bertahun-tahun cabaran yang berlaku bukan untuk orang Singapura saja, cabaran yang berlaku dalam bidang teknologi dan pendigitalan. Adalah sesuatu yang berlaku di mana-mana di dunia. Sebab itu, kalau kita lulus, anak-anak muda kita yang lulus, universiti luar negeri dia dengar ini HSC dari Singapura sahaja masuk universiti. Bukan university sembarangan. Kita lihat stigma ini serupa di seluruh dunia. Ingat, saya kata dengan dia, 3M atau 3R campur Digital ataupun Teknologi. Ini belum berubah. Esok kalau sudah berubah awak bagi tahu saya. Ini sama macam dalam kehidupan, dia tak cukup dengan fakta, kita hidup dalam dunia ini, undang-undang, tak cukup dengan fakta. Fakta yang besar sekali, kalau cakap pasal undang-undang, mesti ada the elemen keadilan.

Pada 1985, terdapat Kongres PPIS dan KGMS. Dan salah satu yang diketengahkan adalah skim DANAMIS (Dana Amanah Masyarakat Islam Singapura). Jadi mengapa ia diperkenalkan, adakah ia berjaya mencapai matlamatnya? Dan sambutan masyarakat Islam terhadapnya semasa ia diperkenalkan?

Yang sebenarnya, kita terdorong dengan kemajuan MENDAKI. Apakah lain daripada pelajaran? Ekonomi. Antara duduklah beberapa orang yang pakar ekonomi, sekali lagi saya disuruh menjadi pengerusi. Saya pun tak tahu padahal saya kata ini bukan bidang saya. Ini ekonomi, carilah pakar ekonomi. Rotan tiada, akar pun berguna. Jadi kita ini akar-akar saja yang buat kerja. Jadi kami berpendapat kita mesti kumpul. Dari orang Melayu. Dan kita cadangkan, kalau orang Melayu berkorban. Dan saya yakin boleh. Kalau siapa tak boleh saya beliakkan mata saya pada orang itu. Saya minta awak 10 ringgit sahaja. Ada 100,000 pekerja Melayu, tolak yang 20% yang kira bawahan yang tak bayar tidak mengapa. Yang awak ini kena kasi ya. Mesti kasi satu bulan 10 ringgit. Boleh tak? Satu tahun 120 ringgit. Kalau 100,000 orang kita yang bagi, kita ada berapa juta? 10 juta. 10 tahun, 100 juta. Saya sengaja besarkan itu (scale) sehinggakan saya anggap orang-orang yang tengok kertas kerja ini, terbeliak mata dia.
Gambar berkumpulan para peserta program PEER di Tampines. (Gambar: Kelab Muda MENDAKI)
Saya beritahu dengan Rohan (Kamis) ke siapa, awak buatkan (perkiraan). Kalau kita naikkan 10-20 ringgit, lama-lama jadi 100. Awak buatkan ‘graph’ dia, jadi orang akan percaya bahawa suatu ketika dalam masa 10 tahun, orang Melayu ada 100 juta. Dana 100 juta punya duit, kalau masukkan ‘fee deposit’ 1 juta saja sudah boleh buat entah berapa sumbangan untuk pelajar luar negeri. Kita boleh buat biasiswa ke, dermasiswa ke. Otak ini kerjanya nak buat duit nak hantar anak ke sekolah. Buat duit nak hantar anak ke pelajaran tinggi. Itu saja kerja kita. Itu yang kita namakan Dana Amanah Masyarakat Islam Singapura. Cantik, kan? Tiba-tiba permintaan kita tak dapat diterima oleh pemerintah. Saya orang yang paling termenung dulu. Padahal waktu kita buat itu, waktu kita ada di MENDAKI, 600 orang kita jemput. Itu ertinya orang-orang Melayu yang ada di pertubuhan-pertubuhan Melayu, politik dan tak politik, kita tak lepas dengan tok-tok imam, maknanya ustaz madrasah, semua kita libatkan. Ini kita tekankan. Jadi itu merupakan satu gerakan orang Melayu. Satu kesedaran. Yang saya beritahu pada awak, orang Melayu sudah mula sedar. Boleh insaf. Jadi semua golongan yang datang 600 orang, berapa orang datang? Pada waktu MENDAKI dulu tak kurang daripada 1000 orang.

Bila kita nak buat kemas kini, orang Melayu sudah lebih terbuka fikirannya dan dia macam fikir, kita akan dapat skim ini. Itu yang buat saya terduduk termenung bila pemerintah tak dapat menerima potongan macam potongan MENDAKI. Jadi bila ternampak nombor (perangkaan) ini, mata pun berjuta-juta. Bila dia tak terima, saya pun buat congak, saya tanya, dengan orang yang tertentu, adakah kamu khuatir orang Melayu dapat duit banyak itu kita tak dapat kendalikan wang ini? Kita pecah Amanah? Kalau kita pecah amanah pada saya, tangkap masukkan penjara. “No questions asked. No qualms at all”. Cikgu nasib baik cikgu punya DANAMIS tak berlaku eh sebab kalau tidak tengok pada Malaysia. Tabung Haji pun bapak haji makan. Terus saya tersentak. Tapi saya tak nak kalah. Degil. Saya kata kalau saya dan kawan-kawan saya dengan betul, maka tak ada sesiapa yang nak ‘squander the money’.

Sama ada antara kita ada pihak ketiga yang tak mencuriga orang akan maju, kita tak payah tanya orang lain tentang duit. Kita ada duit. 100 juta, bukan kecil jumlahnya. Nombor dua orang yang nak pasang kaki pada kita, saya tak tahu kenapa. Tapi bila jentera yuran, itu dipotong. Jentera CPF tak dilakukan. Saya kata minta maaf lah. Selepas itu MENDAKI cuba nak buat di samping pelajaran, ada cabang ekonominya.

Saya tak hendak ini. Saya hendak DANAMIS. Tapi jangan sampai apabila pandangan dia tak dapat, dia ‘boycott’ (memulaukan) kita. Saya tolong saja. Akhirnya, kumpulan macam pertubuhan-pertubuhan yang ada duit, syahadat kematian, tak percaya. Kita nak kemas itu supaya satu badan mutlak yang buat kerja itu. Tapi sekarang tanya MENDAKI, adakah skim lain yang dibuat? Tapi yang kita buat itu untuk masyarakat keseluruhan.

Kalau ada macam satu sesalan pada saya, itulah satu sesalan yang DANAMIS tak wujud. Kalau DANAMIS menjadi badan yang dinamik, ia akan memperkukuhkan orang Melayu.

Yang kedua, berhubung dengan ekonomi. Ekonomi dengan sendirinya orang-orang pakar ekonomi yang patut duduk dekat sana. Memang betul. Cuma yang dekat depannya yang pengerusi bukan ekonomi, kita bilang ‘fake economist’ yang jadi ketuanya. Sebab dia fikir barangkali saya boleh menggemblengkan bahasa pada waktu itu. Dan dapat bercakap dengan pelbagai orang. Jadi sebab itu semua badan yang ada kewangan dan kita tak nak lepaskan dia orang badan-badan pertubuhan yang lain, kita minta cabang perniagaannya itu masuk sama dengan kita. ‘Obvious’. Semudah itu.

MENDAKI beralih arah pada 1980-1990-an selepas DANAMIS tidak menjadi cabang kewangan. Mengapa ia dilakukan dan bagaimanakah MENDAKI boleh beralih arah ke pembangunan kewangan?

Dia tidak beralih arah. Saya fikir mungkin dia bercakap dengan orang atas, Goh Chok Tong, dia adalah seorang Perdana Menteri yang “very accommodating” (bertolak ansur) pada saya. Dan dia banyak menolong saya juga pada MENDAKI sampailah ke DANAMIS. Dan bila kita cakap pasal ekonomi, dia pun ada beri pandangan dia juga. Jadi memang sesuai orang-orang yang macam itu ada bersama. Jadi bila benda ini tak menjadi, bila saya katakan saya d iantara orang yang paling terasa kesal kenapa ia tak menjadi. Sebab kalau tak menjadi mesti ada isyarat pada kawan-kawan saya, jangan teruskan. Saya teruskan kertas kerjanya dan ia lebih tebal daripada kertas kerja MENDAKI.Bertungkus lumus tak kurang daripada 3 bulan. Untuk membuat segala-galanya. Itulah saya bersyukur kerana ada orang macam begini di sebelah kanan saya. Takkan kalau Mansor (Sukaimi) tak jadi setiausaha, maka Sidek tak boleh buat apa-apa. Dia punya falsafah, saya suka.

Tapi siapa yang jadi setiausaha MENDAKI ke apa-apa, “they must work as if they are paid secretaries. You must do better than the paid secretary”. Itu maksudnya kata-kata hikmah yang saya terima. Dan dia buat MENDAKI macam itu. Betul-betul bertungkus lumus. Lebih penat saya rasa daripada ini. Tali pernafasan kita, penyambung nyawa kita, adalah CPF.

Apakah yang masih belum dikecapi oleh masyarakat kita dan apakah harapan Encik Sidek supaya masyarakat kita kekal relevan?

Perpaduan. Saya mengharapkan perpaduan masyarakat kita semakin kuat. Jadi saya ingin menyatakan kepada anak cucu saya, sudah 40 tahun bapa dan datuk nenek kamu semua sudah berjuang. Yang ada itu berjuang dengan semangat. Yang ada itu berjuang dengan unsur kewangan sekalipun paling sedikit. Tapi mereka tetap berjuang.

Sehingga mereka yang sedikit terbuka hatinya sehinggalah 40 tahun ini semoga mereka dapat tengok sendiri macam mana masyarakat kita sekarang. Pada pandangan saya, awak semua boleh berdebat dengan sesiapa juga dan dunia sekarang ini. Dalam bahasa Melayu pun boleh, dalam bahasa Inggeris pun boleh. Dan kalau perpaduan itu menjadikan panduan yang sama macam Nabi Muhammad SAW kita. Itulah yang saya nak sampaikan, sebab saya tak ada modal lain. Modal saya adalah menciplak apa yang saya dapat daripada unsur-unsur agama dan unsur-unsur budaya kita yang kuat untuk menguatkan sendi masyarakat kita. Sekian terima kasih.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan