Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PUNCAK JAYA: DPM Wong seru pertubuhan Melayu/Islam eratkan kerjasama tangani pelbagai isu rumit

Isu-isu sosial kian pelbagai serta rumit dan tiada satu pertubuhan pun mempunyai huraian bagi kesemuanya dan keupayaan bagi tanganinya sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Isu-isu sosial kian pelbagai serta rumit dan tiada satu pertubuhan pun mempunyai huraian bagi kesemuanya dan keupayaan bagi tanganinya sendiri.

Oleh itu, Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong menyeru agar rakan masyarakat termasuk pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam untuk terus bekerjasama.

Ini bagi menyediakan sokongan kukuh dan intervensi yang menyeluruh.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Konvensyen Nasional AMP yang keempat pada Sabtu (15 Okt).

Dalam ucapannya itu, Encik Wong juga menggariskan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, sedang Singapura menuju ke masa hadapan.

Usaha untuk membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah misalnya perlukan kepakaran dan kemahiran yang berbeza.

Bagi meraih kemajuan dalam membantu golongan tersebut, Encik Wong berkata ia perlukan kerjasama dan menggunakan sumber sedia ada bagi memenuhi keperluan mereka.

Di samping itu, Encik Wong juga menarik perhatian bahawa keperluan masyarakat semakin rencam.

"Masyarakat kita menua dengan cepat. Semua kita boleh lihat dalam keluarga kita sendiri dan di sekeliling kita. Menjelang 2030, satu daripada empat rakyat Singapura akan berusia 65 tahun ke atas - itu hampir 1 juta rakyat Singapura. Ia akan terus bertambah dan kita juga mahu menjaga golongan warga tua yang semakin ramai ini dengan baik. Mereka juga akan memerlukan lebih bantuan untuk kekal aktif dan sihat dalam masyarakat," kata Encik Wong.

"Kita juga akan mempunyai keluarga dalam golongan pertengahan - mereka memerlukan bantuan menjaga ibu bapa yang sudah tua dan menjaga anak-anak mereka pada masa yang sama. Keluarga-keluarga sedemikian, orang tua mereka dan mereka yang berada di golongan pertengahan juga akan memerlukan bantuan dan sokongan kita," tambahnya.

Lebih banyak sokongan juga difikirkan bagi golongan karyawan Melayu/Islam.

"Karyawan Melayu/Islam kita yang semakin meningkat juga mempunyai keperluan unik, kebimbangan dan aspirasi sendiri. Kita perlu lihat bagaimana untuk membantu mereka, termasuk membolehkan mereka meningkatkan kemahiran untuk kekal relevan dalam pekerjaan," jelas Encik Wong.

PEMERINTAH AKAN TERUS BANTU LENGKAPI KEMAHIRAN

Untuk terus maju dan bertahan, beliau berkata Singapura mesti terus kekal terbuka dan terhubung dengan dunia.

Sebagai hab perniagaan, Singapura harus berdepan dengan saingan daripada negara-negara lain.

Namun, beliau memberi jaminan, pemerintah akan terus membantu dengan melengkapi kemahiran dan berharap AMP dapat saling membantu dalam usaha tersebut.

"Kita perlu persiapkan karyawan-karyawan Melayu/Islam untuk menyumbang semula kepada masyarakat. Ini kerana anda ada banyak untuk ditawarkan seperti memberi bimbingan kerjaya kepada belia, menawarkan peluang membina rangkaian untuk karyawan-karyawan muda atau juga menjadi mentor dan contoh kepada generasi masa depan. Sekali lagi, AMP berada di kedudukan yang unik untuk memainkan peranan positif," tambahnya.

USAHA AMP SELARAS DENGAN MELAKAR HALA TUJU SG



Encik Wong turut memuji AMP atas usahanya dalam menggembleng tenaga masyarakat menerusi konvensyen tersebut.

Usaha itu katanya selaras dengan apa yang harap dapat dicapai bagi negara menerusi usaha Melakar Hala Tuju Singapura.

Beliau turut menyertai satu sesi dialog bersama para peserta yang hadir di Konvensyen Nasional AMP hari ini.

Turut hadir di acara itu ialah Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman, dan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan