Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PUNCAK JAYA: Cabaran bersama, huraian saksama jelang Konvensyen AMP keempat

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Oktober menjadi bulan istimewa bagi meraikan usaha-usaha badan-badan Melayu/Islam Singapura untuk meningkatkan pencapaian dan mencari huraian bersama bagi mengatasi permasalahan yang membelenggu masyarakat.

Antara lain, badan masyarakat AMP Singapura, akan menganjurkan Konvensyen Nasional yang keempat pada Sabtu (15 Okt).

Ia bertujuan untuk membentangkan cabaran-cabaran utama yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam setempat.

Apakah antara dapatan yang akan dikongsi?

Hakikatnya, masyarakat Singapura semakin menua dan ini menjadikan isu-isu penuaan antara keprihatinan yang semakin mendesak. Warga Emas menjadi satu daripada empat kumpulan demografi masyarakat yang akan dibincangkan AMP dalam konvensyennya yang keempat.
Mohd Fauzi Ali dan ibu, Makcik Salmah, di MHCC.

Syurga di telapak kaki ibu... itulah pegangan Encik Fauzi dalam menjaga ibunya yang uzur.

Makcik Salmah, 79 tahun, dirundung kemurungan selepas kematian suami, disusuli pula dengan serangan angin ahmar.

Lantaran itu, anaknya, Encik Fauzi sanggup berpindah ke blok sebelah ibunya, demi mengasuh ibu tercinta:

“Kalau emak di rumah sahaja, beliau macam tidak tahu apa nak cakap, apa nak cerita. Tetapi bila saya menghantarnya ke Pusat Kesihatan dan Penjagaan Siang Hari Muhammadiyah (MHCC), ahli fisioterapi dan para penolongnya melatih emak supaya menguatkan kakinya. Supaya dia dapat berdiri ke, berjalan ke.. Ini supaya kesihatan emak meningkat dan beliau boleh bersemangat. Saya nampak perubahannnya adalah positif."

“Dari segi fizikal, di MHCC ada fisioterapi, ada terapi minda.. ini lebih bermanfaat. Di sini emak sihat, emak gembira! Kalau dibiarkan di rumah sahaja, saya tidak tahu macam mana hendak latih emak saya. Saya tidak tahu apa keperluan mental yang orang tua saya perlukan.”

64% PENGASUH WARGA EMAS TIDAK TAHU CARA MENGHURAIKAN MASALAH PENUAAN WARGA EMAS MAHUPUN BANTUAN-BANTUAN YANG TERSEDIA

Dalam penilaian AMP, isu penjagaan warga emas seperti yang dihadapi Encik Fauzi adalah antara cabaran utama masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Menurut kajian badan tersebut, 64% yang mengasuh kurang tahu cara menghuraikan masalah berkaitan warga emas, mahupun bantuan yang tersedia.

Tanggapan tradisional ‘menghormati ibu bapa’ pula dikatakan menghambat perbincangan terbuka mengenai cabaran-cabaran penting perihal penjagaan warga emas.

Siti Mariam Mohd Salim (kiri).
Berkongsi pengalamannya sebagai pekerja perubatan kemasyarakatan, ahli panel bagi kumpulan Warga Emas di Konvensyen Nasional AMP, Cik Siti Mariam Mohamad Salim menerangkan rasa serba salah anak yang mengasuh warga emas yang uzur: “Nanti, ada keluarga lain yang berkata, kenapa mesti hantar ke Rumah Orang-Orang Tua? Jadi anak-anak ini pun macam rasa bersalah tetapi saya tahu emak bapa saya mungkin memerlukannya. Tetapi saya tidak begitu pasti apakah ini yang terbaik ataupun tidak. Mungkin kalau saya buat macam ini, saya bukan anak yang baik, saya anak yang derhaka.”

Tambah Cik Siti Mariam, cabaran penjagaan dan kesihatan akan terasa juga di peringkat nasional, dengan penduduk Singapura yang semakin menua.

Bagaimanapun, warga emas Muslim ada keperluan khusus yang perlu disediakan.

“Untuk masyarakat Melayu/Islam yang tinggal di rumah tumpangan untuk dapat mengikuti kelas-kelas agama ataupun untuk masih dapat pergi ke masjid.. ini kita masih belum dapat memikirkan lagi huraiannya.

“Bagi badan-badan yang menyediakan pusat-pusat penjagaan warga emas, bagaimana kita boleh bekerjasama dengan mereka untuk memikirkan cara untuk menepati keperluan Melayu/Islam yang khusus, tanpa terlalu banyak sangat gangguan kepada program mereka, supaya ia menjadi keadaan yang saling menguntungkan?," menurut Cik Siti Mariam.
Dr Norshahril Saat.

Secara amnya, Dr Norshahril Saat, Zamil Kanan dari ISEAS-Institut Yusof Ishak memberitahu BERITAmediacorp:

“Harapan saya adalah isu ini tidak hanya dilihat sebagai isu masyarakat dan kita juga perlu keluar daripada mengatakan bahawa ini adalah satu isu budaya atau isu agama. Kerana mungkin kita juga perlu belajar aspek-aspek lain yang mempengaruhi empat tema yang akan dibincangkan.”

Sasaran lain AMP - keluarga, belia dan pejuang perubahan sosial

Konvensyen Nasional AMP yang keempat nanti akan mengajak masyakarakat mencari huraian bersama untuk empat golongan dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura – selain warga emas, tiga lagi adalah keluarga, belia dan pejuang perubahan sosial atau advokat masyarakat.

Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Mohd Rashid menjelaskan: “Perbezaannya ialah kali ini, kami lihat dari sudut persona ataupun demografi, berbeza daripada konvensyen lalu di mana dahulunya kami melihat dari aspek isu-isu yang diketengahkan.”

Ketua Panel Belia yang juga anggota Lembaga Pengarah AMP, Dr Humairah Zainal membuka perbincangan: “Masalah kesihatan mental yang melibatkan golongan belia ini bukan sahaja berpunca daripada masalah biologi ataupun genetik, tetapi juga isu persekitaran dan juga isu-isu sosioekonomi. Belia yang berasal dari golongan yang berpendapatan rendah – mereka mempunyai pelbagai sumber tekanan - harus menampung keluarga mereka, membayar sewa rumah dan juga bekerja sambilan. “

GOLONGAN BELIA DAN SEKATAN KEPIMPINAN

Juga bakal dibincangkan - dapatan kajian AMP bahawa golongan belia berasa disekat daripada peluang memimpin badan-badan bantu diri masyarakat Melayu/Islam.

Menurut Dr Humairah: “Ini kerana golongan yang lebih berpengalaman mempunyai persepsi bahawa pengalaman itu lebih penting daripada kemahiran. Mereka khuatir bahawa idea-idea mereka tidak lagi relevan jika golongan muda memasuki ahli lembaga dan menyumbang idea-idea yang baru.”

Ini dijawab pengamat, Dr Norshahril: “Golongan-golongan muda kita sebenarnya mahu berganding bahu untuk membantu masyarakat seberapa boleh. Saya fikir itu satu perkara yang positif. Sekarang kita mahu lihat sejauh mana kita hendak menilaikan pencapaian dan juga kegagalan.”

POTENSI MASJID, SELAIN TUJUAN POKOK SEBAGAI RUMAH IBADAH

Dalam kedua-dua soal aktivisme belia dan penjagaan warga emas yang uzur, masjid disebut-sebut sebagai ruang tumpuan masyarakat yang berpotensi menggalak kepimpinan pemikiran, memulakan pembaharuan serta merungkai salah tanggapan.

Pengasuh warga emas, Encik Mohamed Fauzi Ali yang pernah menjadi pengerusi masjid selama beberapa tahun sebelum ini, akur akan hal tersebut: “Kita selalu merungut, tengok orang sudah tua-tua di kedai kopi, orang tua-tua di bawah blok. Kenapa tidak masjid mengadakan ruang untuk warga emas supaya dapat berkumpul kongsi pengalaman?”

Ini dipersetujui oleh Ahli Panel Warga Emas di Konvensyen Nasional Keempat AMP nanti, Cik Siti Mariam Mohd Salim:

“Masjid juga dapat memainkan peranan untuk mempengaruhi, untuk menggalakkan masyarakat untuk memikirkan apakah sebenarnya itu penuaan yang bermakna? Masjid juga boleh menjadi wadah untuk berbincang mengenai stigma.”

Walaupun turut akur, Dr Norshahril mengingatkan akan perlunya lebih banyak kajian dijalankan, terutama dari segi pelaksanaan dan batas-batas sejauh mana isu-isu di luar bidang agama boleh dibawa ke masjid. Serta perlunya definisi - apakah hanya asatizah sahaja yang boleh membincangkan isu-isu sosial di luar bidang agama tadi, di dalam masjid?

Bolehkah dibenarkan misalnya pakar-pakar kesihatan, sosiologi, psikiatri, masuk ke dalam masjid untuk membincangkan isu-isu di luar bidang agama?

TEKNOLOGI : MEMBANTU ATAU MENGGANGU?

Hakikat hari ini - telefon bimbit sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Teknologi yang seharusnya membantu kini mula menjadi pengganggu.

Bagaimana keluarga dan masyarakat tangani perubahan yang dipacu teknologi?

Ini merupakan antara tema yang akan dibicarakan dalam Konvensyen Nasional AMP di bawah kumpulan Keluarga.
 

GOLONGAN BELIA DICABAR DENGAN PELBAGAI ISU DAN SUMBER TEKANAN

Selain warga emas, satu lagi golongan yang akan diberi perhatian dalam konvensyen AMP adalah belia.

Golongan belia membentuk jumlah terbesar dalam demografi masyarakat Melayu/Islam. Tentu menimbulkan keprihatinan apabila golongan muda ini dicabar dengan isu tekanan mental, sedang mereka berusaha untuk mempertingkatkan taraf kehidupan.

Nurbee Selamat sekeluarga.

Cik Nurbee Selamat merupakan seorang peniaga dari rumah. Ibu kepada tiga orang anak yang berusia antara lima hingga 17 tahun ini mengakui: “Komunikasi di antara keluarga berkurangan kerana terlalu menggunakan kemudahan teknologi.”

Mengenang sejauh mana dunia sudah berubah akibat teknologi, Cik Nurbee akur, perlunya ibu-ibu sepertinya mengikuti peredaran zaman.

Yang pasti, teknologi merubah cara keluarga berkomunikasi. Keluarga Cik Nurbee seperti juga keluarga-keluarga lain, ber-whatsapp di antara satu sama lain walaupun semua anggota keluarga yang berbincang di alam siber itu berada di bawah satu bumbung!

Keluh Cik Nurbee: “Kalau saya, membuat peraturan apabila di dalam rumah tidak boleh menggunakan telefon bimbit pada masa-masa tertentu. Tetapi apabila kita keluar rumah, semua orang gunakan telefon bimbit! Pernah saya dengan anak-anak pergi kenduri dan saya memberi amaran kepada anak-anak, “Jangan guna telefon bimbit, jangan guna Tablet, jangan guna iPad. Tidak dibenarkan membawa peralatan”. Namun apabila kami sampai ke rumah saudara yang mengadakan kenduri tersebut, sepupu-sepupu anak-anak saya semua, malah yang di usia bayi lagi pun ada dan menggunakan telefon bimbit!”
 

APABILA KELUARGA TIDAK BERKOMUNIKASI SECARA BERSEMUKA..

Bagaimanapun, ahli panel Keluarga dan cabaran teknologi, Encik Mohamed Noordin Yusuff Marican mengingatkan betapa pentingnya berkomunikasi secara bersemuka: “Ibu bapa dan juga anak-anak menggunakan telefon bimbit, menggunakan WhatsApp, mengasingkan diri mereka di dalam bilik dan tidak berinteraksi bersama keluarga. Walaupun mereka di dalam rumah sendiri. Ini mengakibatkan interaksi tidak bersemuka dengan satu sama lain. Boleh mengakibatkan keretakan hubungan dengan ahli keluarga.”

Keluarga teguh, masyarakat kukuh. Dua isu besar yang mencabar institusi keluarga hari ini dikenal pasti untuk dibincangkan, hasil maklum balas sejumlah anggota masyarakat yang dikaji.

Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin menerangkan: “Yang pertama ialah dari segi penggunaan teknologi yang tidak terkawal. Jadi bagaimana kami boleh dapat menggunakan teknologi untuk mengeratkan institusi keluarga itu sendiri?

Dari perihal ini, Cik Nurbee berkongsi caranya menangani cabaran ini: “Zaman sekarang, ‘Serahkan telefon bimbit ke mari!’ Andai anak saya tidak mahu serahkan telefon bimbit, saya akan matikan WiFi. Hasilnya, anak-anak cepat bergerak kalau saya suruh kemas rumah, cuci tandas, kemas buku, gosok baju. Wah, sekejap sahaja, sudah siap!”

Mujur, banyak kemudahan sedia ada yang boleh dimanfaatkan ibu bapa demi mengawasi penggunaan internet anak-anak. Penggunaan tanpa batas boleh mengakibatkan ketagihan ‘gaming’ dan banyak lagi anasir tidak sihat seperti menonton bahan lucah, pembulian siber dan sebagainya.

Mohamed Noordin Yusuff Marican.

Encik Noordin mengingatkan: “Kita sebagai ibu bapa perlu tahu bagaimana untuk menghadkan atau menyekat pengisian. Harus tahu bagaimana untuk melakukan konfigurasi di dalam iPad, di dalam telefon bimbit ataupun dalam komputer supaya anak-anak tidak boleh melayari lelaman yang tidak sesuai.”

Mujur dalam hal ini, Cik Nurbee ternyata seorang ibu yang celik IT: “Sekarang, jalur lebar ada kemudahan “Safe Network” supaya lelaman tertentu tidak boleh dilawati. Juga di Singapura, saya bersyukur kita ada IMDA – mereka juga agak tegas. Jadi banyak lelaman seperti itu yang tidak dapat anak-anak susuri. Tapi anak-anak sekarang kalau mereka nak terokai, masih boleh juga. Orang kata di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi pasti mereka dapat cari. Tapi sekurang-kurangnya kalau saya ada di rumah, saya meletakkan batas-batas yang penting ada, dalam penggunaan jalur lebar anak-anak saya.”

ISU KESEKSUALAN CABARAN TERBESAR KEDUA MERINTANGI KELUARGA

Sebelum sampai kepada keputusan untuk membincangkan isu-isu di bawah kumpulan demografi Keluarga, AMP Singapura menjalankan sesi-sesi perbincangan kumpulan fokus, tinjauan dan wawancara bersama keluarga.

Hasilnya, satu lagi cabaran besar terhadap keluarga adalah isu-isu keseksualan.

Isu-isu melibatkan keseksualan

Jelas Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin: “Cabang kedua adalah bagaimana keluarga Muslim Singapura dapat membincangkan isu keseksualan di dalam keluarga masing-masing.”

Keluh ibu tiga orang anak, Cik Nurbee: “Kartun pun sudah ada memaparkan fasal keseksualan ini, termasuk tentang menjalin hubungan sejenis. Jadi saya tak mahu anak-anak saya berfikiran, ‘Oh, kalau dalam kartun kita nampak amalan sebegitu, maknanya perkara ini dibolehkan, diizinkan.’ Saya terpaksa katakan bahawa tidak semestinya satu dunia cakap boleh, ia boleh. Kalau kita sudah tahu di dalam Al-Quran mengatakan tidak boleh, maknanya ia tetap tidak boleh.”
 

 89% IBU BAPA TIADA ILMU UNTUK BERBINCANG DENGAN ANAK TENTANG ISU KESEKSUALAN

Lebih memprihatinkan adalah dapatan kajian AMP bahawa 89% ibu bapa tiada bekalan ilmu yang cukup untuk berkomunikasi secara berkesan dengan anak mereka mengenai keseksualan.

Seorang anggota panel kumpulan Keluarga yang memberi fokus kepada isu-isu keseksualan yang dihadapi ialah Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman. Menurutnya: “Pendidikan keseksualan ini bukan lagi tabu. Ia sudah banyak dibincangkan. Mungkin bukan dari kalangan masyarakat kita tapi secara global. Kerana itu, kita adakan Konvensyen ini. Sekurang-kurangnya kita dapat membentangkan isu ini dan kumpulkan maklumat-maklumat yang sesuai buat ibu bapa. Jadi kalau ibu bapa tidak ada maklumat, tidak ada ilmu, tidak ada kemahiran, maka inilah waktu yang terbaik untuk kita cari tahu, untuk kita menimba ilmu.”

Bagi Cik Nurbee, walaupun berasa kurang selesa, beliau berusaha melengkapkan diri dengan ilmu mendidik anak tentang keseksualan. Ini dilakukannya atas kesedaran tentang cabaran semasa akibat evolusi sosial seperti LGBTQ+.

“Ia di mana-mana! Anak saya bertanya, “Kenapa mereka panggil saya ‘lembut’?” Jadi, saya jawab, tidak semua lelaki mesti kelihatan ‘jantan’. Contohnya, apabila orang kata, “Awak sepatutnya dilahirkan perempuan”. Katakanlah, “Apakah awak menyoal Allah? Apakah awak mengatakan Allah buat salah pilihan? Sang Pencipta kita buat salah pilihan?” Jadi saya sentiasa ingatkan dia supaya beringat bahawa kalau pun satu dunia mengatakan LGBT itu ok, tapi awak mesti ingat siapa yang menciptakan awak!”

SERBA SALAH APAKAH ‘LEBIH BANYAK BERBINCANG TENTANG ISU KESEKSUALAN AKAN MENGGALAKKAN LGBTQ+?

Menurut kajian AMP, 87% yang ditinjau merasakan perbincangan yang ada mengenai isu-isu keseksualan rata-rata bersifat konservatif.

Ini menjadi sebab kurangnya ruang selamat untuk membincangkan isu ini secara terbuka tanpa ada yang mengambil sikap menghakimi.

Tidak kurang pula yang berasa bimbang, jika banyak berbincang tentang isu keseksualan, takut pula terjadi bagai menggalakkan gaya hidup baru LGBTQ+ sehingga aspek seperti ketidakstabilan jantina dan orientasi seksual menjadi perkara biasa.

Bagi memecahkan kebuntuan sedemikian, zamil kanan di ISEAS-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat mengingatkan: “Kita bimbang sangat. “Oh, apakah ini bermakna akan ada perkahwinan selain daripada antara lelaki dengan wanita?” Sebenarnya dari aspek undang-undang, masyarakat Melayu/Islam di Singapura ini sudah terpelihara. Kerana kita di bawah AMLA dan apabila kita mahu melangsungkan pernikahan, kita perlu mendaftar perkahwinan itu di daftar ROMM. Dan siapakah yang memimpin ROMM? Bukankah ia asatizah kita?”

KEBUNTUAN PERIHAL ISU KESEKSUALAN YANG DIHADAPI KELUARGA BERPUNCA DARIPADA SIKAP IBU BAPA ITU SENDIRI

Menurut anggota panel Keluarga, Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman, cabaran terbesar dalam mencari huraian kepada isu pendidikan keseksualan untuk anak adalah sikap ibu bapa itu sendiri: “Apabila ibu bapa tidak libatkan diri, tentunya tidak cukup kalau hanya guru-guru sekolah dan guru-guru agama sahaja yang berusaha. Ini kerana, mereka menyampaikan secara umum, bukan? Maka, anak-anak ini akan mencari maklumat sendiri daripada tempat yang kurang sesuai, yang tidak mengarah kepada kebaikan.”

Lantaran itu, menurut Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin, kalangan mereka yang ditinjau menyebut pentingnya kembali ke akar dalam menangani cabaran-cabaran rumit yang kini menduga institusi keluarga:

“Bagaimana institusi keluarga dapat dieratkan melalui nilai-nilai Islam. Dan ini diketengahkan sebab para peserta kajian kami telah mengatakan bahawa nilai-nilai keislaman ini sangat-sangat penting dalam institusi keluarga mereka.”

Mohksin Mohd Rashid (tengah) & Dr Humairah Zainal (kanan).
Apa yang penting setelah Konvensyen AMP, sejauh mana masyarakat Melayu/Islam tempatan akan mengambil tindakan susulan sebagai huraian kepada isu-isu pokok di bawah empat golongan masyarakat yang dikenal pasti?

Apa pula kemungkinan tertubuhnya satu ruang selamat, yang khusus menggalak perbincangan terbuka lagi mendalam mengenai isu-isu sensitif seperti keseksualan?
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan