Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Punca bayi 3 minggu maut di pangkuan pengasuh tidak dapat ditentukan

Seorang koroner pada Khamis (28 Okt) berkata punca kematian seorang bayi lelaki berusia tiga minggu yang meninggal dunia di pangkuan pengasuhnya tidak dapat ditentukan.

Anggaran Waktu Membaca:
Punca bayi 3 minggu maut di pangkuan pengasuh tidak dapat ditentukan

Gambar hiasan: AFP

Diterbitkan : 29 Oct 2021 12:00PM Dikemas Kini : 29 Oct 2021 12:03PM

SINGAPURA: Seorang koroner pada Khamis (28 Okt) berkata punca kematian seorang bayi lelaki berusia tiga minggu yang meninggal dunia di pangkuan pengasuhnya tidak dapat ditentukan.

Koroner Kamala Ponnampalam menulis dalam dapatan siasatannya bahawa beliau terpaksa membuat keputusan terbuka kerana para pakar forensik tidak dapat menentukan sama ada bayi itu meninggal dunia disebabkan lemas atau sindrom kematian mendadak bayi.

Buktinya tidak menunjukkan sebarang tindakan khianat, tambah beliau.

Dalam dapatan siasatannya, Cik Kamala menulis bahawa bayi itu dilahirkan dalam keadaan sihat pada Oktober tahun lalu. Dia tidak menghidap sebarang masalah perubatan yang diketahui selain penyakit kuning dan suara serak disebabkan refluks asid.

Keluarga bayi itu menggajikan seorang pengasuh, Cik Sien Yem Leng, 57 tahun untuk menjaga bayi lelaki itu.

Pada 19 November 2020, Cik Sien memberikan susu kepada bayi itu sekitar pukul 1.00 pagi. Selepas itu, bayi tersebut mengeluarkan suara yang memberi isyarat kepada Cik Sien bahawa dia rasa tidak selesa, menurut hasil siasatan.

Bayi itu tidak selesa sepanjang malam kerana dia terus mengeluarkan suara dan kelihatan menangis dan resah di katilnya, menurut dapatan siasatan.

Cik Sien mendukungnya beberapa kali dan menukar-nukar kedudukan bayi supaya dia boleh tidur.

Sekitar pukul 4.15 pagi, ibu bayi itu bangun tidur, masuk ke biliknya dan mendapati anaknya itu sedang tidur di tangan Cik Sein.

Menurut ibu bayi itu, muka anaknya "menghadap secara langsung" pada bahagian dada Cik Sien. Beliau juga berkata sehelai kain kuning yang sebelum ini diletakkan di bahagian dada Cik Sien dan digunakan sebagai alas atas sebab kebersihan, berada di muka bayi itu apabila Cik Sien mengalihkannya ke katil.

Beliau berkata Cik Sien mengalihkan kain itu selepas meletakkan bayi di katil dan meninggalkan bilik untuk mencuci aksesori pam susu.

Cik Sien pula berkata bahagian kanan muka bayi diletakkan di atas bahunya dan bukan terbenam pada bahagian dada atau bahunya. Beliau menjelaskan bahawa beliau akan memalingkan kepala bayi supaya mukanya bukan terletak pada bahu beliau setiap kali beliau mendukungnya dalam kedudukan tersebut.

Namun, rakaman CCTV terhadang oleh kusyen-kusyen.

Selepas Cik Sien meninggalkan bilik, ibu bayi itu mendapati bahagian kiri muka anaknya kelihatan lebih gelap. Beliau kemudian mengangkat keluar dan mengejutkan anaknya tetapi bayi itu tidak memberi respons.

Mereka kemudian membawa bayi itu ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) di mana para doktor mendapati bayi itu tidak lagi bernyawa. Dia juga tidak bertindak balas kepada bantuan pernafasan dan disahkan mati pada pukul 5.18 pagi.

Bedah siasat oleh ahli patologi forensik Profesor Madya Teo Eng Swee daripada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) tidak dapat mengesan punca kematian bayi itu tetapi asifiksia (kelemasan) dan sindrom kematian mendadak bayi tidak dikecualikan sebagai punca kematian.

Prof Madya Teo juga menarik perhatian berdasarkan kenyataan Cik Sien, tiada maklumat jelas menunjukkan bahawa muka bayi itu menghadap atau terbenam pada bahagian dada atau bahagian bahunya.

Beliau juga berkata mungkin hidung dan mulut bayi terhalang oleh kain kuning yang digunakan sebagai alas tetapi menambah bahawa tiada bukti jelas untuk menyokongnya.

Tiada bukti kesan tekanan atau kecederaan pada muka bayi itu.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan