Pulau Tekong akan diperluas 10km bagi penuhi keperluan latihan tentera SG
Pulau Tekong yang terletak di pantai timur laut Singapura, akan diluaskan sejauh 10 kilometer untuk memenuhi keperluan latihan tentera, demikian diumumkan oleh Menteri Pertahanan Ng Eng Hen di Parlimen pada Isnin (3 Mac).
Gambar fail yang menunjukkan pemandangan di Pulau Tekong. (Gambar fail: Lembaga Perumahan dan Pembangunan)
Rancangan untuk membina Pulau Tekong yang lebih luas - iaitu tapak Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) - telah dirancang menerusi sebuah projek menambak tanah.
Pulau Tekong yang lebih luas itu akan menjadi kawasan latihan bagi askar dan kenderaan tempur, sedang tentera Singapura kini semakin berteraskan platform, kata Dr Ng ketika membentangkan pelan perbelanjaan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Sementara itu di luar Singapura, Kawasan Latihan Shoalwater Bay di Queensland, Australia - yang digunakan oleh SAF bagi latihan tentera - juga telah dipertingkatkan dengan kemudahan baharu dan lebih baik.
Dengan peluasan tersebut, SAF dapat menjalankan edisi terbesar Latihan Wallaby, dengan disertai lebih 6,200 kakitangan dan 490 platform.
Menyusuli pembangunan Kawasan Latihan Greenvale berhampiran, SAF akan mempunyai kawasan latihan 10 kali ganda lebih besar daripada saiz Singapura, kata Dr Ng.
"Keseluruhan kawasan latihan itu membolehkan kami mengerahkan sehingga 14,000 kakitangan dan 2,400 kenderaan dan peralatan setiap tahun, agar SAF dapat menjalankan pelbagai kemampuan dengan melibatkan semua elemen dari darat, laut, udara dan digital," katanya.
Dalam ucapannya pada Isnin, Dr Ng juga menekankan keperluan untuk mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara lain sebagai langkah untuk menangani cabaran keselamatan bersama.
Perjanjian Kerjasama Pertahanan Singapura dengan Indonesia telah berkuat kuasa sejak Mac 2024 dan ia menyediakan asas yang kukuh bagi negara-negara memupuk interaksi dan kerjasama lebih erat antara institusi pertahanan mereka, katanya.
Beliau menarik perhatian kepada pertemuan antara Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada November tahun lalu.
Kedua-dua pemimpin tersebut menyatakan sokongan untuk mengadakan lebih banyak penglibatan tentera antara SAF dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI), termasuk latihan bersama di Kalimantan.
Tentera udara dari kedua-dua negara akan menjalankan rondaan udara dua hala buat julung-julung kali di bawah Rondaan Berkoordinasi Singapura-Indonesia atau Patkor Indopura pada tahun ini.
Singapura juga mempunyai hubungan baik dengan Malaysia, iaitu jiran terdekat negara ini, kata Dr Ng.
"Malaysia adalah pengerusi ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara) tahun ini, dan kita akan menyokong kepengerusian mereka dalam mempertahankan pemusatan dan perpaduan ASEAN," tambahnya.
Selain negara-negara jiran, hubungan pertahanan antara Singapura dengan Amerika Syarikat dan China terus berkembang, dengan pertukaran pada peringkat tinggi kerap dilakukan, kata Dr Ng.
Pada Mei 2024, beliau mempengerusikan bersama Dialog Menteri Pertahanan Singapura-China dengan Menteri Pertahanan China Dong Jun, di luar Dialog Shangri-La iaitu sidang puncak pertahanan tertinggi Asia.
Pada September tahun lalu, Dr Ng diundang untuk berucap di Forum Beijing Xiangshan ke-11. Beliau juga berucap di sesi dialog dengan komander kanan Tentera Pembebasan Rakyat China di Universiti Pertahanan Nasional (NDU) di Beijing.
Ketika di China, beliau bertemu sekali lagi dengan Encik Dong, dan mengadakan panggilan dua hala dengan naib pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat China, Jeneral Zhang Youxia.
"Bagi mereka yang mengetahui struktur PLA, ini adalah satu keistimewaan. Rombongan saya dan saya sendiri maklum dan menghargai akses istimewa kepada kedua-dua naib pengerusi Zhang dan kelas komandan di NDU," kata Dr Ng.
"Dalam pertemuan-pertemuan ini, kami mengesahkan hubungan baik antara tentera melalui pelbagai latihan dan pertemuan di peringkat tinggi. Kami merancang untuk meningkatkan lagi perkongsian tersebut."
Dengan Amerika, iaitu rakan kerjasama keselamatan utama Singapura, kerjasama dengan jabatan pertahanan dan ketenteraan negara tersebut adalah luas, tambah Dr Ng.
"Kami bukan sekadar pihak sekutu perjanjian, tetapi jelas penglibatan tentera dan manfaat bersama antara kedua-dua negara telah berkembang sepanjang beberapa tahun ini."
Dr Ng menambah Singapura juga berterima kasih kerana para juruterbang Singapura dapat menjalani latihan di Amerika selama bertahun-tahun.
"Singapura telah banyak melabur dalam pertahanan kami dan Amerika menghargainya," kata Dr Ng.
"Saya mengalu-alukan peluang mengukuhkan lagi hubungan pertahanan di bawah pentadbiran Trump."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.