Pulau-Pulau selatan SG bakal mampu tampung sendiri keperluan air, tenaga

Kuil Da Bo Gong di Pulau Kusu. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Terdapat rancangan untuk Pulau-Pulau selatan Singapura lebih mampu berdiri sendiri dari segi keperluan air dan tenaga di pulau tersebut, berikutan kejayaan projek di Pulau Kusu.
Pulau Kusu menjadi pulau yang pertama untuk menjana sendiri keperluan tenaganya menggunakan panel suria dan mempunyai sistem penyulingan yang beroperasi, sebagai sebahagian daripada projek bernilai S$2 juta. Penyelidikan dimulakan pada 2019, dan sistem tersebut mula digunakan pada tahun 2020.
Pulau-Pulau selatan merujuk kepada sembilan pulau kira-kira lima kilometer selatan Singapura, yang merangkumi Sentosa dan Taman Marin di Pulau Subar Darat and Pulau Subar Laut.
Tempat menyelam popular Pulau Hantu Besar akan dijadikan pulau seterusnya yang mampu berdiri sendiri dari segi keperluan air dan tenaga pada tahun depan.
GUNA TENAGA MATAHARI
Selama dua tahun, Pulau Kusu berfungsi setiap hari tanpa menggunakan penjana kuasa diesel.
Sebaliknya, semua tenaga yang diperlukan untuk menjana tenaga di seluruh pulau datang daripada lebih 350 panel suria, yang dipasang di kolam pasang surut di hadapan Kuil Da Bo Gong yang ikonik.
Keupayaan menjana kuasa di Pulau Kusu menghasilkan lebih daripada 230 megawatt-jam setahun, yang cukup untuk membekalkan elektrik kepada 52 flat HDB empat bilik.
Panel suria di Pulau Kusu mengambil ruang kawasan seluas dua gelanggang bola keranjang.
Ia juga membantu mengurangkan 96 tan metrik pelepasan karbon setiap tahun.
Projek tersebut adalah kerjasama antara Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA), yang mengendalikan pulau itu.
UNTUK PENDUDUK DAN ALAM SEKITAR
Panel suria, yang ditempatkan di kawasan seluas dua gelanggang bola keranjang, dipasang dengan mengambil kira persekitaran.
Kakinya, sebagai contoh, disalut dengan cat yang selamat untuk kehidupan laut, dan dibina cukup tinggi supaya ikan dan penyu dapat berenang bebas di bawahnya.
Kuasa yang dijana daripada panel suria tersebut juga disimpan dalam bateri dan digunakan untuk jeti, tandas, kuil dan sistem penyulingan utama pulau itu.
Sistem penyulingan tersebut menjadikan air laut boleh diminum melalui osmosis berbalik, dan dapat menghasilkan cukup untuk 140 orang setiap hari.
Lebih banyak pemeriksaan sedang dijalankan pada masa ini untuk memastikan air yang sudah disuling selamat untuk diminum.
Setelah ia selesai, teknologi yang serupa akan digunakan di Pulau Hantu Besar yang berdekatan pada tahun hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.