Pulau Jurong 'tapak ujian' teknologi mampan
Singapura sedang berusaha mencari lebih banyak inovasi untuk terus merubah Pulau Jurong menjadi taman perusahaan yang mesra alam.
SINGAPURA: Singapura sedang berusaha mencari lebih banyak inovasi untuk terus merubah Pulau Jurong menjadi taman perusahaan yang mesra alam.
Ia menyusuli kajian pertama seumpamanya yang menghubungkan lebih 50 syarikat petrokimia untuk mengetahui bagaimana syarikat-syarikat itu boleh memanfaatkan sisa perusahaan secara bersama-sama.
Loji kimia, Croda, mengeluarkan sehingga 85 tan air sisa setiap tahun. Namun syarikat itu tidak membuangnya begitu sahaja.
Air tersebut dirawat dan digunakan semula bagi menghasilkan lebih banyak kimia.
Idea proses itu adalah hasil kajian dua tahun yang melibatkan 50 lagi syarikat di Pulau Jurong untuk mencari jalan agar menjadi mesra alam.
Syarikat-syarikat tersebut berkongsi idea dan data penting antara satu sama lain untuk mencari cara menggunakan sumber dengan lebih cekap.
Pulau Jurong mengitar semula 6.5 juta meter padu air tawar dan menjana 8.1 megawat tenaga suria tahun lalu.
Bagi meningkatkan usaha mencari huraian mampan, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, mengumumkan dua inisiatif inovatif - salah satunya dibuka sehingga Oktober ini.
"Cabaran Inovasi Pulau Jurong (JIIC) akan mengumpulkan idea inovatif daripada syarikat-syarikat pemula serta perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk meningkatkan kemampanan dan tahap kitar semula sumber-sumber. Syarikat pemula dan SME akan mempunyai peluang untuk bekerjasama dengan syarikat besar dan mengakses pendanaan berpotensi bagi membangunkan huraian mereka," kata Dr Tan.
Menurut JTC, para pemain industri seperti Chevron Oronite, Shell dan Singapore LNG Corporation akan menyerati dalam inisiatif itu. Syarikat-syarikat tersebut akan bekerjasama untuk menyerahkan 10 kenyataan cabaran.
Kenyataan cabaran itu meliputi empat tema utama yang akan meningkatkan usaha kecekapan sumber iaitu kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan, pengurusan air dan pengurusan sisa kimia.
Satu lagi inisiatif bagi mencari huraian tenaga boleh diperbaharui pula akan dibuka pada dua bulan akan datang.
Inisiatif itu akan tertumpu kepada menguji kaji tenaga diperbaharui dan sistem penyimpanan tenaga seperti panel suria lebih tinggi kecekapan serta penggunaan tenaga suria di rak paip dan tangki simpanan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.