Skip to main content

Singapura

Pulau Jurong disasar sebagai taman perusahaan kimia, daya tenaga mampan jelang 2030

Singapura sudah menetapkan sasaran baru untuk menjadikan Pulau Jurong sebagai sebuah taman perusahaan kimia dan daya tenaga yang mampan menjelang tahun 2030.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Nov 2021 06:55PM Dikemas Kini : 23 Nov 2021 09:16PM

SINGAPURA: Singapura sudah menetapkan sasaran baru untuk menjadikan Pulau Jurong sebagai sebuah taman perusahaan kimia dan daya tenaga yang mampan menjelang tahun 2030.

Langkah itu akan membantu sektor tersebut untuk memenuhi matlamatnya bagi meningkatkan pengeluaran produk mampan sebanyak empat kali ganda pada tahun 2050.

Pada masa yang sama, usaha itu juga akan membantu mengurangkan lebih enam juta tan pelepasan gas rumah hijau setiap tahun.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong telah menggariskan tiga sasaran semasa majlis pecah tanah kemudahan baru syarikat Shell.

Kemudahan itu akan mengubah sisa plastik menjadi bahan kimia mentah.

Antara sasaran yang ditetapkan termasuk meningkatkan pengeluaran produk mampan sebanyak 1.5 kali ganda berbanding paras yang dicatatkan pada tahun 2019.

Ia juga mahu memastikan loji-loji penapisan di Singapura menjadi antara yang paling cekap dalam penggunaan daya tenaga di dunia.

Namun untuk melakukan demikian, sekurang-kurangnya dua juta tan karbon mesti diperangkap.

Ia setara dengan jumlah pelepasan gas itu oleh sekitar 240,000 keluarga.

Pemerintah juga akan memperkenalkan langkah-langkah bagi mencapai sasaran tersebut.

Ia termasuk kemungkinan melancarkan tapak ujian bagi memerangkap gas karbon di Pulau Jurong untuk membantu syarikat-syarikat memperluaskan penggunaan teknologi.

Selain itu, pemerintah juga akan menyediakan geran bagi projek mengurangkan pelepasan karbon.

"Langkah-langkah ini adalah hasil perbincangan dan kerjasama rapat antara pemerintah dengan industri.

Bagaimanapun, kami hanya berada di titik permulaan perjalanan dan kami bersedia untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat dan pihak berkepentingan yang berfikiran serupa untuk merealisasikan visi menjadikan Pulau Jurong sebagai sebuah taman tenaga dan kimia terkemuka di dunia, dengan semangat perintis yang sama pada detik-detik awal," kata beliau.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita