Skip to main content

Singapura

PUB mula uji kestabilan tanah di tanah jerlus Tanjong Katong selepas diisi tanah cair

Anggaran Waktu Membaca:
PUB mula uji kestabilan tanah di tanah jerlus Tanjong Katong selepas diisi tanah cair

Kerja-kerja dijalankan di kawasan tanah jerlus di Tanjong Katong Road South pada 28 Julai 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 28 Jul 2025 11:13PM Dikemas Kini : 28 Jul 2025 11:14PM
SINGAPURA: PUB mula menguji kestabilan tanah selepas tanah jerlus di Tanjong Katong Road South diisi pada Isnin (28 Jul).

Tanah jerlus itu diisikan dengan tanah cair yang stabil, yang merupakan campuran tanah, air dan simen, yang biasanya digunakan untuk mengisi lekukan bawah tanah, menurut agensi air negara PUB dalam satu kemas kini.

Apabila dituang ke dalam tanah jerlus itu, tanah cair itu akan mengalir dan mengisi ruangan tersebut, membentuk "bahan mampat serupa tanah" dalam masa beberapa jam, kata Encik Herman Ching, seorang pengarah jabatan rawatan semula air PUB.

Bahan itu tidak perlukan sebarang pemadatan mekanikal, menjimatkan masa yang diperlukan bagi kerja-kerja pembinaan, tambah PUB.

Agensi itu menambah ia sedang menjalankan "ujian dan pemeriksaan menyeluruh bagi mengesan sebarang lekukan bawah tanah dan mengesahkan kestabilan tanah" sebelum ia meneruskan dengan kerja-kerja pembaikan.

Ia turut memberikan perincian mengenai tiga kaedah yang digunakan untuk melakukan pemeriksaan itu.

Pertama, dengan mengimbas kawasan itu menggunakan radar yang boleh menembusi tanah, yang menggunakan gelombang radio bagi menilai lapisan bawah permukaan bagi sebarang lekukan dan anomali.

Ia juga melakukan pemeriksaan tanah, yang melibatkan penggerudian besi logam ke dalam tanah pada kedalaman 20 meter bagi menguji keadaan tanah dan mengesan jika terdapat sebarang sebarang lekukan.

Pada Isnin malam, para anggota media berpeluang menyaksikan kerja-kerja pemeriksaan tanah dalam lawatan ke tempat pembinaan itu yang dikendalikan oleh PUB.
Ujian bagi menguji tanah cair di tapak berlaku tanah jerlus di Tanjong Katong Road South pada 28 Julai 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Akhirnya, ia menjalankan pengimbasan seismik bagi merakam gelombang suara bawah tanah selama beberapa tempoh waktu bagi mengenal pasti sebarang anomali yang mungkin memberi gambaran terdapat lekukan.

Pengimbasan seismik menyediakan profil tanah pada kedalaman yang lebih besar berbanding radar penembusan tanah, kata Encik Ching.

"Secara kolektif, ketiga-tiga kaedah ini akan memberikan kita (rasa) kecekapan tanah di kawasan ini, dan memastikan tanah ini sesuai bagi kerja-kerja pembinaan jalan raya," katanya.

PUB juga menyatakan ia sedang menjalankan penilaian keselamatan menyeluruh dengan berunding dengan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sebelum jalan raya itu dibuka semula kepada orang awam.

Ia menambah bahawa ia sedang "bekerja sepanjang masa bagi mempercepatkan pemulihan jalan raya" dan memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh para penduduk dan pemandu disebabkan oleh penutupan jalan raya itu.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita