PUB lunaskan bayaran kerja lembur, faedah terhutang 6 bulan dek 'masalah teknikal'

SINGAPURA: Disebabkan masalah teknikal pada sistem sumber manusia (HR), sekumpulan pekerja daripada agensi air negara PUB terhutang gaji kerja lembur sehingga ada yang sampai enam bulan.
PUB lewat memberi gaji kerja lembur kakitangan berkenaan daripada Ogos tahun lalu hingga Januari tahun ini.
Dalam menjawab soalan Mediacorp, PUB mengumumkan bahawa pihaknya sudah menyelesaikan kesilapan itu dan sudah membayar gaji kerja lembur yang dihutang enam bulan dan bagi bulan Februari dan Mac tahun ini dalam gaji bulan April.
Kakitangan berkenaan juga, pada hujung bulan ini, akan menerima faedah yang boleh diperolehi sekiranya caruman gaji dimasukkan ke dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka sepanjang tempoh tersebut.
Walaupun PUB dan kesatuan pekerja PUBEU enggan mendedahkan berapa jumlah kakitangan yang terjejas dan jumlah gaji kerja lembur yang dihutang, Mediacorp difahamkan bahawa hanya sekumpulan kecil kakitangan yang terjejas dan jumlah wang yang dihutang tidak besar.
APA KATA KAKITANGAN
Awal bulan ini, Mediacorp menerima surat daripada kakitangan yang terjejas yang menyatakan mereka daripada Jabatan Kawasan Tadahan dan Laluan Air PUB.
Mereka mendedahkan bahawa mereka belum dibayar gaji kerja lembur sejak Ogos 2021. Kakitangan itu bagaimanapun tidak mendedahkan nama mereka.
Dalam surat yang ditujukan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Tan See Leng, kakitangan yang terjejas menyatakan bahawa jabatan sumber manusia (HR) PUB lewat membayar gaji kerja lembur namun diberikan jaminan bahawa mereka akan dibayar.
Sekalipun demikian, mereka tidak berpuas hati kerana mereka dipaksa untuk mengambil kerja lebih masa dan bayaran mereka tertunggak. Mereka akan kehilangan faedah yang diraih daripada gaji kerja lembur.
APA KATA PUB
Dalam menjawab soalan Mediacorp, jurucakap PUB mengatakan bahawa agensi itu sudah membayar balik gaji kerja lembur dalam gaji bulan April ini. Faedah juga akan dibayar kepada kakitangan pada hujung bulan April ini.
"Kami sedar bahawa masalah ini boleh ditangani dengan lebih baik dan masalah yang mungkin timbul terhadap kakitangan kami. Kami akan belajar daripada kesilapan ini dan pastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi."
APA KATA PSD
Dalam menjawab soalan Mediacorp, Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) difahamkan bahawa PUB sudah "menyelesaikan masalah dan sudah memberikan faedah CPF serta memaklumkan pegawai yang terjejas."
"PUB akan meningkatkan usaha untuk menyempurnakan lagi proses untuk memastikan masalah yang sama tidak akan berlaku lagi."
"Kami memandang serius kesilapan yang berlaku dan akan bekerjasama dengan agensi awam untuk menambah baik lagi proses pentadbiran."
APA KATA KESATUAN
Setiausaha Agung PUBEU, Selvam Sivasamy memberitahu Mediacorp bahawa kesatuan itu menyedari perubahan-perubahan sistem sumber manusia agensi itu dan masalah teknikal yang dialami.
"Awal bulan ini, kesatuan difahamkan bahawa sistem tersebut sudah menyebabkan gaji kerja lembur tertunggak bagi kakitangan tetapi kini masalah sudah diselesaikan.
"Kami faham akan kebimbangan yang dihadapi oleh kakitangan dan kami menggesa kakitangan dan terutama sekali anggota kami untuk menghubungi mana-mana pemimpin kesatuan jika mereka memerlukan bantuan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.