PUB lancar kenderaan respons khas, penghadang automatik banjir persiap hadapi musim monsun
Sebagai persiapan berdepan dengan hujan lebat dan banjir kilat yang menjelang disebabkan musim monsun timur laut semakin hampir, agensi air negara PUB melancarkan beberapa langkah baru, termasuk mempunyai kenderaan-kenderaan khas bagi tindak balas banjir dan penghalang automatik air bah.
SINGAPURA: Sebagai persiapan berdepan dengan hujan lebat dan banjir kilat yang menjelang disebabkan musim monsun timur laut semakin hampir, agensi air negara PUB melancarkan beberapa langkah baru, termasuk mempunyai kenderaan-kenderaan khas bagi tindak balas banjir dan penghalang automatik air bah.
Inisiatif-inisiatif itu akan mempertingkat ramalan hujan, pemantauan dan keupayaan tindak balas banjir untuk "menjauhkan orang ramai dan pemandu kenderaan daripada bahaya semasa banjir kilat", menurutnya dalam satu pengumuman hari ini (19 Nov).
KENDERAAN RESPONS BANJIR KHAS
Ini adalah kali pertama PUB mengumumkan kumpulan 13 kenderaan khas bagi respons banjirnya, walaupun ia sudah digunakan secara progresif sejak April tahun ini.
Diubah suai mengikut keperluannya, kenderaan-kenderaan itu mempunyai ciri seperti penjejak sistem kedudukan global (GPS) dan kamera "pan-tilt-zoom" bagi rakaman masa nyata lokasi kenderaan dan keadaan banjir yang akan dihantar ke Pusat Operasi Bersamanya.
PUB menyatakan bahawa ciri itu akan membolehkannya menyelaraskan pengerahan kenderaan dari jauh dengan lebih baik, serta mengarahkan dan menugaskan pasukan tindak balas dengan lebih pantas ke lokasi, di mana hujan lebat dijangkakan.
Selain itu, kenderaan itu juga mampu meredah air banjir yang lebih tinggi sehingga paras 700 milimeter dan dilengkapi dengan penghadang mudah alih dan beg banjir boleh kembung.
"Apabila berada di lapangan, pegawai PUB mungkin perlu menutup bahagian jalan yang terjejas, mengarahkan trafik untuk elak banjir dan menggunakan penghadang banjir," tambah agensi itu.
PENGHADANG BANJIR AUTOMATIK
Pemilik bangunan kini juga boleh mempertimbangkan untuk memasang penghadang banjir automatik yang sudahpun diuji oleh PUB.
Penghadang automatik memanfaatkan air banjir yang mengalir untuk terapung sekali gus menghadang air banjir daripada memasuki suatu ruang.
Ia akan kembali surut ke lokasi asalnya di bawah tanah apabila paras air surut "tanpa perlu mengaktifkan tenaga manusia atau mekanikal", jelas PUB.
Agensi itu sudah menguji penghadang tersebut pada Julai tahun ini di pintu masuk kondominium Fortune Park di Tampines, yang menuju ke tempat letak kereta bawah tanahnya, dan menentukan bahawa ia adalah "huraian yang mampan dan menjimatkan kos" untuk perlindungan terhadap banjir.
"Kami menggalak pemilik bangunan untuk melaksanakan penghadang automatik banjir sebagai sebahagian daripada langkah perlindungan banjir untuk pembangunan sedia ada yang terletak di kawasan rendah," menurut PUB.
PERKUKUH KEUPAYAAN PANTAU BANJIR
Sistem operasi takungan dan saluran air PUB, yang digunakan untuk pemantauan masa nyata operasi takungan dan saliran, juga diperluaskan untuk merangkumi data berkaitan banjir dari merata negara.
Ini termasuk sensor-sensor paras air, lokasi kenderaan tindak balas banjir, kamera pengawasan video dan ramalan hujan.
Ssemua data ini pada satu platform "sangat mempertingkatkan usaha pemantauan" di Pusat Operasi Bersamanya, menurut PUB.
Daya usaha lain termasuk:
- Melabur hampir S$2 bilion bagi kerja-kerja pembaikan sistem saliran
- Melancarkan saluran baru pada aplikasi pengantaran pesanan Telegram pada 10 November untuk menyediakan orang ramai dengan kemas kini tepat pada masanya berhubung hujan lebat, potensi lokasi berisiko banjir dan kawasan banjir kilat
- Menggandakan bilangan radar jalur X kepada enam. Ini digunakan untuk mengumpul data hujan
PUB menyatakan bahawa radar tambahan itu akan meningkatkan ketepatan pengukuran dan ramalan hujannya, dan membolehkan pihaknya mengeluarkan amaran awam dan mengerahkan sumber ke lokasi berpotensi banjir dengan lebih pantas.
Memandangkan perubahan iklim membawa hujan yang lebih kerap dan lebat, yang boleh membanjiri kapasiti sistem saliran Singapura buat sementara waktu, keupayaan untuk meramal dan memantau hujan ribut yang akan berlaku "menjadi lebih penting berbanding sebelum ini", tambahnya.
Banjir kilat menjadi perbualan ramai pada separuh kedua tahun ini, dengan dua kejadian berasingan berlaku pada Ogos sahaja.
Beberapa pakar sains sekitaran sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa Singapura boleh menjangkakan lebih banyak keadaan cuaca tidak menentu pada masa hadapan. Bagaimanapun, pendapat mereka berbelah bagi sama ada fenomena itu adalah disebabkan oleh perubahan iklim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.