PUB lancar kajian lindung pantai Bandar-East Coast
Agensi air negara PUB akan memulakan kajian tentang usaha melindungi pantai Bandar-East Coast Marina daripada kenaikan paras air laut yang disebabkan oleh perubahan iklim.
SINGAPURA: Agensi air negara PUB akan memulakan kajian tentang usaha melindungi pantai Bandar-East Coast Marina daripada kenaikan paras air laut yang disebabkan oleh perubahan iklim.
Demikian menurut agensi air negara itu pada Selasa (18 Mei).
Kajian itu, yang akan mengambil masa empat tahun untuk selesai, akan meliputi tiga kawasan pantai sejauh 57.8 kilometer - iaitu Changi, East-Coast Marina dan sebahagian Kawasan Pesisiran Selatan.
Bahagian pantai itu dikenal pasti sebagai kawasan mudah terjejas dan penting berdasarkan beberapa faktor.
Ini termasuk potensi kesan banjir ke atas aset-aset seperti lapangan terbang dan daerah ekonomi serta peluang-peluang untuk "membuat penyesuaian" mengikut pembangunan-pembangunan akan datang, menurut PUB dalam kenyataan medianya.
Selain menyemak semula amalan-amalan terbaik antarabangsa, PUB akan mengumpulkan data daripada lokasi untuk menyokong kerja-kerja reka bentuk, mewujudkan langkah-langkah untuk disesuaikan dan membangunkan huraian-huraian bagi mengurangkan risiko banjir.
"Apabila PUB dilantik oleh agensi perlindungan pantai kebangsaan pada April 2020, kajian itu dijadikan sebagai pencapaian penting dalam misi kita untuk mempersiapkan Singapura apabila berdepan dengan kenaikan paras air laut," kata Cik Hazel Khoo, yang merupakan pengarah jabatan perlindungan pantai PUB.
"Namun ini hanya permulaan - cabaran sebenar adalah untuk membangunkan huraian-huraian fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut perubahan iklim yang tidak menentu, untuk melindungi pulau kita dan penduduk kita daripada risiko banjir di samping memastikan kawsan pantai kita selamat didiami."
Kajian itu juga peluang untuk meneroka huraian-huraian kejuruteraan dan semula jadi untuk menyepadukan dengan lebih baik dengan pembangunan tempatan serta rancangan penggunaan tanah, kata Cik Khoo.
"Ini akan membolehkan kita untuk mempertingkatkan sekitaran kehidupan dan mewujudkan ruang-ruang riadah baru berbilang fungsi untuk masyarakat seperti yang dilakukan di Kolam Air Marina," kata beliau.
Kajian-kajian untuk melindungi Pulau Jurong dan pantai Utara-Barat - termasuk Sungei Kadut dan Lim Chu Kang - adalah inisiatif seterusnya.
Kajian Pulau Jurong akan dimulakan hujung tahun ini dan kajian Lim Chu Kang akan bermula pada 2022.
Tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengumumkan penubuhan Dana Perlindungan Pantai dan Banjir, dengan jumlah awal sebanyak S$5 bilion, untuk mengatasi risiko kenaikan paras air laut.
Dana itu akan ditokok apabila kedudukan kewangan Singapura mengizinkannya, kata Encik Heng.
Kajian bagi Pantai Bandar-East Coast akan dijalankan oleh CPG Consultants, iaitu syarikat khidmat runding cara, prasarana dan pengurusan bangunan subsidiari CPG Group yang berpangkalan di Singapura. Firma itu dilantik menyusuli tender yang dibuka tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.