Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PUB akan tetapkan piawai baru kecekapan air bagi peralatan sektor komersil

Perniagaan yang banyak gunakan air juga boleh memohon geran sehingga S$300,000 untuk membiayai pemasangan peralatan yang lebih menjimatkan air.

Anggaran Waktu Membaca:
PUB akan tetapkan piawai baru kecekapan air bagi peralatan sektor komersil

(Gambar: Pexels)

Diterbitkan : 04 Mar 2021 07:38PM Dikemas Kini : 04 Mar 2021 07:39PM

SINGAPURA: Mulai tahun depan, peralatan air komersil dan injap pam almari air (WC) yang dibekalkan dan dijual di Singapura perlu memenuhi syarat kecekapan minimum.

Dalam ucapannya di Parlimen pada Khamis (4 Mac), Menteri Negara Kemampanan dan Sekitaran Desmond Tan berkata bahawa PUB akan bekerjasama dengan sektor bukan domestik untuk meningkatkan kecekapan airnya, kerana sektor itu dijangka akan membentuk sebahagian besar permintaan air menjelang 2060.

Salah satu cara untuk menanganinya adalah dengan memperkenalkan syarat wajib bagi kecekapan minimum air untuk tiga jenis peralatan komersial - pengekstrak mesin basuh, mesin basuh pinggan mangkuk dan mesin basuh tekanan tinggi, katanya.

Encik Tan juga berkata bahawa mulai Januari 2022, Skim Pelabelan Wajib Kecekapan Air (MWELS) akan diperluaskan untuk merangkumi injap pam WC yang digunakan di tandas premis seperti pusat beli-belah dan pejabat. Sebagai permulaan, hanya injap yang mempunyai taraf kecekapan minimum dua rait boleh dijual di sini, katanya.

"Kedua-dua skim ini dijangka dapat menjimatkan sekitar 0.72 juta gelen air sehari, sama dengan 480 kolam renang saiz Olimpik setiap tahun."

Syarat-syarat baru bagi kecekapan air minimum PUB merangkumi injap pam WC hingga 4L setiap pam - setara dengan penilaian minimum dua tanda rait di bawah MWELS, mesin basuh pinggan mangkuk komersial hingga 2.4L setiap rak, pengekstrak mesin basuh hingga 8L setiap kilogram dan mesin basuh tekanan tinggi hingga 11L setiap rak, menurut PUB dalam kenyataan medianya.

Mesin basuh pinggan mangkuk komersial, pengekstrak mesin basuh dan mesin basuh tekanan tinggi biasanya digunakan oleh hotel, hospital, kedai F&B, kedai dobi dan syarikat pembersihan, yang menggunakan jumlah air yang banyak setiap hari, menurut PUB. Injap pam WC biasanya digunakan di tandas dengan penggunaan yang tinggi, seperti di sekolah, pusat beli-belah dan pusat penjaja.

Untuk membantu meningkatkan penggunaan peralatan cekap air lebih awal, perniagaan dengan penggunaan air bulanan sekurang-kurangnya 1,000 meter padu boleh memohon dana PUB untuk membeli peralatan cekap air. Ini akan membolehkan mereka untuk menerima subsidi sehingga S$300,000 atau sehingga 50 peratus kos pemasangan dari sekarang hingga Disember tahun ini.

Ini secara beransur-ansur akan menghentikan penggunaan alat kelengkapan air dan peralatan komersial yang kurang cekap air dan menggalak para pembekal untuk memperkenalkan lebih banyak model cekap air di pasaran, jelas PUB.

PENJIMATAN AIR DAN KOS

Buat masa ini, Singapura menggunakan sekitar 430 juta gelen air sehari, dan ini dijangka meningkat hampir seganda menjelang 2060. Sektor bukan domestik membentuk lebih separuh daripada permintaan hari ini.

Berdasarkan kajian pasaran, lebih 70 peratus mesin basuh pinggan mangkuk komersial, pengekstrak mesin basuh dan mesin basuh tekanan tinggi yang dijual di pasaran hari ini sudah memenuhi syarat kecekapan air minimum, dedah PUB. Sebahagian besar daripadanya juga lebih murah berbanding model-model yang kurang menjimatkan air.

Menjelang hujung tahun ini, akan terdapat "bekalan besar" model injap pam WC - sekitar 30 peratus - yang lebih cekap air, menurut PUB. Model injap pam ini mempunyai taraf minimum dua tanda rait di bawah MWELS.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan