Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Puasa bukan penghalang untuk bersenam

Puasa tidak seharusnya menjadi halangan untuk bersenam demi menjaga kecergasan badan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Puasa tidak seharusnya menjadi halangan untuk bersenam demi menjaga kecergasan badan.

Beberapa penyesuaian boleh dibuat seperti melakukan aktiviti ringan selepas berbuka puasa.

Studio yoga udara, Avoyoga memberitahu BERITAmediacorp jumlah peserta Muslim yang mengikuti kelas-kelasnya pada waktu malam meningkat 40 peratus Ramadan ini.

SENAM PADA SEBELAH PETANG ATAU MALAM PADA INTENSITI BERKURANGAN

Nur Hamizah A Rahim biasanya ke studio Avoyoga setiap hujung minggu untuk melakukan senaman yoga udara.

Dalam bulan Ramadan ini, Cik Hamizah mengubah jadual senamannya.

"Selalunya bulan Ramadan, kita ambil kelas petang sikit jadi selepas habis kelas boleh terus keluar berbuka puasa. Biasanya, saya pergi ke kelas hujung minggu pada waktu pagi, kerana ada masa untuk keluar selepas itu," jelas Cik Hamizah.

Beliau berkata beliau ingin aktif semasa bulan Ramadan demi kesihatan namun akur daya tenaganya berkurangan selepas sehari menahan lapar dan dahaga.

"Semasa Ramadan pun kita tidak mengambil kelas yang begitu susah ataupun aktif, jadi kita ambil yang senang sikit supaya tidak terlalu memudaratkan diri," tambah beliau.

JUMLAH PESERTA MUSLIM BERSENAM PADA WAKTU SELEPAS BERBUKA PUASA NAIK 40 PERATUS

Menurut Pengasas syarikat Avoyoga Raidah Syafiqah Ahmad, jumlah peserta Muslim yang mengikuti kelas-kelas yoga udara kendaliannya kekal stabil.

Malah, lebih 50% daripada peserta dalam setiap kelas adalah wanita Muslim.

"Selalunya kelas pada waktu 8 malam atau 8.30 malam pada hari-hari sebelum Ramadan memang tidak penuh sebab ia terlalu lewat. Tetapi pada bulan Ramadan ini, jumlah peserta naik sehingga 40 peratus sebab para peserta lebih rela bersenam selepas buka," kongsi Cik Raidah.

'
Namun begitu, masih juga terdapat beberapa peserta Muslim yang terus menghadiri kelas pada waktu pagi dan petang.

Buat golongan tersebut, Cik Raidah menasihati agar tidak terlalu memaksa diri untuk bersenam.

Cik Raidah berkata: "Untuk kelas-kelas pada waktu pagi, kita menasihati mereka agar tidak membuat kegiatan yang terlalu berat. Ada di antara mereka yang menghadiri kelas di mana akan ada pergerakan seperti berpusing-pusing dan terbalikkan diri."

"Jadi kalau berbuat sebegitu dengan perut yang kosong, mudah untuk mereka pening. Jadi kita pastikan mereka melakukan setiap kegiatan mengikut kadar lebih perlahan daripada apa yang selalu mereka lakukan luar daripada bulan Ramadan," tambah beliau lagi.

Cik Raidah menggalakkan sesiapa sahaja untuk melakukan senaman semasa bulan Ramadan ini.

"Selepas berbuka puasa, kita banyak makan dan minum, kadangkala terlalu banyak. Jadi penting untuk kekal seimbang dan bersenam. Untuk kelas yoga udara, kita ada senaman intensif, selepas waktu berbuka puasa. Kalau mereka makan terlalu banyak dan ingin hilangkan rasa kenyang, mereka boleh buat senaman perut," kata beliau

30 MINIT BERSENAM SETIAP HARI CUKUP UNTUK KEMBALI RASA BERTENAGA

Ramai juga yang menyertai kelas-kelas senaman secara maya seperti Cabaran Kecergasan anjuran syarikat 1-Habit.

Ia mengendalikan Cabaran Kecergasan pada setiap hari sepanjang Ramadan.

;

Pengasasnya Cik Aqilah Norazman, berkata: "Tujuan cabaran ini untuk menggalak mereka yang sedang berpuasa untuk menjadi lebih aktif dan untuk menjaga kesihatan mereka."

Sesi-sesi senaman itu diadakan secara maya.

'

Cik Aqilah berkata: "Senaman ini dibuat menerusi Zoom untuk keselesaan para peserta dan agar lebih ramai orang yang boleh mengikut serta."

"Waktu yang kita bersenam dari 6.00 hingga 6.30 petang, 30 minit sahaja. Kenapa kita pilih waktu ini, selalunya kita berpuasa, pada waktu itu kita akan rasa layu dan malas sikit jadi kita kurang bergerak," tambah Cik Aqilah.

Selain itu, beliau juga berkata bahawa tempoh 30 minit cukup untuk para peserta merasa bertenaga.

"Kalau berpuasa daya tenaga memang kurang, jadi kalau kita nak memaksa diri pun akan memudaratkan jadi tidak perlu untuk bersenam terlalu lama," ujar Cik Aqilah.

Menurut Cik Aqilah, sesi tersebut disertai kira-kira 15 peserta setiap hari yang melakukan pelbagai senaman, seperti melakukan kardio.

'

"Kalau buat latihan kekuatan, kita tidak perlu mengangkat berat sangat dan kita tidak perlu membuat terlalu banyak pengulangan. Kalau buat senaman kardio, kita tidak membuat terlalu lama pada satu-satu masa, daripada satu minit kita kurangkan kepada 30 saat."

Intensiti yang lebih ringan memastikan senaman tidak mengganggu puasa atau menyebabkan dehidrasi.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan