Skip to main content

Singapura

Puan Noor Aishah 'tunggak sokongan teguh' Presiden Yusof Ishak semasa SG lalui tahun-tahun getir penubuhan negara: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Puan Noor Aishah 'tunggak sokongan teguh' Presiden Yusof Ishak semasa SG lalui tahun-tahun getir penubuhan negara: PM Wong

Puan Noor Aishah. (Gambar: Facebook/Lawrence Wong)

Diterbitkan : 22 Apr 2025 09:19AM Dikemas Kini : 22 Apr 2025 02:40PM
SINGAPURA: Di sebalik kehalusan budi bahasa dan kesantunan Puan Noor Aishah Salim, adalah seorang wanita yang bersemangat waja, yang sentiasa mendampingi dan menyokong suaminya, Presiden pertama Singapura Yusof Ishak dan beliau berdiri teguh menjadi tunggak sokongan yang teguh kepada suaminya, sedang Singapura melalui tahun-tahun getir penubuhannya sebagai sebuah negara merdeka.

Perdana Menteri Lawrence Wong mengungkapkan kata-kata sanjungan itu bagi memperingati balu Presiden Yusof Ishak, yang meninggal dunia pada usia 91 tahun pada awal pagi Selasa (22 Apr).

PM Wong turut menzahirkan rasa dukacita yang mendalam menerusi catatan Facebooknya pada Selasa (22 Apr).

"Menjangkaui Istana, beliau mengabdikan diri untuk berkhidmat kepada insan lain menerusi pertubuhan-pertubuhan seperti Palang Merah Singapura dan Persatuan Wanita Muslim Singapura.

"Kemurahan hati dan kesantunan Puan Noor Aishah menyentuh hati begitu ramai orang - Semoga legasinya terus memberi kita semua inspirasi," kata PM Wong.

Dilahirkan di Selangor pada 1933, Almarhumah berusia 16 tahun apabila beliau bernikah dengan Encik Yusof Ishak pada 1949. Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak.

Beliau baru berusia 26 tahun apabila suaminya mengangkat sumpah sebagai ketua negara pada 1959. Encik Yusof Ishak berkhidmat selama tiga penggal sebelum meninggal dunia akibat masalah kegagalan jantung pada 1970.

Pada tahun-tahun akhir sebagai presiden, kesihatannya yang memburuk menyebabkan Puan Noor Aishah memikul lebih banyak tanggungjawab sosial suaminya, seperti menyampaikan Anugerah Hari Kebangsaan.

Puan Noor Aishah juga merupakan penaung bagi beberapa pertubuhan - Persatuan Palang Merah, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Persatuan Kanak-Kanan, Persatuan Pandu Puteri, Persatuan untuk Orang Buta, Persatuan Spastik dan Persatuan untuk Orang Pekak.

Atas sumbangan besar dan tidak ternilai, Puan Noor Aishah diiktiraf dalam Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura pada tahun 2018.

Jenazah Almarhumah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Baalwie usai solat Zuhur pada Selasa (22 Apr).

Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Negara Kranji.
Sumber : BERITA Mediacorp/CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita