Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Puan Halimah Yacob terima pengiktirafan tertinggi dari Kumpulan Dunia Melayu Dunia Islam

Anggaran Waktu Membaca:
Puan Halimah Yacob terima pengiktirafan tertinggi dari Kumpulan Dunia Melayu Dunia Islam

(Gambar: Nurhelmy Hakim)

SINGAPURA: Sumbangan mantan Presiden Halimah Yacob kepada Dunia Melayu, Dunia Islam (DMDI) disanjung dengan pengiktirafan tertinggi tokoh kumpulan tersebut iaitu Anugerah Mansur Syah DMDI.

Anugerah tersebut diberikan kepada pemimpin negara yang telah memberi sumbangan yang gemilang kepada DMDI.

Puan Halimah yang juga Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) berkata: "Saya amat berterima kasih atas anugerah yang diberikan. Melalui anugerah ini, saya berharap kita dapat memupuk dan menjalin hubungan lebih erat antara Singapura dan negara-negara di bawah rangkaian DMDI."
Presiden DMDI, Dr Mohd Ali Mohd Rustam berkata, "Puan Halimah adalah seorang pemimpin yang amat dihormati bukan sahaja di Singapura malah di seluruh rantau ini. Ketokohan beliau dalam memimpin negara dengan penuh integriti, kebijaksanaan dan dedikasi telah menjadi inspirasi kepada orang ramai."

"Komitmen beliau terhadap keadilan sosial, kesejahteraan rakyat serta usaha gigih dalam memperkukuh perpaduan nasional adalah sesuatu yang sangat dihargai dan patut dicontohi," tambah beliau lagi.

Anugerah itu dinamakan sempena Sultan Mansur Syah yang memimpin empayar kerajaan Melaka yang menjadi pusat perdagangan terbesar di bahagian timur dunia pada abad ke-15.

Antara penerima anugerah berprestij itu sebelum ini termasuk mantan Naib Presiden Indonesia, Ma'aruf Amin dan mantan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin.

Anugerah itu disampaikan kepada Puan Halimah semasa majlis pembukaan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam ke-22 pada Isnin (28 Okt).

Acara itu dianjurkan Jamiyah selaku sekretariat DMDI di Singapura di Hotel Furama pada Isnin (28 Okt).

MANFAATKAN TEKNOLOGI BAGI PERKASA BIDANG PENDIDIKAN, EKONOMI

Presiden Persatuan Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar berharap menerusi acara tersebut, para hadirin boleh lebih memahami tentang trend terkini, memikirkan strategi praktikal untuk menghadapi cabaran semasa serta mengambil inspirasi untuk terus memperkasakan masyarakat Melayu/Islam di peringkat global.

Dengan menggabungkan aspek-aspek tersebut, Dr Hasbi berharap agar asas yang kukuh untuk kemajuan menyeluruh masyarakat Melayu/Islam dapat dibina.

Sekitar 300 orang delegasi dari 16 negara anggota DMDI - termasuk Brunei, China, Indonesia, Malaysia, Sri Lanka, dan Kemboja - berhimpun dengan matlamat memajukan serta mengukuhkan kesatuan mereka untuk memacu pembangunan rumpun bangsa Melayu beragama Islam.
 

Hal-hal itu dibincangkan menerusi beberapa siri forum oleh barisan pemimpin serta pakar-pakar daripada pelbagai bidang yang bertemakan 'Memperkasakan Rangkaian Komuniti Global Dunia Melayu Dunia Islam'.

Forum tersebut menumpukan kepada penggunaan teknologi untuk memperkasakan tiga bidang yakni pendidikan, sosiobudaya dan ekonomi.

Dalam aspek sosiobudaya misalnya, perbincangan panel yang diadakan antara lain cuba meneroka penggunaan teknologi digital dalam memelihara warisan budaya serta pelbagai wadah untuk melestarikan warisan budaya Melayu.

Perbincangan tersebut bertujuan untuk memastikan kerelevanan budaya Melayu dalam era digital, meningkatkan kesedaran global tentang kekayaan warisan Melayu serta menggalakkan pertukaran budaya antara negara-negara DMDI.

Sejak diasaskan pada 2000, DMDI sudah mempunyai anggota dari 23 negara termasuk Kanada, Bosnia Herzegovina dan Afrika Selatan.

Presiden DMDI, Dr Mohd Ali Rustam yang juga merupakan Yang Dipertua Negeri Melaka berkata: "Pertukaran idea sebegini sangat penting kerana dunia bergerak pantas jadi kita orang Melayu pun perlu bersatu dan kongsi pengalaman dan kebolehan kita. Dengan teknologi tinggi, pendidikan yang tinggi, perniagaan pun sudah bertaraf dunia, kita perlu cuba sedaya mungkin untuk memeriahkan kehidupan kita."

Puan Halimah juga memuji usaha menganjurkan konvensyen DMDI yang diadakan sepanjang dua hari sehingga Selasa (29 Okt).

"Usaha antara DMDI dengan Jamiyah adalah baik kerana ini menunjukkan rangkaian yang diadakan masih lagi relevan. Kalau kita lihat dunia yang terdapat banyak pergolakan, jika ada rangkaian sebegini, ia dapat memberi kestabilan kepada orang Melayu/Islam. Saya rasa masyarakat Melayu/Islam mempunyai rangkaian lebih besar dan melihat bagaimana peluang-peluang dapat diadakan."

Sempena konvensyen tersebut, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) juga akan ditandatangani merentasi bidang ekonomi dan pendidikan di antara Singapura dan negara-negara DMDI yang lain.

Antaranya termasuk pemeteraian MoU antara Jamiyah Singapura dengan Universiti Geomatika Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia, Melaka.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan