Skip to main content

Singapura

Puan Halimah Yacob terima Anugerah Tokoh Alumni NUS, antara 35 alumni yang diiktiraf

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mantan Presiden, Halimah Yacob diiktiraf Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan Anugerah Tokoh Alumni dalam majlis penyampaian Anugerah Alumni NUS 2023 pada Khamis (2 Nov).

Ini bagi menyanjung sumbangannya dalam perkhidmatan awam sebagai Presiden kelapan Singapura dan Canselor kesepuluh NUS.

Ini di samping penglibatan beliau dalam memperbaiki dan memperkasa kehidupan individu serta golongan yang kurang bernasib baik di Singapura.

"Saya amat berbesar hati menerima Anugerah Tokoh Alumni dari institusi di mana saya pernah menuntut dahulu. NUS memainkan peranan formatif dalam kehidupan saya dan membentuk bukan sahaja perkembangan akademik saya tetapi juga nilai yang saya pegang sepanjang kerjaya saya," kata Puan Halimah Yacob.

a
Ihsan: NUS 

Presiden NUS, Prof Tan Eng Chye, dalam ucapannya turut memberikan penghargaan kepada Puan Halimah atas sumbangannya.

"Malam ini, kami berbesar hati untuk meraikan Puan Halimah Yacob, Canselor dan Graduan Terhormat ke sepuluh kami dan penerima Anugerah Tokoh Alumni malam ini atas sumbangan cemerlang beliau kepada NUS dan Singapura," kata Prof Tan Eng Chye.

Dalam masa yang sama juga mengiktiraf sumbangan jitu penerima anugerah alumni yang lain.

"Penerima Anugerah Alumni malam ini bukan sahaja berjaya dalam bidang masing-masing, malah telah memartabatkan makna menjadi alumni institusi kami. Pencapaian mereka telah memperkaya budaya, sains yang maju, memperdalam kemanusiaan dan menjadikan masyarakat lebih kukuh dan baik," tambah beliau.

Selain Puan Halimah, NUS juga mengiktiraf sumbangan dan pencapaian 20 individu lain dan tiga kumpulan alumni di majlis tersebut.

Majlis penganugerahan yang diadakan dua tahun sekali sejak 2005 itu diadakan untuk menyanjung individu yang sudah meninggalkan kesan mendalam kepada institusi melalui sumbangan mereka kepada masyarakat dan dunia.

Anugerah disampaikan dalam empat kategori iaitu Anugerah Tokoh Alumni, Anugerah Perkhidmatan Alumni Terbilang, Anugerah Alumni Muda Cemerlang dan Anugerah Alumni secara Pasukan.

ENCIK YATIMAN YUSOF PENERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN ALUMNI TERBILANG

Antara penerima Anugerah Perkhidmatan Alumni Terbilang NUS kali ini ialah Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Kenya, Yatiman Yusof.

"Saya merasa terkejut menerima Anugerah Alumni NUS 2023. Tidak pernah saya menjangkakan diberi anugerah seperti ini setelah lebih 50 tahun meninggalkan NUS (dulunya Universiti Singapura). Bagaimanapun saya tetap berterima kasih atas anugerah ini. Ia umpama penghormatan kepada para siswazah yang telah dididik dan bakatnya telah dikembangkan oleh institusi pendidikan tinggi tersebut," kata Encik Yatiman Yusof.

A
Encik Yatiman Yusof. Ihsan: NUS

Beliau juga berkongsi dengan BERITA Mediacorp rancangannya untuk terus mendalami bidang ilmu yang diminatinya.

"Kalau diberikan peluang, saya akan terus menyertai program tahunan kerjasama NUS-UM yang mempertemukan para ilmiawan di dua buah negara yang rapat berjiran ini kerana saya gemar giat dalam bidang bahasa dan kesusasteraan, saya akan terus menyertai program bahasa dan sastera di rantau ini," ujar Encik Yatiman Yusof.

Namun di sebalik pengiktirafan ini, beliau juga akur dengan cabaran yang perlu diharungi.

"Antara yang terpenting ialah cabaran mewujudkan perpaduan masyarakat dalam sebuah Singapura yang berbilang bangsa. Satu lagi adalah usaha nasional yang boleh membawa perubahan besar terhadap masyarakat kita. Penubuhan Majlis Pendidikan Anak-Anak Islam atau Mendaki juga satu usaha yang amat mencabar memandangkan suasana politik pada ketika itu.

"Alhamdulillah. Berkat kesungguhan dan kepaduan penggeraknya, kita telah berjaya. Kini berpuluh ribu anak-anak kita menikmatinya," tambah beliau.

Beliau turut menarik perhatian cabaran untuk mengekal dan memperkembangkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak dan anggota masyarakat Melayu.

ANUGERAH ALUMNI MUDA CEMERLANG

Bagi Anugerah Alumni Muda Cemerlang, dua individu terpilih untuk diraikan iaitu Dr Izzuddin Mohd Aris dalam bidang Sains dan Encik Faris Ridzuan dalam bidang Seni dan Sains Kemasyarakatan.

Penolong Profesor di Sekolah Perubatan Harvard dan Institut Penjagaan Kesihatan Pilgrim Harvard, Dr Izzuddin Mohd Aris, teruja dengan penghargaan ini dan berharap pencapaiannya ini dapat dijadikan pembakar semangat buat anak-anak muda.

A
Dr Izzuddin Mohd Aris. Ihsan: NUS 

"Saya berharap dapat mengukuhkan lagi reputasi antarabangsa dalam penyelidikan saya tentang kegemukan (obesiti) dalam kanak-kanak dan penentu awal penyakit kronik. Lebih-lebih lagi, saya berharap anugerah ini menjadi inspirasi kepada individu muda dalam masyarakat Melayu yang mungkin benar-benar berminat dan bersemangat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang sains dan teknologi (dan mungkin akademik) tetapi tertangguh kerana kesukaran yang dirasakan," kata beliau.

Guru akademik di NUS, Faris Ridzuan juga berharap dapat menyumbang lebih banyak kepada masyarakat umum di Singapura.

A
Encik Faris Ridzuan. Ihsan: NUS  

"Yang penting, saya mahu belajar dari yang jauh lebih arif, budiman dan beretika tinggi, dan menyumbang di lingkungan yang saya mungkin ada sedikit ilmu dan amal yang saya harap dapat membawa manfaat," kata Encik Faris.

Dalam acara yang sama sebuah video penghargaan turut ditayangkan sebagai penghargaan buat Puan Halimah Yacob.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita