PTC saran jadikan pengangkutan awam lebih inklusif
Sebanyak 21 saranan disertakan oleh Majlis Pengangkutan Awam (PTC) dalam laporan nasihat yang kedua hari ini (25 Jan).
SINGAPURA: Di perhentian bas, para pemandu perlu berhenti dekat dengan bebendul jalan supaya orang kurang daya penglihatan dapat turun dengan selamat.
Para pemandu bas juga perlu mengetahui nama-nama mercu tanda dalam bahasa Inggeris supaya dapat membantu penumpang kurang daya pendengaran.
Ini hanyalah sebahagian daripada 21 saranan yang disertakan oleh Majlis Pengangkutan Awam (PTC) dalam laporan nasihat yang kedua hari ini (25 Jan).
PTC sudahpun mendampingi lebih 11,000 penumpang daripada pelbagai latar belakang menerusi saluran-saluran seperti perbincangan kumpulan fokus dan tinjauan untuk menghasilkan laporan tersebut.
"Para penumpang berkongsi dengan kami harapan mereka bagi sistem pengangkutan awam, supaya ia lebih inklusif buat penumpang yang memerlukan atau berkeperluan khas," kata Pengerusi PTC Richard Magnus.
"Mereka mahu menjadi sebahagian daripada huraian untuk mempertingkat pengalaman perjalanan mereka menaiki kereta api."
Untuk mencapainya, laporan PTC yang meliputi pelbagai perkara juga menggalak lebih banyak pendidikan awam kepada keperluan para penumpang kurang daya penglihatan yang mungkin tidak menggunakan tongkat.
"PTC menyarankan agar para penumpang lain sedar bahawa terdapat penumpang lain yang kurang upaya namun tidak dapat dilihat "dengan mata kasar" dan memberikan bantuan kepada mereka jika didampingi," menurut PTC.
"Pendidikan awam juga boleh merangkumi maklumat mengenai cara-cara yang sesuai untuk membantu penumpang kurang daya penglihatan."
Bagi peningkatan dari segi fizikal, PTC menyarankan agar garisan kuning dicat pada tangga dan tangga bergerak di stesen-stesen MRT lama untuk para penumpang yang kurang daya penglihatan.
Selain itu, jam kiraan detik yang dipasang pada panel paparan di platform MRT juga akan memberi manfaat kepada penumpang kurang daya pendengaran dan dapat mempertingkat keselamatan para penumpang lain.
SARANAN UNTUK PERTINGKAT PENGALAMAN NAIK KERETA API
Laporan PTC juga mendapati keyakinan orang ramai terhadap sistem pengangkutan awam merosot menyusuli dua insiden besar yang berlaku melibatkan kereta api.
Sekalipun begitu, para penumpang kekal positif bahawa Pemerintah dan pengendali kereta api sedang berusaha sedaya upaya mempertingkat mutu khidmat, tambahnya.
"Para penumpang masih berpuas hati dengan pengalaman mereka menaiki kereta api dan menghargai bantuan daripada kakitangan kereta api dalam perjalanan harian mereka," menurut PTC.
Laporan itu menyarankan agar para pengendali mempertingkat latihan bagi duta-duta khidmat untuk membantu menyuraikan kesesakan dalam satu-satu kabin.
Standard khidmat penumpang yang baik, yang melibatkan kakitangan yang ceria dan mesra semasa menjalankan tugas, juga perlu konsisten.
Selain itu, laporan tersebut menyarankan agar lebih banyak perhatian diberikan kepada usaha mengekalkan kebersihan kereta api, stesen dan kemudahan-kemudahan, manakala lebih banyak usaha diperlukan untuk memastikan pengumuman stesen seterusnya dibuat dengan jelas.
"PTC akan terus mendengar dan menerima maklum balas para penumpang demi kebaikan sistem pengangkutan kita," kata Encik Magnus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.