Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PSP yakinkan anggota bahawa sokongan Tan Cheng Bock kepada Tan Kin Lian adalah pilihan peribadi

Anggaran Waktu Membaca:
PSP yakinkan anggota bahawa sokongan Tan Cheng Bock kepada Tan Kin Lian adalah pilihan peribadi

(Gambar: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 30 Aug 2023 07:57AM Dikemas Kini : 30 Aug 2023 07:58AM
SINGAPURA: Setiausaha Agung Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun Wai mengeluarkan memorandum kepada anggotanya pada Isnin (28 Ogos) untuk meyakinkan mereka bahawa parti itu tidak menyokong mana-mana calon Pilihan Raya Presiden.

Ini menyusuli keprihatinan bahawa pengasas parti, Tan Cheng Bock, menyokong calon Tan Kin Lian, dalam kedudukan peribadi, yang mungkin memberi kesan negatif kepada parti tersebut.

Seorang anggota PSP memberitahu Mediacorp bahawa Encik Tan "berani" untuk mendapatkan sokongan Dr Tan, meskipun mereka merupakan pesaing semasa Pilihan Raya Presiden 2011.

Satu lagi anggota prihatin bahawa persepsi umum terhadap parti pembangkang itu akan terjejas, tidak kira apa sekalipun niat sokongan Dr Tan kepada Encik Tan itu.

Anggota lain parti berkata mereka menyokong langkah tersebut kerana ia seiringan dengan kepentingan peribadi mereka, iaitu perlunya seorang presiden yang "bebas". Mereka berharap Encik Tan merupakan presiden tersebut jika beliau dipilih.

Dalam memorandum tersebut, Encik Leong menegaskan bahawa hanya Dr Tan, dan bukan PSP, yang menyokong Encik Tan.

Beliau memberi jaminan bahawa walaupun terdapat perbezaan antara kedua-dua individu itu, sokongan Dr Tan terhadap Encik Tan adalah "untuk kebaikan negara dan rakyat."

Beliau mengulangi pendirian PSP, bahawa parti tersebut tidak akan menyokong mana-mana calon dalam Pilihan Raya Presiden akan datang "kerana kami menyokong prinsip bahawa Presiden, sebagai lambang perpaduan Singapura, sepatutnya tidak terikat dan tidak berpihak dengan mana-mana parti".

Beliau menambah bahawa mungkin sebilangan anggota PSP tidak bersetuju dengan langkah parti itu untuk tidak menyokong seorang calon,seperti mana sebilangan anggota lain "yang mungkin marah, tidak kira siapa kami sokong".

"Mustahil untuk semua anggota kami bersetuju dengan semua dasar kita," kata Encik Leong dalam memorandum tersebut.

"Perbahasan dialu-alukan apabila kita berdepan isu yang penting dan sensitif".

Memorandum itu dikeluarkan sehari selepas Dr Tan dan Encik Tan Jee Say, seorang bekas calon pilihan raya presiden dan anggota Parti Demokratik Singapura (SDP), mengisytiharkan sokongan mereka kepada kempen Encik Tan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan