Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PSP usul bahas keprihatinan pekerjaan, mata pencarian dek dasar bakat asing

Parti Kemajuan Singapura (PSP) membentangkan usulan menggesa Pemerintah untuk menangani kebimbangan berhubung pekerjaan dan mata pencarian tempatan yang timbul disebabkan dasar bakat warga asing Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
PSP usul bahas keprihatinan pekerjaan, mata pencarian dek dasar bakat asing

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai (kiri) dan Menteri Ong Ye Kung berucap di Parlimen.

Diterbitkan : 01 Sep 2021 10:03AM Dikemas Kini : 01 Sep 2021 10:05AM

SINGAPURA: Parti Kemajuan Singapura (PSP) membentangkan usulan menggesa Pemerintah untuk menangani kebimbangan berhubung pekerjaan dan mata pencarian tempatan yang timbul disebabkan dasar bakat warga asing Singapura.

Demikian kata Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai pada Selasa (31 Ogos).

Dalam satu catatan Facebook, Encik Leong berkata usulan anggota privet itu menggesa Pemerintah untuk "mengambil tindakan konkrit bagi menangani keprihatinan meluas dalam kalangan rakyat Singapura berhubung pekerjaan dan mata pencarian disebabkan oleh dasar bakat warga asing serta dakwaan yang mengandaikan pergerakan rakyat sesebuah negara disertakan sebagai syarat dalam perjanjian perdagangan bebas seperti CECA".

CECA merujuk kepada Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menyatakan dalam satu catatan Facebook pada Selasa malam bahawa beliau "agak keliru" dengan usulan PSP itu.

"Encik Leong terus-menerus mengaitkan isu ini dengan FTA dan CECA secara tidak benar walapun kami sudah mengadakan perbahasan penuh pada Julai," kata Encik Ong, mantan perunding perdagangan.

Pada Julai, Encik Ong dan Encik Tan menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen untuk membidas salah tanggapan mengenai CECA serta dasar dan keadaan pekerjaan asing di Singapura.

"TINGKATKAN PEKERJAAN DAN MATA PENCARIAN": PSP

Encik Leong berkata tumpuan utama perbahasan dalam persidangan parlimen pada September adalah mengenai cara-cara untuk meningkat pekerjaan dan mata pencarian rakyat Singapura.

"CECA bukan keprihatinan utama kami dan terpaksa diterima oleh kami daripada Pemerintah," tambahnya.

Encik Leong berkata meskipun Perdana Menteri Lee Hsien Loong menangani keresahan rakyat Singapura mengenai pemegang pas kerja warga asing semasa ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) pada Ahad (29 Ogos), beliau "tidak mengumumkan dasar-dasar konkrit baru yang akan menghuraikan masalah ini secara dasarnya."

"Dasar-dasar lain yang diumumkan beberapa hari lalu oleh Pemerintah juga tidak menunjukkan penghargaan sepenuhnya kepada kemudaratan masalah yang dihadapi pekerja rakyat Singapura," ungkap beliau.

Beliau menambah PSP akan terus menggesa Pemerintah untuk mengambil masalah "pemberhentian kerja dan diskriminasi rakyat Singapura secara serius" serta melaksanakan "dasar-dasar konkrit untuk menangani masalah itu dengan segera".

PEMERINTAH BERUSAHA MENANGANI KEBIMBANGAN, KATA ENCIK ONG

Encik Ong berkata Pemerintah menerima banyak maklum balas mengenai isu berhubung kebimbangan tentang pekerjaan dan mata pencarian yang disebabkan oleh persaingan daripada pekerja asing.

"Kami memahami keresahan ini dan sedang berusaha secara berterusan untuk menanganinya," katanya.

Encik Ong merujuk kepada ucapan NDR Perdana Menteri sambil menambah bahawa pelbagai "dasar konkrit" diumumkan untuk "menangani cabaran yang dihadapi" oleh pekerja kita, meneruskan langkah-langkah yang sudahpun dilaksanakan sepanjang tahun-tahun lalu.

"Saya dan Dr Tan See Leng sudah menerangkan bagaimana Singapura perlu menjadi terbuka kepada dunia untuk bertakat, untuk menyara kehidupan. Saya mengulas panjang untuk menerangkan bagaimana FTA, CECA dan bab mengenai pergerakan rakyat sesebuah negara berfungsi.

"Saya menjelaskan bahawa mereka bukanlah punca kebimbangan yang dirasai oleh para pekerja. Saya meminta PSP agar menarik balik dakwaan palsu mereka mengenai CECA."

Beliau juga menarik perhatian Encik Leong kelihatan seperti mengakui perkara-perkara tersebut dan berkata PSP tidak menentang FTA.

"Mengenai peruntukan FTA, termasuk pergerakan rakyat sesebuah negara, beliau (Encik Leong) mengakui bahawa kepentingan rakyat Singapura terjaga apabila FTA dirundingkan tetapi berkata PSP memerlukan lebih banyak masa untuk menilai jika CECA bermanfaat untuk semua pekerja Singapura secara keseluruhannya," tambah Encik Ong.

"Sayangnya, PSP nampaknya ingin meneruskan kempennya menentang CECA.

"Seperti yang diingatkan oleh (Perdana Menteri) di (Rapat Umum Hari Kebangsaan), kempen ini membawa semangat perkauman yang kuat dan tidak hanya mempengaruhi warga India di sini tetapi juga orang India kelahiran tempatan."

Encik Ong berkata Pemerintah akan menimbangkan bagaimana untuk menangani usul PSP semasa persidangan yang akan datang di Parlimen.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan