Skip to main content

Singapura

PSP tidak akan elak persaingan tiga penjuru: Tan Cheng Bock

Parti Kemajuan Singapore (PSP) tidak akan menjauhkan diri daripada persaingan tiga penjuru sekiranya situasi itu timbul, kata setiausaha agung parti itu, Tan Cheng Bock pada Jumaat (19 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
PSP tidak akan elak persaingan tiga penjuru: Tan Cheng Bock

Dr Tan Cheng Bock bersama anggota PSP pada 19 Jun 2020 (Gambar: Matthew Mohan)

Diterbitkan : 19 Jun 2020 03:30PM Dikemas Kini : 19 Jun 2020 03:41PM

SINGAPURA: Parti Kemajuan Singapore (PSP) tidak akan menjauhkan diri daripada persaingan tiga penjuru sekiranya situasi itu timbul, kata setiausaha agung parti itu, Tan Cheng Bock pada Jumaat (19 Jun).

Bagaimanapun Dr Tan menambah bahwa beliau berharap "pertimbangan lebih baik akan diutamakan" ketika parti-parti pembangkang memutuskan di mana mereka akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

"Kami tidak mahukan persaingan tiga penjuru, namun jika kami perlu lakukannya, apa boleh kami buat? Itu bukan pilihan kami," kata Dr Tan.

Dr Tan bercakap kepada para wartawan ketika beliau dan para anggota PSP lain bersarapan di Pasar dan Pusat Makanan Mayflower, di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Kebun Baru.

Beliau enggan mengesahkan tempat-tempat PSP akan mengetengahkan calon, namun berkata bahawa keputusan akan dibuat berdasarkan "kriteria tertentu".

Beliau berkata: "Kami akan membuat keputusan untuk bertanding di mana-mana kawasan undi berdasarkan kriteria tertentu: Oleh itu, kami harus mengenali kawasan ini dan siapa yang berada di sini. Apakah nilai yang akan dibawa oleh para anggota (parti) saya di sini ... kemudian kami akan membuat keputusan sama ada akan bertanding di sini atau tidak. ”

Dr Tan menambah: "Inilah yang boleh saya beritahu kepada mereka (parti lain). Jika mereka menegaskan bahawa kami telah mengganggu kawasan mereka, kami tidak boleh lakukan apa-apa; kami hanya berharap pertimbangan lebih baik akan diutamakan."

Dr Tan berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan anggota parti pembangkang yang lain mengenai hal itu.

"Bagaimana mereka akan bersaing adalah pilihan parti mereka sendiri. Kami hanya menghormati mereka dan jika keinginan mereka untuk bertanding di kawasan sama dengan kami begitu kuat, biarkanlah. Biarkan rakyat Singapura membuat pilihan,” katanya.

PSP sudah mula mengadakan sesi pertemuan mingguan melalui Zoom dengan para penduduk dari GRC West Coast dan SMC Pioneer.

Dr Tan ialah Anggota Parlimen bagi Ayer Rajah selama 26 tahun, ketika beliau menganggotai Parti Tindakan Rakyat (PAP). Kawasan undi itu kini merupakan sebahagian daripada GRC West Coast.

"Jika saya meyakinkan diri bahawa saya akan bertanding di West Coast, saya akan melakukannya. Tidak kira siapa lagi yang datang kerana itu keyakinan anda," katanya.

Pada pilihan raya umum terakhir pada 2015, GRC West Coast ditandingi oleh Parti Reform (RP) dan PAP.

RP memperolehi 21.4 peratus undi dalam persaingan dengan pasukan PAP yang diketuai oleh Menteri Perdagangan dan Perusahaan ketika itu Lim Hng Kiang, Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran, Encik Patrick Tay dan Cik Foo Mee Har.

Dalam sesi Facebook Live selama sejam pada Isnin, RP tidak mendedahkan kawasan undi mana yang akan ditandinginya. Namun, ia telah mengumumkan bahawa ia akan mengadakan sesi interaksi dengan para penduduk GRC West Coast pada Jumaat.

Pada Khamis, PSP mendedahkan kumpulan pertama bakal calon-calonnya untuk pilihan raya umum akan datang.

Mereka termasuk naib pengerusi parti Hazel Poa, yang sebelum ini adalah anggota Parti Perpaduan Nasional dan juga bekas anggota Parti Suara Rakyat Brad Bowyer.

Pada Khamis, ELD mengumumkan bahawa rapat pilihan raya umum secara fizikal akan ditiadakan jika tempoh kempen untuk Pilihan Raya Umum berlangsung dalam tempoh Fasa 2 pembukaan semula Singapura, tetapi cara alternatif untuk mendekati pengundi akan disediakan.

Kegiatan berkempen secara fizikal akan dibataskan selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk mencegah penularan COVID-19 - yang bermaksud bahawa perhimpunan mesti dibataskan kepada lima orang.

Dr Tan berkata bahawa PSP akan mematuhi peraturan tersebut semasa berkempen.

“Kami harus mematuhi peraturan. Kami juga harus menjadi contoh. Dan kami akan mengikuti apa yang dinyatakan dalam peraturan baru itu, ”kata Dr Tan.

Sebelum itu pada Jumaat pagi, anggota PAP yang juga AP GRC Nee Soon, Henry Kwek turut mengunjungi Pasar dan Pusat MakananMayflower, di mana beliau telah beramah mesra dengan para penduduk.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita