Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PSP tegaskan tidak sokong mana-mana calon presiden selepas relawan dipelawa jadi ejen kira undi

Anggaran Waktu Membaca:
PSP tegaskan tidak sokong mana-mana calon presiden selepas relawan dipelawa jadi ejen kira undi

Bendera Parti Kemajuan Singapura. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

SINGAPURA: Parti Kemajuan Singapura (PSP) pada Selasa (29 Ogos) menyatakan pihaknya "tidak mempunyai rancangan" untuk menyokong mana-mana calon presiden, selepas para relawan parti itu dikatakan menerima satu emel untuk mendaftarkan diri sebagai ejen mengira undi bagi Encik Tan Kin Lian.

"Emel itu ditulis sendiri oleh seorang individu. Ia tidak mendapat kelulusan untuk disampaikan (kepada ramai)," menurut PSP sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

Emel tersebut, yang dikirimkan pada lewat Ahad (27 Ogos) dan dilihat Mediacorp, menyifatkan Pilihan Raya Presiden sebagai satu "peluang keemasan" untuk memahami para pengundi dari pelbagai kawasan undi.

Para relawan diminta mendaftarkan diri sebagai ejen mengira undi untuk membantu parti mengumpul data undian yang dianggap "penting buat (Pilihan Raya Umum) kami seterusnya".

Parti itu bagaimanapun tidak dapat membutirkan seberapa ramai relawannya mendapat emel tersebut, disebabkan "gangguan sementara pada sistem barunya".

Menjawab pertanyaan CNA, PSP menyatakan bahawa Presiden, adalah lambang perpaduan Singapura, yang seharusnya bebas dan tidak berpihak kepada sesiapa.

"PSP menyokong prinsip-prinsip ini, dan maka itu tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menyokong mana-mana calon dalam Pilihan Raya Presiden akan datang. Para individu, bagaimanapun, bebas untuk menyokong sebarang calon yang mereka mahu dalam kedudukan peribadi masing-masing," tambahnya.

BERI SOKONGAN DALAM KEDUDUKAN PERIBADI

PSP juga menyatakan bahawa langkah pengerusinya, Dr Tan Cheng Bock, yang menyokong Encik Tan Kin Lian, dilakukan dalam kedudukan peribadinya sebagai seorang mantan calon dalam Pilihan Raya Presiden 2011.

"Sebarang bentuk sokongan, oleh mana-mana anggota, kepada calon pilihan, dilakukan dalam kedudukan peribadi mereka," tegas parti itu lagi.

Pada Ahad (27 Ogos), Dr Tan berkata beliau menyokong Encik Tan Kin Lian kerana mereka berkongsi "visi yang sama" tentang perlunya mempunyai seorang calon bebas.

Dr Tan beberapa kali menegaskan bahawa langkah tersebut dilakukan dalam "kedudukan peribadi" dan beliau "bukan seorang ahli politik dalam pilihan raya ini".

Pengerusi PSP itu menambah, seorang Presiden "yang terikat dengan pemerintah" akan berasa tidak selesa sekiranya keputusannya bertentangan dengan kata putus pemerintah.

Dr Tan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2011, dan beliau didahului Dr Tony Tan, selepas meraih 34.85 peratus undi.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan