Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PSP sangkal 'sindiran' pengaruh asing, pembiayaan oleh bekas anggota parti

Parti Kemajuan Singapura (PSP) menyangkal kiasan oleh bekas anggota parti, Daniel Teo, bahawa parti itu "disusupi dan dibiayai oleh sumber-sumber asing," menurutnya pada Isnin (4 Mei). 

Anggaran Waktu Membaca:
PSP sangkal 'sindiran' pengaruh asing, pembiayaan oleh bekas anggota parti

Petikan video bekas anggota Parti Kemajuan Singapura Daniel Teo.

Diterbitkan : 04 May 2020 02:22PM Dikemas Kini : 04 May 2020 02:30PM

SINGAPURA: Parti Kemajuan Singapura (PSP) menyangkal kiasan oleh bekas anggota parti, Daniel Teo, bahawa parti itu "disusupi dan dibiayai oleh sumber-sumber asing," menurutnya pada Isnin (4 Mei).

Encik Teo, 36 tahun, disingkirkan oleh parti itu pada Jumaat lalu setelah beliau mengakui terlibat dengan satu klip video yang mendakwa 10 anggota PSP sedang bekerjasama dengan Pengerusi Parti Rakyat Singapura (SPP) Jose Raymond dan ahli sejarah Thum Ping Tjin.

Laporan-laporan menyatakan beberapa orang yang dinamakan dalam video tersebut sudahpun membuat laporan polis. Encik Ravi Philemon, seorang anggota PSP, menulis di Facebook hujung minggu lalu bahawa beliau sudah memfailkan laporan polis dan menepis dakwaan menjadi "proksi kuasa asing" seperti yang dibuat di laman web tertentu, tanpa menyatakan laman web yang dirujuknya.

Pada Ahad, Straits Times melaporkan Encik Teo sebagai berkata beliau membuat video itu selepas menerima maklumat daripada seorang pihak ketiga yang tidak dinamakan. Beliau juga berkata beliau menghantarkan video itu kepada satu orang bagi tujuan memeriksa fakta tetapi ia kemudian dibocorkan dan disebarkan.

"Saya mahu memastikan semua tuduhan ini dijernihkan buat kali terakhir. Jika tiada sebarang bukti, maka kita semua boleh meneruskan kehidupan," beliau memberitahu akhbar itu. "Saya mempunyai niat yang baik. Saya terima saya disingkirkan dan tidak berasa tidak puas hati."

Dalam responsnya, parti itu menyatakan: "Kandungan video itu tidak merujuk kepada PSP menerima pendanaan asing dan kami ingin menyatakan secara tegas bahawa pendanaan parti kami mematuhi Akta Sumbangan Politik."

Ia menyatakan Encik Teo membuat dakwaan itu sebelum ini kepada sesetengah anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu tetapi tidak membentangkan sebarang bukti.

"Siasatan dalaman kami menunjukkan tiada perkara sedemikian dan tuduhannya ditolak. Kami memahami bahawa beberapa anggota Parti yang terlibat dalam video tersebut telah membuat laporan polis mereka sendiri dan meminta nasihat guaman."

Akta Sumbangan Politik bertujuan untuk mencegah orang asing daripada campur tangan dalam politik tempatan Singapura melalui pembiayaan calon dan persatuan politik.

Sebelum ini, PSP menyatakan ia dimaklumkan tentang pelibatan Encik Teo dalam video tidak diketahui asal usulnya itu daripada salah seorang anggotanya.

"Setelah selesai menjalankan siasatan dalaman, Parti Kemajuan Singapura memutuskan penyingkiran anggota ini," kata seorang jurucakap sambil menambah bahawa ia tidak dapat memberi ulasan lanjut mengenai perkara itu sehingga siasatan polis selesai dijalankan.

PSP menyatakan pada Isnin bahawa "walaupun ia mendakapi kepelbagaian, ia tidak menerima pensabotaj".

Penyingkiran Encik Teo adalah yang kedua oleh PSP sejak beberapa bulan lalu. Pada Mac, parti itu menyingkirkan seorang anggota, Encik Jan Chan, selepas dia memuat naik satu catatan keagamaan yang menyinggung perasaan ke Facebook.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan