Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PSP diminta mohon maaf, turunkan video mengenai perbahasan Ridout Road di parlimen

Anggaran Waktu Membaca:
PSP diminta mohon maaf, turunkan video mengenai perbahasan Ridout Road di parlimen

Ketua Dewan Indranee Rajah (kiri) dan NCMP Leong Mun Wai di parlimen pada 5 Julai 2023.

SINGAPURA: Parti Kemajuan Singapura (PSP) pada Rabu (5 Jul) diminta membuat permohonan maaf dan menurunkan satu video berhubung perbahasan Ridout Road di parlimen, yang dimuat naik ke Facebook.

Pada lewat Selasa (4 Jul), PSP memuat naik video di mana setiausaha agungnya, yang juga Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi, Leong Mun Wai, sedang bertanya soalan di dalam Dewan pada Isnin (3 Jul).

Kapsyen yang tertulis pada video tersebut adalah: "Dalam apa yang disifatkan para pengulas online sebagai satu lagi detik 'sia suay'. Leong Mun Wai & Hazel Poa Koon Koon ada di sini untuk melakukan apa sahaja demi memastikan suara rakyat didengar."

"Sia suay" adalah ungkapan dalam dialek Hokkien, yang juga digunakan dalam 'Singlish' dan bermaksud 'memalukan'.

Teks turut disertakan dalam video itu, dengan ada yang tertulis: "Timbalan Speaker mengingatkan Encik Leong Mun Wai bahawa beliau tidak harus memulakan perbahasan semasa Kenyataan Menteri disampaikan, selepas beliau menggesa Timbalan Speaker agar tidak menggulung perbahasan awal kerana ia satu topik penting."

Pada Rabu (5 Jul), Ketua Dewan Indranee Rajah berkata bahawa video tersebut merupakan satu pelanggaran hak istimewa dan imuniti parlimen.

"Apa yang menjadi masalah adalah ini: Video itu memberi gambaran tidak tepat tentang apa yang berlaku dalam parlimen," kata Cik Indranee kepada Dewan.

Video berkenaan memberi gambaran bahawa isu-isu tentang Ridout Road - berkaitan penyewaan hartanah negara oleh menteri K Shanmugam dan Vivian Balakrishnan - tidak boleh "dibahaskan dengan tuntas".

Ia sekali gus membuat Timbalan Speaker Christopher de Souza kelihatan seolah-olah beliau tidak membenarkan perbahasan dijalankan walaupun dirayu Encik Leong, kata Cik Indranee.

"Jika anda renungkan perkara ini, ia bermula dengan: 'Apa yang disifatkan sebilangan pengulas online sebagai satu lagi detik 'siay suay'. Apa maksud sia suay? Memalukan.

"Bermakna ada sesuatu yang memalukan berlaku. Apa yang memalukan? Seterusnya dikatakan Leong Mun Wai dan Hazel Poa dari PSP akan melakukan apa sahaja untuk memastikan suara rakyat didengar," tambah beliau.

"Dan kemudian anda ada 'blurb' (keterangan ringkas) yang mencadangkan bahawa mereka tidak dibenarkan bercakap dan perbahasan juga tidak boleh dijalankan."

Cik Indranee berkata video tersebut tidak menerangkan bahawa, menurut prosedur parlimen, para AP boleh bertanya soalan atau meminta penjelasan tentang kenyataan menteri.

Video itu juga tidak menunjukkan apa yang berlaku selepas pertukaran yang disorotkan dalam video dan ini memberi gambaran bahawa Encik Leong tidak dibenarkan bertanya soalan, kata beliau lagi.

Encik De Souza, yang mempengerusikan sidang pada Rabu (5 Jul), menjelaskan bahawa beliau memanggil Encik Leong sebanyak lima kali, dan NCMP itu mengajukan lebih daripada 10 soalan pada Isnin.

Cik Indranee juga berkata, tidak seperti dakwaan dalam video yang menyatakan hanya satu jam diperuntukkan bagi para AP untuk meminta penjelasan, masa yang diberikan untuk berbuat demikian adalah hampir empat jam.

Seluruh sesi berlangsung selama enam jam, dengan penyampaian kenyataan menteri memakan masa kira-kira dua jam.

"Jadi ada masa yang mencukupi untuk bertanya soalan dan ia diajukan dan sudahpun dijawab. Sesi berakhir pada jam 6.22 petang," terang Cik Indranee.

"Jadi di sini kami berdepan situasi di mana ada video dari PSP yang memberi gambaran tidak tepat dan mengelirukan tentang apa yang berlaku di parlimen, dan ia bercanggah dengan perkara sebenar."

Beliau seterusnya menarik perhatian kepada Akta Parlimen (Hak Istimewa, Imuniti dan Kuasa) yang melarang perbuatan berunsur fitnah terhadap sebarang AP ataupun menerbitkan sebarang "laporan tidak tepat atau yang memutarbelitkan (fakta)" tentang sidang parlimen.

Melanggar ketetapan ini bermakna anda menghina parlimen, katanya.

Menjawab Cik Indranee, Encik Leong berkata bahawa frasa "sia suay" merujuk kepada apa yang sebilangan pengulas online katakan tentang dirinya pada masa lalu.

"Adakah menteri bertanggapan bahawa 'sia suay' merujuk kepada timbalan speaker? Kami tidak berniat sama sekali untuk mengatakan itu. Ungkapan 'sia suay' itu adalah apa yang dikatakan orang lain secara terbuka tentang saya," kata Encik Leong.

Beliau bertegas bahawa meskipun perbahasan berlangsung selama enam jam, tidak semua pertanyaan diajukan dan jawapan yang diberikan tidak menjelaskan fakta-fakta yang ada. Ini yang membuatnya "sedikit teruja" dalam sidang itu lalu meminta lebih banyak masa.

"Saya sama sekali tidak rasa saya bertindak secara tidak hormat, dan dengan menunjukkan video ini, sekarang, saya dengar daripada anda tentang beberapa interpretasi yang anda jelaskan," kata Encik Leong.

"Saya meminta anda membenarkan saya menurunkan video dan membolehkan kami berbincang bersama parti, lalu mengeluarkan kenyataan rasmi."

Cik Indranee berkata beliau terima dan akur bahawa Encik Leong tidak bertindak secara tidak hormat di parlimen dan frasa "sia suay" merujuk kepada dirinya.

Namun, beliau menegaskan bahawa PSP harus tetap menurunkan videonya dan memohon maaf "dengan cara yang dapat diterima parlimen".

Beliau meminta Encik Leong membincangkan perkara ini dengan partinya dan memberi kemas kini kepada parlimen pada Khamis (6 Jul). Encik Leong turut bersetuju.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan