Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PSP 'bukan parti Tan Cheng Bock' saja

PSP mengumumkan pada Khamis (1 Apr), Encik Francis Yuen akan menggantikan Dr Tan Cheng Bock sebagai setiausaha agung.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Apr 2021 02:49PM Dikemas Kini : 03 Apr 2021 09:23PM

SINGAPURA: Perubahan pada tampuk kepimpinan Parti Kemajuan Singapura (PSP) adalah usaha untuk memaklumkan orang ramai bahawa parti itu "bukan parti Tan Cheng Bock" semata-mata tetapi "milik rakyat Singapura yang sayangkan Singapura".

Demkian menurut pengasas parti pembangkang itu hari ini (3 Apr).

PSP mengumumkan pada Khamis (1 Apr), Encik Francis Yuen akan menggantikan Dr Tan Cheng Bock sebagai setiausaha agung, manakala Dr Tan dilantik sebagai pengerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat baru parti itu.

Dr Tan mengasaskan PSP pada 2019 sebelum Pilihan Raya Umum tahun ini.

Bercakap di sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti tersebut hari ini, Dr Tan berkata: "Langkah ini akan lebih baik untuk rakyat Singapura kerana mereka akan sedar bahawa kami sebenarnya berusaha untuk mereka tahu bahawa parti PSP bukan parti Tan Cheng Bock. PSP milik rakyat Singapura yang menyayangi Singapura.

"Ini adalah langkah yang dibuat secara sedar bukan bagi pihak saya tetapi atas nasihat para pemimpin parti di sini."

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tentang sama ada perubahan itu akan menjejas daya tarikan parti tersebut.

CEC baru parti itu terdiri daripada lapan anggota baru, manakala enam yang lain adalah anggota lama.

Dr Tan berkata: "Pada tahun lalu, parti ini berhasil menarik ramai bakat baru dan juga ia sedang melalui perubahan, ia seperti metamorfosis. Keadaan sedang berubah dan sedang parti ini berkembang, kita perlu memberi ruang untuk mempertingkatkan kepimpinannya.

"Ada kalanya di mana buah fikiran secara langsung daripada saya penting kerana pasti masih muda, baru belajar bertatih. Namun kini, parti sudah besar dan matang dan pasukan baru mesti ada peluang untuk memanfaatkan kekuatan dan kemahiran mereka untuk mengorak langkah seterusnya."

Apabila ditanya sama ada anggota lain mencuba untuk memujuknya agar tidak melepaskan jawatan, beliau berkata: "Tentu sekali, saya masih ketua parti tetapi saya mahu berada dalam jawatan yang lain. Ini penting kerana kita mesti jelas, parti ini bukan parti saya seorang. Parti ini untuk rakyat Singapura yang percaya bahawa negara ini boleh menjadi lebih baik jka kita membuat perubahan-perubahan tertentu."

Encik Yuen sebelum ini adalah mantan penolong setiausaha agung. Dengan Dr Tan mengambil alih sebagai pengerusi parti, bekas pengerusi Wang Swee Chuang kini naib pengerusi.

Parti itu juga melantik para pemegang jawatan dalam mesyuarat CEC Rabu lalu (31 Mac).

Dr Tan akan menumpukan perhatian kepada usaha mendampingi rakyat Singapura dan berjumpa mereka, kata beliau.

"Saya mahu menumpukan kepada usaha mendampingi rakyat Singapura yang tidak dapat kita dampingi sebelum ini. Ini sangat penting. Saya mahu mereka tahu PSP untuk apa dan kami adalah parti yang mesti mereka pertimbangkan pada masa akan datang," kata Dr Tan.

"Kedua, saya mahu membantu menggerakkan dan memperkukuh akar umbi kita. Saya selalu keluar berjumpa penduduk dan ia sesuatu yang saya gemari. Ia sebahagian daripada saya, ia sebahagian daripada DNA politik saya," tambah beliau.

Beliau juga akan terus mencari bakat-bakat baru dan membimbing para pemimpin parti itu, katanya.

"Ramai yang bertandang ke parti kami kerana mereka mahu belajar daripada saya dan peranan saya adalah untuk memberi mereka panduan. Apa yang saya belajar sepanjang puluhan tahun sebagai ahli politik, saya akan turunkan pengetahuan saya kepada mereka," tambah beliau.

Apabila ditanya tentang visinya bagi masa depan parti, Encik Yuen berkata semuanya "sejajar dengan visi Dr Tan" apabila beliau memulakan parti tersebut.

"Maka visinya adalah kami mahu membangunkan sebuah parti pilihan yang dekat dengan masyarakat. Kami memperjuangkan kepentingan mereka dan kami memperjuangkan kepentingan Singapura," tambah beliau.

"Lebih dari itu, kami mempunyai keupayaan, orang-orangnya, kepimpinannya untuk meneruskannya bagi jangka panjang."

Menjawab pertanyaan sama ada Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi Cik Hazel Poa dan Encik Leong Mu Wai dipertimbangkan bagi kedudukan setiausaha agung, memandangkan mereka ada dalam Parlimen, Dr Tan berkata: "Saya tidak mengikut struktur biasa politik kerana kami sebuah parti politik yang progresif."

Cik Poa dan Encik Leong dilantik semula sebagai anggota badan utama dalam membuat keputusan-keputusan bagi parti tersebut.

Beliau turut mendedahkan bahawa kedua-duanya dipertimbangkan bagi peranan setiausaha agung dan Dr Tan berkata beliau dan Encik Yuen sedang melatih anggota-anggota untuk mengambil alih kelak.

"Dari segi kepimpinan, saya menyerahkannya kepada para anggota untuk memilih pemimpin mereka. Jika mereka di Parlimen tentu sekali kehadiran mereka di sana, mereka mendapat banyak tarikan, tetapi akhirnya ruang ini mesti terbuka kepada semua," kata Dr Tan.

Cik Kayla Low dan Encik Phang Yew Huat dilantik sebagai bendahari dan penolong bendahari bagi parti itu.

Mereka adalah antara enam anggota baru CEC yang dilantik selepas PSP mengadakan persidangan kedua parti pada Ahad (28 Mac).

Lagi empat anggota baru adalah Dr Ang Yong Guan, Cik Wendy Low, Encik Harish Pillay dan Cik Jess Chua. Dr Ang, Cik Kayla Low, Encik Pillay dan Cik Wendy Low adalah calon PSP dalam Pilihan Raya Umum 2020.

Encik Kumaran Pillai, yang bertanding di SMC Kebun Bahru dan Encik Taufik Supan turut dilantik ke dalam CEC pada Rabu.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan