PSLE 2023: Tumpu pada latihan tatabahasa daripada latih tubi untuk subjek bahasa Melayu

(Gambar: Hakim Irwan/BERITA Mediacorp)
SINGAPURA: Memperkukuh asas tatabahasa adalah lebih penting daripada sekadar mengambil pendekatan 'latih tubi' buat subjek-bahasa ibunda.
Demikian nasihat Pengarah Pusat Bahasa Nusa, Hayati Abdullah, kepada murid-murid yang sedang mempersiapkan diri bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Para pelajar bakal menduduki kertas-kertas ujian utama bermula Khamis (28 Sep).
Tarikh ujian bagi kertas 1 dan 2 Bahasa Melayu jatuh pada 2 Oktober ini.
TIADA KERTAS-KERTAS PEPERIKSAAN SEKOLAH DIJUAL SECARA KOMERSIL UNTUK PSLE?
Berkenaan teknik mengulang kaji untuk peperiksaan, antara kaedah utama yang lazimnya digunakan ialah menerusi latihan tubi menggunakan kompilasi kertas-kertas peperiksaan sekolah-sekolah.
Ini terutama sekali buat subjek lain seperti Matematik dan Sains.
Namun, jika kita pergi ke mana-mana kedai buku, kompilasi kertas peperiksaan sekolah-sekolah buat subjek Bahasa Melayu tidak dijual.
Dalam hal itu, Cikgu Hayati berkata, "Sejujurnya, memang tidak dapat diedarkan sebab memang kertas-kertas itu adalah kertas peperiksaan sekolah."
.jpg)
Beliau juga akur bahawa ketiadaan kompilasi kertas-kertas ujian sekolah-sekolah menggusarkan golongan ibu bapa.
Namun, menurut Cikgu Hayati, itu tidak bermakna bahawa murid-murid tidak dapat membuat persiapan sewajarnya bagi peperiksaan PSLE.
"Selaras dengan pembelajaran, ia juga penting untuk mempelajari daripada bahan lebih autentik. Sebab itu juga, kertas peperiksaan tidak diedarkan di luar secara komersil," tambah Cikgu Hayati lagi.
CARA MUDAH UNTUK PERKUKUH PENGUASAAN BAHASA
Dalam pada itu, Cikgu Hayati juga menarik perhatian bahawa ulang kaji menggunakan kompilasi kertas peperiksaan sekolah lain mungkin kurang berkesan bagi subjek bahasa Melayu berbanding Matematik dan Sains.
Beliau percaya bahawa buat subjek-subjek bahasa, ia adalah lebih penting untuk murid-murid memperkukuhkan dahulu asas tatabahasa mereka.
Cikgu Hayati berkata, "Bagi pembelajaran bahasa, cara untuk meningkatkan penguasaan adalah untuk menggunakannya. Caranya adalah untuk menggunakan seberapa banyak bahan autentik yang boleh. Antara bahan yang kami sediakan, adalah untuk mendedahkan para pelajar kepada rencana berita dan kita dapat lihat bagaimana bahasa digunakan."
Menerusi kaedah itu juga, Cikgu Hayati percaya bahawa murid-murid akan didedahkan kepada kosa kata baharu.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.